kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lawan api dengan api

DALAM bidang memadam kebakaran atau bomba, makna fight fire with fire atau api lawan api khusus merujuk kepada satu strategi anggota bomba memadam kebakaran. Lazimnya bomba memadam api menggunakan air dan dalam sesetengah kes membabitkan bahan kimia, bomba akan menyembur busa atau istilah bahasa Inggeris, foam.

Dalam situasi kebakaran hutan, kaedah api lawan api dilaksanakan iaitu bomba menggunakan minyak bagi mematikan api yang sedang merebak. Dalam istilah lain, ia disebut sebagai "pembakaran terkawal". Kaedah ini dibuat hanya setelah cara konvensional menggunakan air tidak berjaya.

Satu lagi kaedah ialah "backfiring" yang termasuk dalam metodologi "pembakaran terkawal". Caranya ialah anggota bomba cuba mengekang kemaraan api atau memesongkannya ke arah lain dari kawasan perumahan, dengan membakar minyak pada laluannya.

Melaksanakan kaedah api lawan api ini bukan suatu kerja yang mudah bagi anggota bomba, sebagaimana terdapat kes kegagalan termasuk kejadian kebakaran hutan di Los Alamos, New Mexico pada tahun 2000, yang memusnahkan 200 rumah kediaman.

Tetapi ayat fight fire with fire dalam sistem sosial kita memberi makna lain. Definisi kamus Cambridge menyatakan maksudnya sebagai "menggunakan kaedah serupa yang digunakan oleh seseorang untuk mengalahkan mereka". Mungkin terhasil daripada pemikiran Niccolò Machiavelli. Atau mungkin juga Don Corleone dalam novel The Godfather?


SEORANG anggota bomba memerhati api kebakaran yang marak di Lebuh raya 50 di Fresh Pond, California, pada 16 September tahun lalu. – REUTERS

Machiavelli yang hidup pada kurun ke-15 merupakan pencetus idea radikal sains politik iaitu "tindakan akhiran menghalalkan cara" atau the ends justifiying the means dalam buku tulisannya, The Prince.

Idea-ideanya mendorong label "Machiavellianisme" yang membawa makna negatif untuk menggambarkan watak ahli politik yang tidak beretika dalam The Prince. Buku ini sangat terkenal pada zamannya, dan menjadi rujukan pelajar sains politik sehingga sekarang.

Ini kerana Machiavelli kelihatan "membenarkan" sikap jahat dan tidak bermoral watak-watak di dalam buku itu. Ringkasnya, ia berkisar tentang cara salah atau jahat untuk mencapai keputusan yang positif dan menghalalkan tindakan jahat itu dengan memberi alasan kepada keputusan yang baik hasil daripadanya.

Secara ringkasnya, istilah Machiavellian dikaitkan dengan penipuan, cita-cita tiada sempadan dan kekejaman ahli politik. Machiavelli menggunakan latar negaranya pada akhir kurun ke-15 iaitu Republik Florence yang tidak bersatu dalam Itali, berbanding Perancis yang teguh sebagai sebuah negara.

Bagaimana pula Don Corleone? Ia adalah watak ciptaan Mario Puzo dalam novel The Godfather yang kemudiannya diangkat menjadi filem, seterusnya menjadi filem klasik terhebat pernah dicipta tentang La Cosa Nostra di Amerika Syarikat.

Pendekatan "api lawan api" Corleone ialah lawan keganasan dengan keganasan. Darah dibalas darah. Bila musuh menyebabkan anggota anda cedera dan terpaksa dirawat ke hospital, anda hantar seorang daripada mereka ke rumah mayat.

Bagaimanapun, Puzo dikritik kerana menjadikan mafia sebegitu romantik, yang kononnya hanya menggunakan "api lawan api" setelah ditekan dan diserang musuh. Walhal realitinya, sama sahaja. Mafia tetap mafia. Corleone, walaupun hanya watak rekaan tetapi dipercayai diambil daripada Ketua Segala Ketua Mafia, Don Carlo Gambino di New York.

Secara peribadi, saya mengenali perkataan ini di usia remaja ketika pertama kali mendengar lagu judul sama kumpulan heavy metal, Metallica.

Baris pertama lirik lagu Metallica itu sendiri sudah kuat memberi makna kepada judul. Do unto others as they have done unto you, atau lakukan ke atas orang sebagaimana mereka telah lakukan ke atas anda. Lagu ini masih tersenarai antara lagu terbaik sepanjang zaman dalam akaun Youtube saya.

Apa signifikan Merrepak tentang "api lawan api" ini? Mudah sahaja. Sekian lama kita guna kaedah konvensional dan tradisional untuk menjawab apa sahaja "serangan" musuh, tetapi musuh menggunakan segala kaedah dan platform untuk terus menerus memburukkan kita. Tujuannya ialah agar persepsi kita jadi buruk di mata orang.

Satu hari, kita diberi satu peluang untuk "menyerang balas". Sekian lama cara kita dilabel "lawan api dengan air". Tetapi hari ini, ada cara untuk "lawan api dengan api". Maka bermulalah siri serang balas. Tetapi dalam kalangan kita sendiri tidak suka sebab kononnya kita tidak patut merendahkan martabat mengikut cara kotor musuh.

Masalahnya, apakah kita perlu gentleman kepada musuh yang tidak tahu pun konsep gentleman? Mengapa perlu guna air untuk padam api, yang diketahui akan terus marak dan membakar tangan badan anggota bomba yang setia? Dalam keadaan kebakaran hutan liar yang marak, apa salahnya guna metodologi "api lawan api"? Inilah masanya.

Subscribe

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

    TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul…

  • From Malaya to Malaysia

    Growth and evolution are natural and necessary in any federal set-up. AS we commemorate Malaysia Day, it is important to look back at the mileposts…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments