kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat

Kuasa ulama Pas!

Dalam ruangan ini, kerap Awang menyatakan betapa silap bagi sesiapa termasuk dalam Pas untuk mengambil mudah golongan ulama dalam parti tersebut.

Ketika ada andaian bahawa golongan ulama makin tempang dan lemah serta berdepan dengan situasi disabotaj dari dalam, Majlis Multaqa Ulama SeMalaysia II semalam, menyaksikan keadaan sebaliknya.

Ramai kalangan ulama bersuara lantang melawan musuh dalaman termasuk ke tahap mengaitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Pengarah  Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli sebagai dalang kepada gerakan untuk menggulingkan Presiden Pas, Hadi Awang.

Majlis semalam menjadi satu lagi bukti golongan ulama tidak akan tunduk dan mengalah kepada manuver politik puak pro Anwar Ibrahim dan DAP yang semakin dilihat berpengaruh dalam Pas. Amat jelas pengaruh golongan ulama masih kuat. Lihatlah bagaimana segala kempen bantahan jalanan anjuran pakatan pembangkang membantah keputusan mahkamah berkaitan kes liwat Anwar, lumpuh dan tidak mendapat sambutan selepas Majlis Syura dan barisan ulama Pas tidak lagi menyokong.

Sebenarnya gerakan untuk menggulingkan Hadi dan golongan ulama sudah menjadi rahsia terbuka dan bahan bualan paling panas dalam parti itu.
Kalau sebelum ini persoalan berlegar berapa cepatkah Hadi dan ulama akan tumbang, kini Awang tertarik untuk melihat sejauh manakah Mohamad Sabu dan Hatta mampu bertahan?

KL dan isu rumah

Bercakap tentang isu rumah awam di Kuala Lumpur memang selalu boleh menyakitkan hati. Keghairahan membina kondominium mewah menjadi-jadi seolah-olah ibu negara hanya untuk kelompok elit.

Pihak berkuasa tempatan seperti lepas tangan malah turut sama ghairah membangunkan projek seumpama itu atas nama usahasama dengan pemaju swasta dan entah apa sahaja. Akhirnya banyak tanah di ibu negara terlepas kepada pembangunan komersial menjadikan agenda untuk perumahan rakyat terkebelakang. Salahnya di mana? Siapakah yang bertanggungjawab kepada keputusan membenarkan terlalu banyak tanah di ibu negara bertukar menjadi kawasan perumahan komersial. Maka makin ramailah warga kota tercampak jauh dari ibu negara kerana tidak berkemampuan. Sedangkan suatu ketika dahulu Kuala Lumpur dilihat seimbang buat perumahan semua golongan rakyat. Inilah keresahan utama golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Kuala Lumpur.  

Sebab itu, Awang angkat topi kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani atas kesungguhan beliau terus membangkitkan isu rumah awam di ibu negara. Antara lain, beliau mendesak digazetkan agar hanya perumahan awam dibina semula di atas tanah atau tapak perumahan awam. Apa yang berlaku sekarang, beberapa kawasan perumahan awam termasuk Flat Pekeliling dekat Bulatan Jalan Pahang dibangunkan dengan projek komersial. Johari turut mencadangkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi geran untuk membangunkan sendiri rumah awam bagi menangani pemaju swasta yang ghairah meraih keuntungan.  

Persoalannya, isu ini sudah banyak kali dibangkit tetapi apa penyelesaiannya. Awang berharap perlu ada langkah konkrit termasuk jika perlu membekukan sementara projek kondominium mewah yang baharu terutama di kawasan tertentu. Jangan serahkan kepada pemaju swasta dan pasaran hartanah untuk mencorakkan segala-galanya. Jika tidak, Kuala Lumpur hanyalah sebuah kisah duka buat rakyat biasa - bukan lagi kota harapan sebagaimana dahulu.

PRK: bertanding atau tidak?

Pandangan beberapa pihak agar Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chempaka, Kelantan, menarik perhatian.

Awang setuju. Tidak rugi apa-apa termasuk dari segi maruah jika BN tidak bertanding. Bukan soal mahu mengamalkan pemikiran kalah atau defeatis, walaupun hakikatnya tak mungkin akan menang di situ.

Pengaruh bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat yang juga ADUN Chempaka sebelum ini cukup besar selain para penduduk mahu memberikan penghormatan atas sumbangannya.  BN harus realistik. Janganlah buang masa, tenaga dan wang. Lagipun para penduduk Kelantan masih dibayangi musibah banjir. Maka elakkan lonjakan suhu politik, yang biasanya berlaku dalam kempen PRK.

Inilah masa untuk semua pihak sama ada Pas mahupun UMNO meneruskan semangat persefahaman dan perpaduan ketika menangani banjir. Usaha-usaha memulihkan kawasan banjir sedang giat dijalankan sementara ramai mangsa banjir masih memerlukan bantuan dan sokongan penuh kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Utamakanlah kepentingan mereka.

Maka PRK Chempaka bukan medan pertempuran yang budiman buat BN pada situasi ini. Ujian sebenar yang menanti BN adalah PRK Permatang Pauh ekoran Ahli Parlimen, Anwar Ibrahim dipenjara atas kesalahan meliwat. Berdasarkan peningkatan undi BN di kawasan itu pada pilihan raya umum lepas, tidak mustahil BN boleh buat kejutan. Apa pun menang atau kalah soal lain tetapi di Permatang Pauh semboyan mesti berbunyi.

Hilang wibawa

Sekali lagi, berlaku gelombang bantahan terhadap Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong berhubung kenyataannya yang tidak profesional dan memperkecil-kecilkan penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap kes liwat Anwar Ibrahim.

Desakan lebih 100 anggota badan guaman supaya beliau menarik balik kenyataan dan meminta maaf, sebenarnya tidak cukup. Langkah perlu dimulakan segera oleh pejabat Peguam Negara agar Christopher dikenakan tindakan menghina mahkamah.    

Kegagalan untuk mengambil tindakan seumpama itu akan memberikan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia dan Majlis Peguam serta pimpinannya menikmati imuniti untuk menghina hakim.

Lagipun sudah kerap Majlis Peguam membuat onar. Dari kaca mata mereka, di Malaysia ini, segala-galanya  buruk. Awang sudah lama melihat badan guaman itu sebagai sayap politik pembangkang. Disebabkan agenda politik yang tebal untuk menyokong parti politik tertentu, ia tidak dapat dibendung lagi lalu terzahir secara terbuka. Elok paparkan sahaja lambang parti politik di pintu utama pejabat Majlis Peguam atau ubah suai logonya menyerupai parti sekutu. Sepatutnya badan tersebut menjadi pihak yang kuat mendokong dan menghormati undang-undang. Prinsip itu harus menjadi tonggak, bukannya dilacurkan untuk kepentingan politik.

Pada Awang, kewibawaan dan integriti Majlis Peguam sudah lama hilang angkara kecenderungan liar pimpinannya. Imejnya kini berpenyakit, busuk selain menghina organisasi sendiri. Sedangkan badan guaman lain di seluruh dunia termasuk negara mundur jauh lebih disegani kerana kredibiliti mereka. Memalukan.

Belum masanya

Akhbar Utusan Malaysia sejak beberapa hari lalu menyiarkan bantahan banyak pihak dan orang ramai terhadap cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi yang kini dalam pertimbangan kerajaan untuk dilaksanakan.

Awang tidak nampak keperluan kritikal kepada cadangan tersebut. Amalan sekarang iaitu ubat boleh diperoleh di klinik di samping rawatan, sesuai dan memudahkan pengguna.

Berdasarkan reaksi, banyak pihak terutama pengguna dan para doktor klinik swasta belum bersedia kepada perubahan tersebut.
Adalah memadai sekadar langkah-langkah penambahbaikkan kepada sistem sedia ada. Misalnya senarai harga ubat-ubatan boleh dipaparkan atau salinannya diletakkan di lobi klinik bagi rujukan pelanggan.

Dalam isu pengasingan klinik dan farmasi, ada hal lain yang lebih membimbangkan iaitu monopoli pihak tertentu dalam pembekalan ubat-ubatan sekiranya langkah itu dilaksanakan. Dengan kata lain, lebih banyak kesan negatif daripada positif.

Sebarang transformasi dalam bidang kesihatan dan perubatan, disambut baik tetapi perlu berhati-hati - jangan sampai rakyat akhirnya terbeban. Atas asas itu, Awang juga menolak. - Utusan Malaysia Rencana 22 Feb 2015

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments