kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendekatan Baru Urus Hubungan Kaum

SEJAK berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, pelbagai usaha dilaksanakan oleh kepimpinan negara untuk mening­katkan perpaduan dan hubungan antara kaum di negara ini.

Di ruang ekonomi, dilaksanakan Dasar Ekonomi (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Di ruang sosial dilaksanakan Rukun Negara, Dasar Bahasa Kebangsaan, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan banyak lagi. Di ruang politik pula diamalkan perkongsian kuasa oleh Barisan Nasional (BN).

Di ruang pendidikan, dianjurkan program RIMUP dan Sekolah Wawasan. Tentulah ada usaha yang berjaya, ada yang gagal dan ada yang masih dipersoalkan kejayaannya. Apa pun, atas semua usaha ini sejak merdeka ikatan hubungan kaum sentiasa dalam keadaan stabil disulami beberapa ketegangan.

Sejak perang dunia kedua, perhatian pemerintah terhadap mengurus hubungan antara kaum diperhebatkan. Bermulanya Akta Hasutan 1948 adalah titik tolak langkah pa­ling awal dalam menguruskan isu ini.

Profesor Ulung, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin, Pengarah Pe­ngasas Institut Kajian Etnik UKM di dalam kertas kerjanya bertajuk, Interpreting Malaysia as A Form of Knowledge menegaskan wujud tiga pendekatan dalam menguruskan hubungan kaum di negara ini.


Cikgu Yasmin bersama pelajar-pelajarnya dalam kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, disini, hari ini. – UTUSAN/Hafiz Johari

Pertamanya, Pendekatan Kon­flik yang merujuk kita seringkali diperingatkan jika tidak berhati-hati dalam soal hubungan kaum, akan pasti berlaku lagi konflik etnik se­perti 13 Mei 1969 dan juga peristiwa Kampung Medan pada 4 Mac 2001.

Pendekatan konflik ini dipenuhi dengan peringatan yang disampaikan di rumah, sekolah, media dan ucapan para pemimpin masyarakat. Pendekatan ini menjadi satu cara untuk rakyat kembali tenang apabila berlaku ketegangan dalam isu-isu sensitif yang melibatkan pertikaian antara kaum.

Keduanya, Pendekatan Krisis yang merujuk kepada peringatan yang selalu dizahirkan walaupun rakyat dalam keadaan aman, tenang dan stabil. Rakyat diperi­ngatkan peri pentingnya hubungan kaum dan cuba mengelak krisis. Diperingatkan juga bahawa kea­daan hubungan kaum yang tegang sepanjang masa tidak baik untuk pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Pendekatan ini digunakan sebagai nasihat dan terbukti mampu meredakan ketegangan atau rasa tidak puas hati antara kaum di negara ini.

Ketiga adalah Pendekatan Ke­sepaduan. Pendekatan ini dirujuk sebagai meraikan kepelbagaian dan sentiasa mengingatkan kita bahawa sepanjang lebih 58 tahun merdeka, kita sebenarnya lebih banyak mengecapi keharmonian dan keamanan. Kita harus melihat betapa berjayanya kita menguruskan hubungan kaum berbanding negara lain yang mempunyai latar sejarah dan kepelbagaian budaya yang hampir sama dengan kita.

Sri Lanka misalnya berada dalam konflik perkauman lebih 20 tahun dan sehingga kini masih dilanda insiden hubungan kaum sejak merdeka pada 1948. Pendekatan kesepa­duan mengajak kita sebagai sebuah masyarakat majmuk melihat tanda-tanda positif yang berjaya kita capai dalam menguruskan perkauman di negara ini.

Ternyata tiga pendekatan ini banyak membantu kita memahami dan kemudiannya menguruskan hubungan kaum di negara ini. Persoalannya, jika kita sudah ada tiga pendekatan ini, yang dalam kea­daan tertentu sentiasa digabung jalin pelaksanaannya, mengapakah sehingga kini gelodak perkauman masih ‘panas’ dan seperti tidak berkesudahan? Walaupun sudah ada pendekatan berkaitan me­ngurus hubungan kaum, rakyat se­perti tidak mampu menguruskan pe­rasaan dan ada ketikanya seperti mula melabelkan kaum lain mahu cuba memusnahkan kepentingan budaya, bahasa, agama dan identiti mereka?

Penulis berpendapat ada yang masih tidak berkesan dengan cara kita mengurus hubungan kaum di negara ini mutakhir ini. Betul dulunya mungkin berkesan dan berhasil tetapi apabila masyarakat, perseki­taran budaya dan teknologi berubah, secara langsung banyaklah perkara lain juga kena ikut berubah selari dengan masa dan keadaan.

Jika dulu di zaman penjajahan British, kuasa penjajah percaya cara yang paling baik untuk uruskan hubungan kaum di negara ini ialah dengan memisahkan setiap kaum mengikut tempat tinggal, sekolah, jenis pekerjaan dan juga aspirasi bernegara. Maka berlakulah pemisahan secara fizikal antara Melayu, Cina, India dan kaum lain yang bermastautin di negara ini.

Bagi mengukuhkan pemisahan fizikal ini, setiap kaum diberi amaran agar tidak melukakan hati kaum lain. Pada 1948, Akta Hasutan diperkenalkan selari dengan usaha memerangi ancaman komunis ketika itu bagi memastikan ketenteraman awam dijamin. Akta itu kemudiannya dikemaskan pada 1969 dan terus dikuatkuasakan sehingga ke hari ini.

Jika dulu dalam persekitaran ruang fizikal yang jelas terpisah antara kaum akta ini berjaya dikuatkuasakan, apakah dalam ruang sosial yang sudah berbaur sekarang, akta itu masih berkesan?

Hari ini, masyarakat semakin berkembang dan giat berubah. Jika dulu penjajah melakukan pemisahan kaum secara fizikal, hari ini pemisahan itu semakin tidak jelas. Taman-taman perumahan sudah dihuni oleh pelbagai kaum. Ruang pekerjaan juga begitu. Ruang pendidikan jika pun tidak di sekolah rendah, peringkat menengah dan tinggi sudah mula bercampur sebagai sebuah masyarakat majmuk.

Oleh itu, pendekatan konflik, krisis mahupun kesepaduan dalam mengurus hubungan etnik harus diisi dengan teliti dan lebih dinamik. Kita tidak lagi boleh ‘menyem­bunyikan’ apa-apa. Perkembangan ilmu pengetahuan,kemajuan pendidikan, kepesatan Internet dan teknologi maklumat menyebabkan kita tidak lagi boleh mengurus hubungan kaum seperti penjajah mengurus hubungan kaum satu ketika dulu.

Hari ini, rakyat dan kerajaan harus lebih terbuka dan bersedia menerima pemikiran baharu me­nguruskan hubungan kaum. Sebagai contoh, jika dulu isu sensitif tidak boleh diperbincangkan apatah lagi diperdebatkan, hari ini sudah perlu untuk hal-hal sebegini dianjurkan untuk melalui proses keterbukaan. Tetapi dengan syarat, rak­yat terlebih dahulu diberikan didikan dengan kemahiran maklumat, faham makna meraikan kepelbagaian pandangan dan keupayaan berfikir yang baik.

Pengurusan emosi menjadi semakin penting dan kritikal. Rakyat perlu ada keupayaan untuk membezakan kepelbagaian pandangan sebagai satu proses keterbukaan dan bukannya satu produk akhir.

Generasi muda yang sudah terdedah dengan pelbagai maklumat dan informasi mesti juga ada kemahiran menguruskan maklumat tersebut. Bukan semua maklumat di Internet benar dan tidak juga semuanya salah. Rakyat perlukan kemahiran mengurus kebanjiran maklumat ini dengan bijak.

Oleh itu, proses meraikan kepelbagaian pandangan dan perspektif harus dimulakan. Kerajaan harus berani membenarkan rakyat berdiskusi secara terbuka dan pada masa sama bersedia memberikan pendidikan bagaimana untuk rakyat khususnya generasi muda dapat menguasai kemahiran bagi menguruskan keterbukaan baharu ini.

Anak-anak muda harus dilatih untuk membicarakan isu-isu yang sensitif secara berpedoman, me­raikan kepelbagaian, menghormati pandangan pihak lain, tidak me­nyalahkan mana-mana pihak sebaliknya berupaya mencadangkan agenda baru demi kebaikan, tidak menerima bulat-bulat pemikiran orang lain sebaliknya sentiasa mahu berfikir dan bertanya untuk mendapat jawapan yang lebih meyakinkan.

Misalnya kita tidak mampu lagi membiarkan anak muda Malaysia bukan Melayu tertanya-tanya tentang hak bumiputera. Kita juga sudah tidak mampu untuk terus membiarkan anak Melayu Malaysia tertanya-tanya mengapa sebilangan bukan Islam sentiasa cuba menimbulkan hal-hal berkaitan Islam jika kita tidak membenarkan mereka berjumpa, berdialog dan berbincang secara bersemuka dengan rakan-rakan bukan Islam.

Jika kita tidak terbuka, mereka tetap juga akan mula mencari jawapan yang mereka inginkan. Dan jika tidak diberikan kemahiran menguruskan kebanjiran maklumat ini, pasti akan ada pihak berkepentingan cuba memberikan perspektif yang salah kepada anak-anak muda ini.

Maka keterbukaan menjadi lebih kritikal sekarang berbanding dahulu dalam mengurus hubungan kaum di negara ini. Keterbukaan adalah intipati kepada pengurusan hubu­ngan kaum masa kini. Tanpa keterbukaan, mustahil kesepaduan dan keharmonian dapat kita capai.

Apa yang jelas, kita tidak mampu lagi menguruskan hal-hal berkaitan hubungan kaum dengan melarang rakyat menyentuh isu-isu sensitif. Memang menjadi fitrah manusia pasti akan sentiasa mencari jawapan, termasuk kepada perkara yang dilarang. Jadi adalah lebih baik ke­teraturan dalam mendidik rakyat membincangkan isu-isu sensitif secara terbuka dan berhemah dianjurkan.

Forum, debat, pidato, rencana dan sebagainya harus dibenarkan asalkan rakyat diberi kemahiran untuk meraikan kepelbagaian panda­ngan. Itu lebih baik daripada membiarkan mereka membincangkan isu-isu sensitif secara tidak teratur, tidak bertanggungjawab dan tidak amanah. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tags: kaum, pendidikan, sekolah
Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments