kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Brickfields suatu masa dahulu, Little India, KL Sentral rancakkan perniagaan

Brickfields suatu masa dahulu

Banyak bandar-bandar di Malaysia dibuka dek kemajuan pentadbiran kerajaan pada masa itu yang dilimpahi dengan kemakmuran ekonomi, penambahan bilangan penduduk dan sebagainya.


SEBUAH kuil yang terletak di Jalan Tebing dekat Brickfields didakwa telah menjangkau 100 tahun.

Namun, terdapat suatu kelainan pada sebuah kawasan di pinggir bandar Kuala Lumpur yang dinamakan Brickfields. Berdasarkan pada namanya, pasti ramai beranggapan kawasan tersebut mempunyai sejarah berkaitan dengan batu.

Menurut penduduk di situ (sekarang), sejarah kawasan berpenduduk majoriti India itu bermula apabila Kuala Lumpur dilanda bencana banjir dan kebakaran pada 1881.

Ketika itu adalah zaman pemerintahan kerajaan British yang telah mengambil kira kos pembinaan semula bangunan-bangunan yang musnah akibat banjir tersebut.


Justeru, atas saranan Yap Ah Loy, sebuah kilang batu-bata dibina untuk mengurangkan kos membawa masuk batu-bata dari luar seperti Singapura dan tempat lain.

Pengerusi Rukun Tetangga Brickfields, S. Kanakiahnaidu menerangkan kawasan Brickfields seluruhnya adalah sebuah kilang yang dalamnya terdapat beberapa buah tanur untuk membakar batu-bata.

“Kilang batu-bata dibuka oleh Yap Ah Loy iaitu seorang kapitan Cina yang mengasaskan permodenan Kuala Lumpur. Pada waktu itu, kawasan ini masih belum dinamakan Brickfields.

“Beliau telah membeli sebidang tanah desa di kawasan pinggir bandar raya Kuala Lumpur dan membuka sebuah kilang batu-bata.

“Pada waktu tersebut, masyarakat India masih belum dibawa masuk British sehinggalah mereka diperlukan untuk membuat batu-bata yang banyak dalam satu-satu masa.


“Justeru, British membawa masuk 5,000 hingga 10,000 orang dari India untuk bekerja di kilang batu-bata tersebut, seterusnya menjadi penduduk tetap di Brickfields,” katanya kepada S2.

Sementara itu, seorang penduduk generasi keempat iaitu Candra L. Ramprakash menceritakan kemasukan masyarakat India turut mempunyai kisahnya tersendiri.

“Kerajaan British pada waktu itu membawa masuk masyarakat India dari Sri Lanka kerana mereka ini berpendidikan dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

“British membawa masuk warga Sri Lanka untuk bekerja dengan mereka dan juga membina landasan kereta api di Brickfields bagi memudahkan kerja-kerja mengangkut batu-bata menggunakan gerabak kereta api.

“Kemudian, kerajaan British membawa masuk orang India pula untuk bekerja di kilang batu-bata. Pada waktu itu, belum wujud lagi negara India, justeru ia dipanggil Benua Keling dan Sri Lanka menjadi salah sebuah kawasan dalam benua tersebut,” jelasnya.

Chandra menambah, warga India dan Sri Lanka yang datang ke sini terus menjadi warganegara, sementara Brickfields pula bertukar menjadi kawasan perdagangan yang dibangunkan oleh Yap Kwan Seng iaitu kapitan Cina terakhir di Kuala Lumpur.

Menurut beliau lagi, melihat potensi Brickfields sebagai kawasan paling hampir dengan Kuala Lumpur, Yap Kwan Seng membangunkan kawasan tersebut dengan pembinaan beberapa buah rumah kedai dan penempatan.

“Setelah melihat potensi industri pembuatan batu-bata, Yap Kwan Seng pula mengambil-alih kilang di Brickfields dan dalam masa yang sama membangunkan kawasan ini menjadi seperti yang semua orang boleh lihat sekarang.

“Kini, terdapat banyak pembangunan di Brickfields termasuklah KL Sentral menjadi hab pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang dibangunkan oleh pihak MRCB,”katanya.


Little India, KL Sentral rancakkan perniagaan

Tidak putus-putus pelanggan datang ke kedai-kedai di sepanjang Little India di Jalan Tun Sambanthan yang banyak menjual barangan seperti pakaian tradisional masyarakat India serta produk keperluan lain.


Raja

“Saya nampak perbezaan jumlah pelanggan begitu ketara sebelum dan selepas pembinaan KL Sentral serta pengisytiharan Brickfields sebagai Little India yang melonjakkan jumlah pengunjung di sini.”


LITTLE India sentiasa menerima kedatangan pengunjung terutama pada musim perayaan.

Itulah jawapan yang diperoleh penulis apabila membuat tinjauan di kedai serbaneka milik S. S. Sellappa, 49, yang sudah berniaga di Brickfields sejak lebih 15 tahun yang lalu.


S.S.Sellapa

Menurut beliau lagi, KL Sentral menjadi pusat bagi pengangkutan awam seperti komuter, tren Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, bas, teksi dan sebagainya menyebabkan begitu ramai pengunjung masuk ke Brickfields.

“Baru-baru ini, saya nampak ada lagi projek di jalan masuk ke Brickfields. Kebanyakan pelanggan datang dari KL Sentral menuju ke bangunan hujung Jalan Tun Sambanthan. Sambil itu, mereka singgah ke kedai saya untuk membeli barang.

“Banyak juga pelancong asing dari luar negara datang ke kedai membeli cenderamata dan pakaian. Kalau tiba musim perayaan sama ada Deepavali, Ponggal dan sebagainya, ia membuatkan saya dan pembantu tidak menang tangan.


Nagesrau

“Namun saya berpuas hati apabila ramai orang datang ke kedai saya. Saya tidak lagi risau tentang masalah pelanggan,” katanya kepada S2.

Sementara itu, turut memberikan reaksi sama ialah pengurus sebuah restoran di Little India, Nagesrau, 43, yang mendakwa sejak terbinanya KL Sentral dan pejabat-pejabat sekitarnya menjadikan kedainya semakin ramai pengunjung.

“Tak macam dahulu, pelanggan tidak ramai. Kini, sejak ada semua itu, ramai pekerja sekitar datang makan di sini.

“Mereka juga tidak perlu risau tentang parkir kereta dan sebagainya, sebab sudah ada kemudahan untuk berjalan kaki dari pejabat ke Little India,” katanya.

Menurutnya, beliau menjangkakan pada tahun ini lebih ramai pengunjung akan datang ke restorannya berbanding tahun lalu.

“Sekarang pun saya terpaksa tambah pekerja untuk membantu menguruskan restoran ini.” ujarnya.

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat di pinggir Kuala Lumpur sedikit sebanyak turut memberi impak negatif terutamanya kepada pengusaha-pengusaha premis kecil.

Raja Samiappah, 55, yang mengusahakan kedai fotostat dan alat tulis berkata, kenaikan sewa bulanan menjadikan kos operasi di kedainya meningkat.

“Saya sudah berniaga di sini lebih 20 tahun.Pengisytiharan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengumumkan Brickfields sebagai Little India telah memberi kesan positif kepada para pengusaha kedai makan, pakaian, barang kemas dan seumpamanya.

Tags: heritage, warisan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments