kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Brickfields dan KL Sentral


LITTLE India adalah kawasan tumpuan pelancong dan pengunjung yang meriah sebagai tempat membeli belah apabila tiba musim perayaan.

Garisan masa Brickfields

Begitu warna-warni sebenarnya sejarah ibu kota negara ini, bukan sahaja menyimpan pelbagai memori tetapi turut memiliki kawasan-kawasan yang dipengaruhi oleh pembangunannya.

Brickfields merupakan sebuah kawasan penting dalam pembangunan Kuala Lumpur. Ia bermula pada hujung kurun ke-19 apabila ibu kota dilanda bencana banjir dan kebakaran menyebabkan banyak bangunan rosak dan runtuh.



PERMANDANGAN dari atas Little India yang sentiasa sesak dengan kedatangan pengunjung yang ingin mendapatkan barangan keperluan di sana. -

Dari situlah lahirnya sebuah kawasan yang dahulu hanya menempatkan sebuah kilang batu-bata sahaja, kemudian dibina jalan raya dan landasan kereta api menghubungkan Brickfields, Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur untuk membawa batu-bata.

Pembangunan Brickfields pada era kelahirannya dilihat begitu signifikan apabila kerajaan British yang memerintah pada waktu itu serius menjadikan kawasan tersebut sebagai sumber pembangunan Kuala Lumpur yang diasaskan oleh Kapitan Yap Ah Loy.

Kesungguhan British begitu nyata apabila mereka membawa masuk hampir 10,000 orang India untuk bekerja di kilang batu-bata dan membina landasan kereta api.

Saban tahun industri batu-bata itu terus berkembang sehinggalah, peneraju terakhir iaitu Yap Ah Seng tidak lagi mengusahakan kilang tersebut kerana British tidak lagi memerlukannya.

Sejak itu, aktiviti ekonomi masyarakat tempatan berubah kepada pertanian dan penternakan. Tapak kilang batu-bata bertukar menjadi kandang kerbau.

Masa terus berlalu, Brickfields terus dibangunkan, berikutan terdapat hab pertukaran gerabak kereta api di sana, ia terus dibangunkan menjadi hab pengangkutan awam yang dinamakan KL Sentral.

Dalam pada itu, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bertanggungjawab membangunkan KL Sentral yang kini mengandungi tujuh buah bangunan termasuk hotel dan pejabat.

Pembangunan tersebut begitu signifikan dengan Brickfields, sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan masyarakat di sana.

Ikuti tinjauan Wartawan S2, Mohamad Athir Ismail bersama jurugambar Fariz Rusaido dan Nooradzrene Mohd. Noor yang melihat sendiri garisan masa pembangunan di Brickfields yang mempunyai nilai sentimental tinggi buat penduduknya.



KL Sentral nafas baharu Brickfields

Brickfields bukanlah sebuah kawasan yang berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, tetapi hanyalah kawasan pinggir bandar yang dibangunkan kerana terletak hampir dengan kota metropolitan tersebut.


STESEN KL Sentral merupakan hab pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang pada awalnya adalah sebuah depoh KTMB.

Kemudahan akses dan hab pengangkutan rel menjadikan kawasan kecil tersebut begitu signifikan untuk dibangunkan sebagai pusat tumpuan pengunjung Kuala Lumpur yang datang dari seluruh negara.

KL Sentral mula beroperasi pada tahun 2001 menjadi lokasi tumpuan buat pengunjung termasuk mereka yang bekerja di Kuala Lumpur sebelum mengambil tren ke destinasi masing-masing.

Begitulah fungsinya sebagai hab pengangkutan moden, namun kawasan yang merupakan sebahagian daripada Brickfields itu tidak lari daripada tanggapan masyarakat sebagai sebuah tempat yang sesak dan susah untuk meletakkan kenderaan.


KL Sentral sentiasa menerima pengunjung yang menggunakan perkhidmatan tren untuk ke destinasi dalam dan luar Kuala Lumpur.

Sebenarnya KL Sentral dibina untuk meminimumkan penggunaan kenderaan persendirian dan menggalakkan orang ramai menaiki kenderaan awam seperti komuter, aliran transit ringan (LRT), bas dan sebagainya.

Begitulah penjelasan diberikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Mohd Imran Mohamad Salim.

Beliau turut memberitahu MRCB merancang mewujudkan bandar raya moden dengan memberi tumpuan kepada kemudahan pejalan kaki untuk ke kawasan sekitar.

“KL Sentral, hab pengangkutan ini dibina dan dimasukkan elemen-elemen seperti kemudahan pergerakan tanpa kenderaan peribadi serta pembangunan berteraskan teknologi hijau.

“Dengan pembangunan berorientasikan konsep tersebut, kita tumpukan kepada pembinaan-pembinaan ruang pejabat yang banyak serta pusat membeli-belah supaya para pengunjung atau pekerja tidak perlu membawa kenderaan sendiri. Justeru, mereka hanya perlu datang naik tren.


Mohd Imran Mohamad Salim

“Apabila tiba di KL Sentral, mereka hanya perlu jalan kaki untuk ke pejabat dan tidak lagi risau untuk menempuh trafik yang sesak, tempat letak kereta dan sebagainya,” jelasnya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Merancakkan lagi pembangunan di KL Sentral dan kemudahan akses ke destinasi-destinasi pelancongan di Kuala Lumpur, Mohd Imran memberitahu bahawa beliau mahukan orang ramai datang ke Brickfields dan Kuala Lumpur.

“Dekat Kuala Lumpur ada banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati dan setiap hari kota metropolitan ini menerima ribuan kunjungan pelancong dalam dan luar negara.

“Jadi, kita wujudkan pelbagai kemudahan yang bermula di KL Sentral. Dekat sini, boleh dikatakan sebagai pusat informasi buat para pelancong yang ingin ke destinasi-destinasi dalam Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan awam.

“Kini, pihak MRCB mencadangkan kepada kerajaan untuk membina beberapa laluan berbumbung ke muzium dan Taman Tasik Perdana sebagai kemudahan kepada pelancong untuk berjalan kaki ke kawasan-kawasan tersebut.

“Kalau bercerita tentang jalan kaki, dekat KL Sentral sahaja terdapat tujuh bangunan yang dihubungkan dengan laluan pejalan kaki berbumbung sehinggalah ke Jalan Tun Sambanthan,” katanya.

“Selain itu, kita juga mahu ramai orang berkunjung ke Brickfields sebagai sebuah kawasan unik di mana wujudnya Little India yang terletak di Jalan Tun Sambanthan,” katanya.

Tambah beliau, KL Sentral dan Brickfields sangat berkait rapat, selain terletak dalam kawasan tersebut, kemasukan pengunjung melalui hab pengangkutan awam itu membantu merancakkan lagi aktiviti perniagaan di Brickfields.

“KL Sentral dan Brickfields saling memberi faedah antara satu sama lain, pembangunan KL Sentral memberi peluang pekerjaan yang baik kepada anak muda Brickfields, dalam masa yang sama turut membantu perniagaan mereka.

“Kebanyakan pekerja yang bekerja di KL Sentral akan keluar makan tengah hari di sekitar Jalan Tun Sambanthan. Mereka akan berjalan kaki melalui pusat membeli-belah baharu Nu Sentral dan laluan pejalan kaki berhawa dingin. Begitu juga penduduk Brickfields akan melalui jalan yang sama untuk ke KL Sentral.

“Siapa yang mampu hendak makan tengah hari dekat hotel, saya pun tak mampu, mesti hendak cari kedai mamak juga,” selorohnya.

- Utusan Malaysia Rencana 21 Feb 2015

Membeli-belah dalam kesibukan bekerja

Sambil menunggu ketibaan tren ataupun ingin mencuci mata selepas penat bekerja, Nu Sentral, pusat membeli-belah yang baharu dibuka pada tahun lalu menyajikan pelbagai premis membeli-belah dan aktiviti istirehat.


PEMBAN GUNAN di KL Sentral menekankan konsep mesra alam dan menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam.

Bukan itu sahaja, jika anda ingin ke stesen monorel di Jalan Tun Sambanthan, Nu Sentral turut menyediakan laluan selesa dan berhawa dingin. Ia seperti sebuah pusat membeli-belah sehenti bagi mereka yang tidak berkesempatan berbelanja dalam kesibukan bekerja.

Nu adalah sebutan mudah dalam bahasa Inggeris yang membawa maksud baharu iaitu ‘new’. Ia bersesuaian dengan nama premis tersebut yang baharu sahaja dibuka dan menjadi hab transit membeli-belah.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Mohd Imran Mohamad Salim, Nu Sentral merupakan sebuah bangunan berkonsepkan teknologi hijau.

“Bangunan Nu Sentral dibina dan disesuaikan dengan konsep bandar raya moden dan mesra alam. Teknologi hijau yang terdapat pada bangunan ini ialah penggunaan tenaga elektrik yang dapat dikurangkan sehingga 33 peratus.

“Selain itu, lokasi Nu Sentral turut menjadi faktor tarikan kerana kedudukannya yang menjadi sebahagian daripada stesen KL Sentral. Keadaan itu menjadikan pusat membeli-belah ini begitu mudah dikunjungi dengan pengangkutan awam dan tiada masalah parking.

“Ia merupakan satu-satunya pusat membeli-belah dan selain terletak di tengah-tengah kawasan pusat dagangan, ia juga menghubungkan KL Sentral dengan Brickfields melalui laluan pejalan kaki berhawa dingin,” katanya kepada S2.

Selain itu, beliau menambah, pusat membeli-belah Nu Sentral akan disesuaikan dengan semua lapisan masyarakat iaitu sesiapa sahaja yang berkunjung ke KL Sentral.

“Memandangkan ia sebuah transit membeli-belah dalam stesen KL Sentral, secara tidak langsung Nu Sentral menerima kunjungan pelanggan daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke Kuala Lumpur.

“Justeru, kita turut menekankan premis-premis serta kedai-kedai makan yang menjual produk tempatan dan semestinya menepati cita rasa rakyat Malaysia.

“Dalam pelaburan bernilai RM1.4 juta, Nu Sentral atau Lot G ini menyediakan 20 peratus premis yang dikhususkan untuk bumiputera memperkenal dan menjual produk-produk mereka termasuklah butik fesyen dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau lagi, KL Sentral turut menyediakan inkubator buat usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) termasuk menawarkan pelbagai bentuk bantuan dalam perniagaan.

“Saya berharap, KL Sentral sebagai hab pengangkutan awam termasuk Nu Sentral sebagai transit membeli-belah menjadi satu trend di mana rakyat Malaysia berkunjung, bertemu rakan-rakan dan berkomunikasi antara satu-sama lain,” katanya mengakhiri perbualan. -  Utusan Malaysia Rencana 21 Februari 2015 5:00 PM

Tags: heritage, warisan
Subscribe

  • Berani

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Hamid Bador: Antara persepsi dan kenyataan

    Mantan Ketua Polis ke-12 memperdengarkan ungkapan "persepsi” sebelum beliau menyerahkan kuasa pada 3hb Mei 2021. Namun, beliau menyebut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments