kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sebelum bergelar KL Sentral, Kuarters 100 paling banyak kenangan

Kuarters 100 paling banyak kenangan

Sambil meninjau sekitar Brickfields, penulis diberitahu terdapat banyak bangunan lama dan juga kawasan-kawasan yang mempunyai memori tersendiri.

Mendengar kisah-kisah diceritakan oleh Chandra L. Ramprakash, seorang penduduk yang lahir dan membesar di Brickfields, penulis terkejut apabila diberitahu terdapat sebuah jeti kecil Sungai Klang di Brickfields.



Ramlee Shariff

“Betul I cakap you... sejarah tu..., I dengar daripada penduduk dekat sini termasuk jiran-jiran. Mereka pun cerita yang sama. Menurut mereka, jeti tersebut terletak di belakang kuil lama yang kini menjadi tempat letak kereta.

“Sungai Klang menjadi medium penghubung sebelum jalan dan landasan kereta api dibina. Menurut cerita yang I dengar, dahulu British bawa masuk orang India di Pelabuhan Klang melalui sungai tersebut.

“Selepas mereka datang, baharulah ada jalan raya khusus dan landasan kereta api untuk mengangkut batu-bata ke bandar raya Kuala Lumpur,” katanya sambil menunjukkan tempat-tempat bersejarah di Brickfields.

Beliau menambah, terdapat banyak perubahan dapat dilihat terutama sekali nama-nama jalan yang digunakan di Brickfields.

“Jalan Tun Sambanthan dahulu dikenali sebagai Jalan Brickfields, sekarang kalau you berbual dengan orang lama-lama dekat sini, mereka tidak panggil Jalan Tun Sambanthan.



KUARTERS 100 ini adalah antara bangunan-bangunan bersejarah di Brickfields yang sedang diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembangunan. -

“Banyak lagi nama-nama jalan, contohnya Jalan Travers dinamakan sempena seorang doktor perubatan yang banyak berjasa kepada penduduk di Brickfields.

“Selain itu, Jalan Berhala pun dinamakan sedemikian kerana terdapat banyak kuil di Brickfields dibina oleh masyarakat India yang datang dari pelbagai tempat di sana,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut warna-warni kenangan di Brickfields, Pengerusi Rukun Tetangga Sektor C, Ramlee Shariff berkata, terdapat sebuah penempatan orang Melayu di kawasan tersebut.

“Saya tinggal di sini sudah lebih 30 tahun. Jadi, saya sempat melihat keadaan Kampung Khatijah di Brickfields yang menjadi satu-satunya penempatan orang Melayu.

“Tidak banyak pun rumah di sana, sekitar 20 buah sahaja. Selain itu, terdapat 100 buah kediaman kakitangan awam di Brickfields. Rumah tersebut dipanggil sebagai Kuarters 100 sebab jumlah rumah di situ sebanyak angka tersebut.

“Itu dahulu...Kini, kampung tersebut sudah lama dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen monorel Brickfields. Penduduk telah dipindahkan ke pangsapuri Palm Courts. Ada juga yang berpindah keluar ke tempat lain,” katanya.

Mengenang kisah-kisah dahulu dan memori yang terpahat di Brickfields, Ramlee menambah Kuarters 100 adalah kawasan yang paling banyak kenangan.

“Saya kata begitu sebab, dahulu saya tinggal di kuarters tersebut, jadi banyak aktiviti kemasyarakatan diadakan di sana.

“Kalau petang-petang pula, dekat sebelah kuarters, ada sebuah padang yang menjadi tempat tumpuan kaki bola. Bukan sahaja warga Brickfields, malah orang luar turut datang bermain. Saya seronok tengok mereka bermain sambil duduk bersembang dengan jiran-jiran lain,” katanya.

Beliau menambah, terdapat satu lagi keunikan iaitu Madrasathul Ghoutiyyah di Brickfields.

“Uniknya khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Tamil sebab majoriti penduduk di sini adalah orang India dan ramai masyarakat itu beragama Islam.

“Kalau kelapangan, datanglah solat Jumaat di sini,” ujarnya.



Sebelum bergelar KL Sentral

Depoh di Brickfields bukanlah yang pertama dibina oleh syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Depoh pertama dibina di Sentul.


DI sinilah tempat pertukaran dan penyambungan gerabak di Kuala Lumpur sebelum keretapi bergerak menuju ke destinasi seperti Utara, Selatan dan Timur Tanah Air.

Sebelum wujudnya KL Sentral, tapak asalnya adalah sebuah pusat pengagihan KTMB yang berfungsi untuk mengasingkan gerabak perdagangan dari Pelabuhan Klang untuk dihantar ke destinasi-destinasi di selatan, utara dan timur Semenanjung.

Menyingkap sejarah pembinaan landasan keretapi di Brickfields, Pengurus Besar Keretapi Persekutuan Tanah Melayu pertama, C.E. Spooner bertanggungjawab membina landasan dari Klang ke Kuala Lumpur yang siap pada tahun 1886.

Menurut Eksekutif Muzium KTMB, Md Zainuddin Abd Rahman, keluasan kawasan KTMB pada masa itu meliputi beberapa tempat seperti Jalan Ang Seng hingga ke Jalan Brickfields (Jalan Tun Sambanthan).


KL Sentral menjadi mercu tanda sebagai hab pengangkutan awam di Kuala Lumpur sekali gus memberi nafas baharu kepada Brickfields.

“Terdapat kira-kira 50 landasan di depoh Brickfields dan dua baris rumah kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada waktu itu yang terletak di Brickfields dan Jalan Ma’arof.

“Terdapat juga sebuah catatan mengatakan landasan keretapi di Kuala Lumpur (KL Sentral) telah dibina lebih awal berbanding di Brickfields yang bertujuan untuk mengangkut batu-bata.

“Kewujudan depoh di KL Sentral pula adalah berfungsi sebagai pusat pembahagian kargo yang menempatkan beberapa buah bengkel,” katanya ketika ditemui S2.

Jelas beliau lagi, melihat kepada fungsi landasan keretapi di Kuala Lumpur sebelum wujud KL Sentral, terdapat beberapa kepentingannya.

“Landasan di Brickfields sangat penting untuk menyambung perjalanan keretapi dari utara dan selatan. Di situ juga tempat menceraikan gerabak-gerabak.

“Sebelum ini, terdapat beberapa landasan telah ditutup seperti landasan ke Bangsar dan Lembaga Lektrik Negara (sekarang TNB) melalui laluan Abdullah Hukum. Fungsinya adalah untuk mengangkut barangan harian termasuklah barang-barang milik syarikat Lever Brothers dan Walls.

“Selain itu, di Brickfields juga terdapat beberapa gudang seperti gudang kastam, gudang swasta dan sebagainya. Ia terletak berhadapan dengan Jalan Travers dan Jalan Brickfields,” ujarnya.

Tambah Md Zainuddin lagi, walaupun kilang batu-bata telah ditutup, namun operasi depoh KTMB masih lagi beroperasi dan penutupan tersebut cuma mempengaruhi beberapa landasan di Jalan Brickfields sahaja.

“Penutupan landasan di kawasan tersebut perlu bagi memberi laluan kepada pembangunan memandangkan ia tidak lagi digunakan untuk mengangkut batu-bata. Tambahan pula, Brickfields menerima peningkatan penduduk yang semakin ramai.

“Selain Brickfields, landasan lain seperti laluan Bangsar dan Lembaga Letrik Negara juga terpaksa ditutup untuk mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Bangsar,” jelasnya.

Tags: heritage, warisan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments