kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penerbangan terakhir Lin Biao

DALAM keadaan tergesa-gesa dan ketakutan kerana mengesyaki Mao Tse-tung dan Chow En-lai telah mengetahui hasrat mereka untuk lari ke luar negera – dan menyedari mereka akan menghalang – Lin Biao memutuskan untuk lari ke Mongolia. Ibu kotanya, Ulan Bator, pernah dilawatinya semasa dia mengikuti kursus di Moscow anjuran parti selama lima tahun ketika waktu mudanya. Dia juga tahu bahasa Rusia. Setelah beberapa ketika di Ulan Bator, dia bercadang berhijrah ke Moscow. Dengan persengketaan yang sedia wujud antara China dan Soviet pada masa itu, Lin Biao mengirakan pemerintah Soviet sedia “menerima” kedatangannya.

Hampir tengah malam 12 September (1971), sedang ketiga-tiga orang kru Trident nyenyak tidur, mereka dikejutkan oleh panggilan telefon daripada Li-guo, menyuruh mereka bersiap sedia untuk terbang pada ketika itu juga. Sedang mereka bergegas mengisi minyak, tiba-tiba muncul Lin Biao bersama isterinya, Li-guo, pemandu Lin Biao dan seorang rakan Li-guo dari tentera udara. Ada sembilan orang semuanya semasa pesawat bergerak untuk penerbangan – termasuk kapten dan tiga anggota kru. Walaupun Trident patut ada sembilan anggota kru, cuma kapten dan tiga mekanik saja sempat menyertai penerbangan keadaan yang cukup terdesak itu.

Pesawat berlepas terbang tepat pukul 12.32 tengah malam 13 September. Sebetulnya, tiga mekanik tersebut belum siap membuat kerja-kerja prosedur penyediaan penerbangan pesawat. Mereka juga baru saja mula mengisi minyak apabila Lin Biao dan keluarganya muncul. Isteri Lin Biao, Ye Qun, menjerit mengarahkan tanker minyak dialihkan. Akibatnya, pesawat hanya diisi 12.5 tan petrol, cukup untuk penerbangan selama dua hingga tiga jam sahaja. Inipun bergantung kepada kelajuan dan ketinggian penerbangan.


Lin Biao dan isterinya Ye Qun.

Trident terbang rendah hampir sepanjang penerbangan untuk mengelak dikesan oleh radar. Ini, seperti disebut tadi, menyebabkan lebih banyak petrol digunakan. Pesawat telah menyeberang sempadan China-Mongolia pada pukul 1.50 pagi. Sekarang pula terbang di ruang angkasa padang rumput (grassland) negara Mongolia yang amat luas. Pada masa itu, minyak tinggal 2.5 tan sahaja. Pada pukul 2.30 pagi (waktu Beijing), Trident telah jatuh terhempas di satu kawasan lurah. Ia meletup apabila terhempas, membakar dan membunuh kesemua sembilan orang di dalamnya.

Nahas

Mao Tse-tung – malah seluruh China – tidak serta-merta tahu nahas besar yang baru berlaku itu. Beberapa hari berlalu sebelum mereka tahu. Kawasan di mana pesawat yang membawa Menteri Pertahanan China itu (Lin Biao) jatuh terhempas bernama Öndör Haan. Sesetengah buku menyebutnya Undur Khan – seperti istilah bahasa Melayu bunyinya. Undur Khan letaknya kira-kira 150 batu ke timur Ulan Bator.

Sementara itu, Duta China ke Mongolia, Xu Wen-yi, telah dipanggil datang ke pejabat Kementerian Luar Mongolia di Ulan Bator pada pagi 14 September, satu hari selepas nahas berlaku. Xu Wen-yi baru 20 hari bertugas di Ulan Bator, duta sebelumnya telah dipanggil pulang oleh Beijing berikutan meningkatnya kedinginan hubungan China-Mongolia yang berhubung kait dengan konflik China-Soviet.

Tetapi, Xu tidak dapat menghubungi Beijing serta-merta. Hubungan telefon antara kedua-dua negara telah diputuskan setelah hubungan diplomatik terjejas kerana persengketaan Soviet-China. Pejabat telegraf di Ulan Bator memberitahu, untuk menghantar telegraf ke Beijing akan mengambil masa empat jam. Akhirnya, Duta Xu dapat memujuk pihak berkuasa Mongolia memulihkan hubungan telefon. Tetapi, ini pun memakan masa beberapa jam sebelum kunci untuk membuka mangga dapat dikesan. Talian telefon hanya dapat dipulihkan dua jam kemudian.

Apabila duta itu cuba menghubungi Beijing, dia mendapati di sebelah Beijing, talian telefon belum dihidupkan. Akhirnya, dia menghantar telegram biasa meminta Pejabat Kementerian Luar di Beijing menghidupkan talian telefon di Beijing. Katanya, ada berita penting yang hendak disampaikan. Hanya pada pukul 12.30 petang hari tersebut, barulah Duta Xu dapat memberitahu Beijing tentang nahas pesawat itu.

Sepanjang petang hari itu, Duta Xu semacam tersepit ditengah-tengah pertelingkahan dua pihak. Di satu pihak, dia didesak oleh pihak berkuasa Mongolia supaya memberi penjelasan kenapa pesawat tentera China menceroboh ruang angkasa Mongolia. Di pihak yang lain, Beijing ketika itu berpendirian lebih berhati-hati, walaupun mereka sudah pun mengesyaki bahawa pesawat terhempas itu ialah Trident yang membawa Lin Biao. Menjelang senja hari tersebut, atas desakan pihak Mongolia, Beijing bersetuju mengarahkan duta Xu pergi ke kawasan nahas dengan diikuti pihak berkuasa Mongolia.

Pada petang itu juga, Xu dan timbalannya bertolak ke Ondor Haan. Setibanya di situ, duta Xu mendapati ada sembilan mayat yang sudah teruk terbakar dan tidak boleh dikenal pasti. Pesawat itu didapati telah cuba mendarat, tetapi menjunam ekor dahulu, kemudian melompat balik, kedua-dua sayap terputus, lalu meletup dan terbakar.

Pada 20 September, Xu dan timbalannya pulang ke Beijing. Chow En-lai yang pertama menemui mereka, kemudian Mao Tse-tung. Pihak Mongolia menyerahkan kepada China semua dokumen yang dikutip di kawasan nahas. Menjelang China menyambut hari kebesaran 1 Oktober, kerajaan Mongolia memberitahu Beijing bahawa mereka bercadang membuat pengisytiharan tentang nahas itu.

Sehari sebelum itu, barulah Beijing memberitahu Ulan Bator latar belakang sebenar nahas tersebut – termasuk pembabitan Lin Biao dalam komplot menjatuhkan Mao Tse-tung. China telah meminta Mongolia mengelak membuat kenyataan terbuka mengenai nahas tersebut.

Berita mengenai percubaan Lin Biao melarikan diri tidak diberitahu kepada rakyat China secara rasmi selama beberapa bulan. Dalam kalangan pemimpin parti dan pegawai tinggi kerajaan, desas-desus perkara itu banyak diperkatakan. Hanya selepas setahun nahas itu berlaku, barulah pemerintah China mengeluarkan kenyataan rasmi tentang peristiwa itu kepada media antarabangsa.

Kenapa China mengambil masa setahun untuk mengisytiharkan kejadian itu? Ini kehendak Mao sendiri. Perbuatan Lin Biao menyebabkan Mao Tse-tung menghadapi dilema : bagaimana hendak menghadapi kepimpinan parti yang telah banyak dipengaruhi oleh Lin Biao semasa dia berkuasa? Tidakkah Mao sendiri telah diberi cukup amaran oleh kebanyakan pemimpin yang telah disingkirkan Mao tentang bahaya terlalu mempercayai Lin Biao?

Mao Tse-tung semacam berada dalam keadaan ‘tidak tentu arah : bagaimana dia boleh menjelaskan kepada rakyat China bahawa orang yang paling dipercayainya, yang telah melonjakkan kedudukan Mao menerusi buku kecil Red Book sampai Mao dianggap separuh tuhan, rupa-rupanya telah meyimpan keinginan membunuh Mao. Dia mengambil masa setahun merangka strategi untuk menjawab persoalan-persoalan itu.

Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments