kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Definisi negara maju tepati keperluan manusia

Bagi sesetengah pihak pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur seperti tumbuhnya kondominium, pusat membeli belah mewah, pusat hiburan serta kawasan-kawasan kediaman elit di pinggir bandar ialah garis penunjuk negara maju menjelang tahun 2020. Perubahan daripada kawasan perumahan di Bangsar menjadi kawasan elit ala Hollywood dengan bercambah tempat bersantai para selebriti di pusat hiburan menegaskan lagi status negara maju semakin hampir dalam genggaman kita.

Pusat membeli belah mewah dan ternama di Kuala Lumpur menyediakan semua yang ada di pusat membeli belah terkemuka di London mahupun New York. Ini juga menjadi satu penanda aras peningkatan taraf hidup warga kota yang mampu memiliki barang-barang berjenama dengan harga yang luar biasa mahalnya. Selain pusat membeli belah, Kuala Lumpur juga mempunyai rangkaian pusat perubatan yang menawarkan rawatan oleh pakar yang bukan lagi selesa tetapi bercirikan kemewahan.

Ciri-ciri lain ialah ruang dan peluang untuk mendapatkan pendidikan yang terbuka luas dengan tumbuhnya pusat pengajian tinggi swasta, malah yang bertaraf universiti dalam keadaan tidak terkawal. Pendidikan menjadi satu ciri penting negara maju tetapi yang berlaku di negara ini ialah mengindustrikan pendidikan. Kesannya melebarkan jurang kampung dan bandar, antara kaum dengan kaum lain.



KEMAJUAN fizikal bukan menjadi satu penanda aras negara maju sekiranya mengabaikan aspek kemanusiaan.

Daripada yang dicapai itu, nampaknya tidak sampai tahun 2020 pun kita sudah mencapai status negara maju mengikut definisi Barat. Antara yang digariskan ialah pencapaian ekonomi yang tinggi dipacu oleh kemajuan industri, teknologi yang akhirnya menjurus kepada peningkatan pendapatan perkapita warga negara.

Negara kita sudah memenuhi beberapa kriteria lain mengikut definisi Barat antaranya sistem demokrasi dalam politik, wujudnya kesedaran hak asasi manusia yang tinggi, sebagai bukti kebebasan bertindak dan bersuara sudah terlalu luas hingga mengambil ruang kebebasan golongan lain. Negara ini sudah sama seperti di Barat apabila orang ramai bebas mengambil hak kebebasan orang lain di jalan-jalan raya kononnya untuk menegakkan hak asasi manusia.

Banyak yang menganggap pendapat perkapita dan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi penanda aras utama negara maju. Malah ciri-ciri yang menjurus kepada pencapaian material dilihat sebagai “kemajuan” dengan meminggirkan aspek-aspek lain kehidupan beragama, budaya dan moral. Pencapaian material inilah yang menjadi petanda aras status negara maju dalam kamus Barat.

Kepentingan

Adakah hanya disebabkan untuk menjadi negara maju maka beberapa ciri-ciri yang bertentangan dengan keperluan manusia untuk hidup dengan aman dan harmoni harus dikorbankan? Apakah dengan pencapaian kita dari segi fizikal dan material sekarang ini mewajarkan sesetengah pihak berbangga kita semakin hampir menggenggam status negara maju? Padahal beberapa kecelaruan dari aspek keperluan manusia perlu ditambahbaik.

Oleh kerana itu definisi “maju” dan “kemajuan” mesti dibaca dalam konteks yang lebih luas merangkumi kepentingan manusia secara umumnya. Tidak ada ertinya pencapaian yang materialistik seperti pendapatan perkapita atau KDNK kalau rakyat hidup dalam kebimbangan dan diganggu oleh ruang kebebasan melampau hak asasi manusia lain. Malah tidak ada ertinya negara maju kalau prinsip moral dan agama menjadi semakin rendah atau diperendahkan oleh gerakan menjurus kepada liberalisme agama dan budaya.

Apakah ertinya kemajuan yang dizahirkan secara fizikal sekali gus mendidik naluri materialistik dengan berdirinya Bangsar South, Sri Hartamas, Mount Kiara dan berceracak penginapan mewah pencakar langit di sekitar Jalan Duta kalau generasi muda Melayu menjadi mangsa kecanggihan teknologi penyiaran. Sebabnya banyak bahan yang dibawa tidak membangunkan pemikiran dan citra manusia.

Inilah model kemajuan materialistik Barat. Kita tidak boleh merujuk model begini untuk menentukan status negara maju. Sebabnya model ini tidak dapat menyelesaikan masalah jurang kaya dan miskin, agama, sosial dan juga moral. Dengan peningkatan graf kejadian pelanggaran garis moral dan agama dan bertambahnya kadar jenayah berat seperti bunuh dan kekejaman yang melampaui naluri manusia, ini membuktikan model kemajuan material Barat tidak boleh digunakan.

Kemajuan secara mudahnya bukan sahaja maju di segi material tetapi mewujudkan satu ruang kehidupan yang aman serta tinggi citra insani dalam kalangan warganya. Maknanya sekiranya kita mendiami sebuah kawasan perumahan elit di Kuala Lumpur tetapi jalan menuju ke kediaman kita penuh dengan jenayah, manusia rosak akhlak seperti di Jalan Alor (pusat persundalan yang tidak diambil tindakan), semua itu menunjukkan kita belum mengecapi kemajuan yang sebenar.

Begitu juga dengan kejayaan negara memiliki beratus-ratus saluran televisyen berbanding 20 tahun lalu hanya tiga saluran. Ini belum lagi menunjukkan kita menuju negara maju melainkan kemajuan teknologi penyiaran itu mampu membina kekuatan jiwa kepada rakyat. Malah beratus-ratus saluran itu mungkin membawa kesan yang lebih buruk dari segi sosial walaupun kelihatan meningkat dari segi material.

Berderetnya pusat judi, tidak kira sama ada halal atau haram menjadi pemangkin kepada penularan penyakit dalam konteks agama dan moral bukanlah kemajuan namanya. Dalam konteks Barat, agama dan moral tidak menjadi ukuran konsep pembangunan bermodelkan materialistik. Tetapi dalam konteks kita, agama, moral dan rasa kemanusiaan menjadi kompas utama. Kalau terlepas dari kompas ini maknanya kita belum maju.

Maka status negara maju mestilah dalam definisi kita kerana model Barat banyak pertentangan dengan inspirasi dan nilai masyarakat negara ini. Dalam kata lain secara mudahnya perkara material dan fizikal bukanlah ukuran mutlak menjadi negara maju sekiranya rakyat tidak dapat menikmati keamanan, kesejahteraan dan ruang penyuburan kemanusiaan yang yang secukupnya.

-
Tags: negara
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments