kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Demonstrasi popia dan pembantu rumah Indonesia

Ada yang membayangkan selewat-lewatnya lima tahun lagi sudah tidak ada atau setidak-tidaknya dalam jumlah yang sangat kecil pembantu rumah Indonesia yang mencari rezeki di negara ini. Semua ini ekoran ketegasan Presiden Indonesia, Jokowi yang melarang penghantaran wanita Indonesia bekerja di luar negara sebagai pembantu rumah kerana boleh menjejaskan maruah negara. Kata Jokowi, tindakan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Lapor Astro Awani, tepukan yang sangat gemuruh menyambut hasrat Jokowi menghentikan penghantaran rakyatnya sebagai pembantu rumah di luar negara. Tetapi Jokowi dengan pantas memintas tepuk sorak itu apabila berkata, “Jangan hanya bertepuk tangan.”

Jokowi dilaporkan menambah, “Ini soal martabat bangsa, apatah lagi kalau tenaga kerja kita bermasalah dengan negara jiran.”

Beberapa tahun lalu ada menteri di Indonesia pernah mencadangkan supaya kerajaan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia. Tetapi cadangan itu mendapat tentangan terutama pembantu rumah yang bekerja di negara ini kerana menteri berkenaan hanya bercakap tetapi tidak memberikan pilihan supaya mereka tidak berkelana di negara orang mencari rezeki.

Apabila Presiden sendiri mengarahkan tindakan ini, menteri di Indonesia tidak usah memikirkan masalah sebahagian besar rakyat Malaysia yang menggunakan khidmat pembantu rumah Indonesia. Tahulah kami mencari pilihan lain selain kebergantungan yang keterlaluan kepada pekerja asing. Cuma apabila Jokowi bercakap soal martabat dan maruah negara, itu menjadi sangat abstrak. Yang abstrak itu sukar digapai.

Sementara itu di Jakarta Jumaat lalu, segerombolan aktivis yang menamakan diri mereka sebagai Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi) membuat demonstrasi di depan pejabat Kedutaan Besar Malaysia mendakwa kuih popia sebagai warisan negara itu. Mungkin itu juga sebahagian daripada usaha menjaga “maruah” Indonesia kerana kuih itu juga popular di Malaysia.

Begini sajalah, kita tidak usah bergaduh kerana popia. Malu didengar budak-budak. Tidak usah dipertahankan dan biarlah itu menjadi hak Indonesia. Sebabnya beralah memberikan popia kepada Indonesia sedikit pun tidak menjejaskan maruah Malaysia, walaupun itu mengangkat maruah Indonesia.

Sebenarnya bercakap mengenai maruah negara tidaklah sesukar untuk menghamparkan ruang rezeki yang boleh membuatkan rakyat Indonesia dengan secara sukarela tidak akan bekerja di luar negara kecuali golongan profesional. Tetapi sekiranya bertegas dalam masa terdekat menyekat penghantaran wanita ke luar negara sebagai pembantu rumah, hasilnya sukar dicapai kecuali dalam masa terdekat juga ada limpahan peluang mencari rezeki di Indonesia.

Martabat

Saya percaya setiap warga mempunyai kebanggaan terhadap negaranya. Malah secara semula jadi juga setiap warga sedar martabat diri dan negara apabila membuat keputusan untuk mencari rezeki di negara orang. Tetapi mereka tidak ada pilihan. Antara martabat negara dan anak-anak yang perlu diberi makan, mereka akan memilih keluarga terlebih dahulu.

Sudah tentu mereka bukan hanya suka-suka untuk bekerja di luar negara kecuali di Indonesia menjanjikan masa depan yang cerah. Terlalu banyak kisah-kisah tragis sebelum mendapat rezeki, diperdayakan oleh orang tengah, dipaksa terjun ke laut oleh tekong, ada rakan-rakan yang hilang ditelan arus kerana datang melalui jalan haram. Malah yang secara sah juga ada yang menjadi mangsa dera pihak majikan.

Tetapi kisah-kisah mengerikan dan tragis ini tidak sedikit pun mematahkan semangat wanita Indonesia mencari rezeki sebagai pembantu rumah termasuk di Malaysia. Malah ketegasan Jokowi itu tidak memberikan kesan kecuali dia menyelami permasalahan yang sebenar iaitu ketiadaan peluang pekerjaan seperti di Malaysia. Di Malaysia ini yang rezeki melimpah ruah. Oleh kerana itu tidak ada yang mahu menjadi pembantu rumah di luar negara walaupun kerajaan tidak melarang.

Saya tidak lupa untuk menzahirkan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. Setakat ini belum ada rakyat negara ini yang terpaksa bertarung nyawa di negara orang untuk mencari rezeki. Kalau ada sekalipun ini merupakan kes terpencil misalnya jatuh cinta dengan lelaki Lombok dan “tinggallah emak tinggal saudara, kerana kasih aku turutkan.” Itu kerana mabuk cinta.

Saya juga bersyukur kerana banyak rakyat negara ini dalam kalangan profesional yang bekerja dan diperlukan di negara-negara maju. Walaupun segelintir dalam kalangan profesional terus menetap di luar negara kerana imbuhan yang jauh lebih besar tetapi kepakaran mereka ditagih oleh negara berkenaan. Mereka ada nilai tersendiri.

Di Malaysia hanya berlaku penghijrahan dari luar bandar ke bandar-bandar utama dalam negara kerana faktor ekonomi. Kuala Lumpur misalnya menjadi tumpuan untuk mencari rezeki sama ada bekerja sendiri atau bekerja di sektor swasta atau awam. Tetapi dengan pelan terancang seperti mengindustrikan sektor pertanian, kawasan luar bandar juga menyediakan banyak peluang pekerjaan. Sektor industri pertanian ini bukan sahaja dimanfaatkan oleh orang tempatan malah pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

Bagi saya, larangan atau apa sahaja yang membawa maksud yang sama tidak diperlukan kalau semata-mata untuk menjaga martabat dan maruah negara. Desakan manusia untuk hidup melampaui abstraknya maruah dan martabat. Saya percaya sebahagian besar pembantu rumah Indonesia di luar negara tidak mahu kembali kalau tidak dijanjikan rezeki yang selayaknya.

Jadi, yang mesti dilakukan dalam masa yang terdekat bukanlah menghentikan penghantaran pembantu rumah ke luar negara tetapi mewujudkan peluang pekerjaan. Kalau dilaksanakan juga larangan penghantaran pembantu rumah itu, akan wujud saluran yang haram di segi undang-undang seperti pendatang tanpa izin. Mereka sanggup berbuat apa sahaja. Bayangkan, menaiki bot pancung di laut bergelora yang boleh meragut nyawa lagikan mereka sanggup, inikan pula hanya undang-undang.

Secara peribadi saya sangat berharap pelan tindakan Jokowi menyekat kebanjiran rakyatnya ke luar negara khususnya Malaysia menjadi kenyataan. Difahamkan lebih sekali ganda daripada pekerja Indonesia yang masuk secara sah di negara ini adalah pendatang tanpa izin. Kebanjiran pendatang tanpa izin termasuk Indonesia antara yang menyumbang kepada peningkatan kes jenayah di negara ini.

Sekiranya Jokowi berupaya menyediakan peluang pekerja di Indonesia, penjenayah yang masuk secara haram juga mungkin tidak berminat lagi ke negara ini. Biarlah Malaysia berkorban memberi popia kepada Indonesia asalkan orang “yang buruk-buruk” tidak masuk ke Malaysia. - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 22 Feb 2015

Tags: politik
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Antara Wilayah dan Negeri Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’?…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments