kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Minyak turun, kencing pun turun , Perlu turun secara menyeluruh

SHAH ALAM - Keengganan pengilang-pengilang di Malaysia menurunkan harga barang bukan bermaksud untuk mengaut keuntungan yang lebih, sebaliknya terdapat kekangan lain menyebabkan perkara itu tidak berlaku.

Naib Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Mohd Ghazali Abu Bakar berkata, penurunan harga minyak bukan faktor utama yang membolehkan pengilang menurunkan harga barangan.


Menurutnya, harga bahan mentah, pengangkutan dan lain-lain kos tidak diturunkan secara menyeluruh menyebabkan pengilang tidak dapat mengikut kehendak pengguna.

"Faktor-faktor seperti bahan mentah, kos pengangkutan dan penghantaran adalah antara sebab mengapa kebanyakan pengilang enggan menurut kemahuan pengguna.

"Sebagai pengilang roti, bahan utama yang kami gunakan adalah tepung. Beberapa tahun lalu, kerajaan telah memberikan subsidi tepung pelbagai guna, tetapi tepung itu bukanlah bahan utama kepada pembuatan roti. Roti dibuat menggunakan tepung khusus dan harganya tidak pernah turun. Tiada subsidi untuk tepung ini. Jadi, bagaimana pengilang mahu menurunkan harga roti? Harga tepung sekarang adalah RM69.00 untuk 25 kilogram. Ia sangat mahal," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, bahan mentah seperti gandum juga perlu diimport dari luar negara untuk mendapatkan kualiti yang baik.

"Sudahlah tepung mahal, gandum juga kami import. Bukan tidak ada yang tempatan, tetapi tengok musim juga. Ada yang menjadi, cantiklah gandumnya, kalau tidak, roti pun boleh jadi tak sedap. Jadi, untuk kepuasan pelanggan, kami terpaksa import," katanya.

Mohd Ghazali berkata, kos import gandum juga sangat tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kos untuk ini tidak pernah turun. Ada sahaja masanya mereka akan naikkan. Sebagai pengilang, apa daya kami untuk menolak. Perniagaan mesti dijalankan, jika tidak bagaimana?," katanya.

"Kalau kerajaan buat sesuatu dan membantu kami pengilang, bolehlah kami turun harga," katanya.

Jelasnya, kerajaan seharusnya mempunyai mekanisme untuk memantau harga bahan mentah dan bukannya barang sedia siap.

"Ini adalah langkah terbaik. Kerajaan harus mencari punca mengapa harga naik dan mengawal perkara ini.

"Jika mahu pengilang turunkan harga, bahan mentah, kos penghantaran dan pengangkutan perlu diturunkan terlebih dahulu," katanya.

Ditanya mengenai kesediaan untuk digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Ghazali berkata, perkara itu sukar untuk berlaku.

"Kita hormat pada mereka, tetapi kerajaan khususnya KPDNKK perlu memahami masalah kami. Kalau kerajaan boleh memberi jaminan akan pantau harga bahan mentah, tiada masalah pengilang menurunkan harga," katanya.

Semalam, KPDNKK menerusi menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kesediaan kementeriannya untuk menggempur kilang atau syarikat pemborong yang enggan menurunkan harga barangan keluaran mereka sebaik menerima laporan daripada pengguna atau peniaga kecil.

Hasan mengulas desakan persatuan pengguna, pemborong dan peruncit supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal yang bukan sahaja enggan bekerjasama menurunkan harga barang keluaran mereka, malah makin menghimpit pengguna dengan menaikkan harga.

Desakan itu dibuat secara bersama oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pasar raya terkenal Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) dan My Hero Hypermarket, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia dan beberapa pertubuhan lain.


Minyak turun, kencing pun turun Abd Jalil Ali SInar Harian Rencana  19 Februari 2015

HARAP-harap harga minyak turun lagi, supaya pengguna dapat menikmati penurunan harga barangan dan perkhidmatan. Setakat ini beberapa pasar raya mega telah menurunkan harga banyak barang keperluan harian, membuatkan ramai suri rumah tersenyum.

Tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun akan diturunkan. Seperti yang diumumkan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015, pengguna di Semenanjung akan menikmati penurunan tarif elektrik sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWj).

Tambah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu, purata kadar tarif bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula diturunkan sebanyak 1.20/kWj.

Seperti yang dilaporkan media, dengan tarif baharu itu pengguna domestik dijangka menikmati pengurangan bil elektrik pada lingkungan RM13.50 hingga RM45 dalam bil bulanan.

Kalau harga minyak dunia terus jatuh, ramai mengandaikan barangan dan perkhidmatan lain pun akan ikut turun. Api sudah turun, maka pengguna berharap tarif air pun akan turun. Bagus lagi sekiranya tarif Telekom pun ikut turun.

Apakah itu juga bererti kadar bayaran Indah Water Konsortium (IWK) akan turun? Kita tunggu dan lihat. Tetapi kalau mengikut kenyataan menteri sebelum ini, syarikat pembetungan negara itu belum membuat keuntungan. Kos prasarana dan kerja-kerja yang dilakukan jauh lebih besar dari kadar yang dibayar oleh pengguna.

Lagi pun pada hemat saya, kadar bayaran perkhidmatan pembetungan di rumah kita masih rendah, hanya RM8 sebulan. Kalau kira hari, hanya 27 sen sehari. Kalau kongsi satu keluarga lima orang campur seorang pembantu rumah, setiap orang hanya perlu membayar 4 sen sehari.

Apalah RM8 sebulan untuk kerja-kerja kotor di rumah kita? Kalau diupah RM100 sebulan pun rasanya tuan atau penghuni rumah tidak sanggup melakukan kerja-kerja busuk itu. Kot-kot seminggu hilang selera makan. Maka lebih baik bayar tidak sampai RM10, boleh terus tidur lena, dan makan pun tiada gangguan perasaan.

Tetapi ada pula sesetengah orang kompelin, kadar sama yang dikenakan oleh IWK pada setiap rumah sekarang macam tidak adil. Pada kadar sekarang, tidak kira buang air 10 kali atau 100 kali sebulan, setiap rumah kena bayar RM8.

Hatta sekiranya dalam sebulan penghuni tidak kencing walaupun sekali – sebab bercuti di luar negara, atau diwadkan di hospital kerana penyakit kronik – tetap dia kena membayar pada kadar yang sama.


Sebab itu dicadangkan supaya diperkenalkan satu sistem bil yang lebih adil dan saksama. Apa yang dikenali sebagai Tarif Volumetrik mungkin lebih munasabah untuk pengguna yang lebih banyak buang air – kecil atau besar – di luar rumah, seperti di tempat kerja, di R&R sepanjang lebuh raya, atau di tandas-tandas awam.

Di bawah kaedah ini bil atau tarif tidak lagi dikenakan berasaskan jenis atau nilai harta, tetapi setiap rumah akan dikenakan caj berdasarkan penggunaan sebenar. Ertinya, lebih banyak air kumbahan @ sisa kekotoran dicurahkan ke dalam tangki septik, lebih tinggi bayaran yang dikenakan.

Melalui kaedah sekarang, pelanggan domestik mencurahkan air ke dalam tangki septik sebanyak mana pun tetapi bayar tetap. Contoh rumah murah bayar RM2 sebulan, rumah biasa dikenakan RM8 sebulan.

Sekiranya tarif baharu ini dikuatkuasakan penghuni setiap rumah akan lebih berhati-hati dan berjimat dalam penggunaan air. Mereka tahu setiap titik air yang digunakan di bilik mandi, tandas, mesin basuh, singki di dapur dan lain-lain yang disalurkan ke tangki septik, akan dicaj. Lagi banyak mereka melimpahkan air dan sisa, lagi tinggi bil akan dibayar.

Sebenarnya orang kita terlalu banyak melepaskan air kotor @ air sisa kumbahan, iaitu 65 juta liter sehari di seluruh negara, atau 1.95 bilion liter sebulan, atau 23.4 bilion liter setahun.

Bayangkan sekiranya air kotor dan kumbahan yang banyak itu tidak dirawat dengan sempurna dan dilepaskan begitu sahaja ke sungai kita, pasti kehidupan kita terdedah kepada pelbagai penyakit bawaan air. Apabila sumber air terjejas kehidupan menjadi tidak sempurna, tidak selesa.

Mujur ada syarikat pembetungan yang menangani tugas-tugas kotor dan busuk sepanjang 24 jam, tujuh hari seminggu, untuk membolehkan kita tidur lena, bernafas dengan nyaman, dan hidup sempurna. Jadi, bayarlah bil IWK.

Tags: ekonomi, harga, minyak
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments