kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Guru SJKT dan bunuh diri ~ I dan II

FEBRUARI 10 — Sejak Cikgu Selvi mendapat gred DG44, secara mendadak, dia mula diberikan beban kerja dan jumlah mata pelajaran di luar akal rasional. Dia terpaksa mengajar lima kelas Bahasa Inggeris, tiga kelas Sains, tiga kelas Muzik dan tiga kelas Pendidikan Jasmani.

Secara purata, Selvi perlu menanda 700 buku setiap minggu. Setiap dua hari, Puan Saraswathi akan menyemak buku-buku berkenaan secara rambang dan sengaja mencari kesalahan.

Pelbagai tekanan diberikan secara berterusan oleh guru besar itu. Misalnya, Saraswathi turut mempersoalkan mengapa Selvi tidak memberikan kerja rumah kepada murid-murid pada cuti hujung tahun!

Pada waktu itulah Selvi mula tidak mampu mengawal tekanan dan penderaan mental yang diterima. Akan tetapi, penderaan itu berterusan sehingga Selvi hanya mampu menangis pada setiap mesyuarat.

Sebaik sesi persekolahan bermula pada Januari 2012, Saraswathi masuk ke setiap kelas di mana Selvi mengajar. Dia akan sengaja mencari kesalahan dan menghinanya dengan sangat teruk di hadapan murid-murid setiap kelas.

“Guru besar akan sentiasa mengungkitkan bahawa sebagai guru DG44 yang mengatasi DG32 (guru besar itu), maka prestasi saya mesti lebih baik daripada dia,” Selvi mengeluh sambil mengimbas pengalaman itu.

Oleh kerana sudah tidak mampu menanggung segala penderaan mental dan emosional, Selvi pengsan di dalam kelas pada suatu hari semasa sedang dihina bertubi-tubi oleh Saraswathi.


Selvi mengalami 'depressive disorder' akibat tekanan guru besar. — Foto hiasan dari internet

Apabila dibawa ke pusat perubatan, pakar mengesahkan Selvi mengalami depressive disorder dan diberikan cuti sakit selama sepuluh hari. Sepanjang tempoh itu pun Saraswathi tidak berhenti daripada terus memberikan tekanan.

Guru besar meminta guru-guru lain dan kerani menelefon secara bertali-arus untuk menyuruh Selvi membatalkan cuti dan datang semula ke sekolah.

Saraswathi turut menelefon pegawai di pejabat pendidikan daerah (PPD) dan mengadu kononnya Selvi berpura-pura sakit. Kononnya doktor pakar memberikan surat cuti sakit yang palsu.

“Saya berada dalam keadaan mamai dan ketakutan selama sepuluh hari itu. Suami saya menceritakan (kemudian) bahawa apabila cuti sakit tamat, saya berpaut pada kakinya dan merayu supaya tidak diminta pergi semula ke sekolah berkenaan. Saya sudah tidak tahan dengan penderaan Saraswathi,” Selvi mengakui.

Kemurungan mencetuskan idea bunuh diri

Rawatan susulan diterima di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Selvi diberikan ubat anti depression pada dos tinggi kerana doktor mendapati keadaannya agak teruk.

Anak-anak juga menerima kesan daripada keadaan kesihatan Selvi. Anak bongsu berumur lapan tahun pada waktu itu. Selvi masih dalam trauma dan sering kali tidak tahu apa yang sedang dilakukannya.

Emosi dan keadaan mentalnya sangat terganggu. Beberapa kali Selvi dikatakan cuba mencederakan anaknya sendiri. Selvi hanya tahu mengenai insiden itu apabila diceritakan beberapa bulan kemudian.

Sementara itu, Saraswathi tidak berhenti daripada mengganggu dengan terus menghubungi pegawai PPD dan mengadu kononnya Selvi berpura-pura atau berlakon seperti orang sakit kerana malas bekerja.

“Rakan-rakan kerja mengirim e-mel dan SMS untuk bertanya khabar. Semua SMS dan e-mel balasan saya dicetak oleh guru besar.

“Salinan itu dikemukakan kepada PPD sebagai bahan bukti kononnya saya masih mampu berkomunikasi secara waras, maka sepatutnya dipaksa kembali ke sekolah,” guru itu menceritakan.

Selvi sudah tidak mampu menanggung segala tekanan dan gangguan emosional apabila dihubungi secara bertalu-talu oleh sekolah untuk memintanya datang semula. Wajah Saraswathi sentiasa terbayang di depan mata.

Guru itu mula menjadi bertambah murung pada waktu tertentu dan ganas pada waktu lain. Anak-anaklah yang turut menerima kesan daripada semua ini. Anak bongsu yang tidak memahami apa-apa turut menjadi mangsa.

Selvi mengaku bahawa ada suara dalam hati yang menyarankan supaya segala penderitaan itu ditamatkan dengan cara mencabut nyawa sendiri.

Suara halus itu sentiasa muncul dalam fikiran dan cuba menghasutnya. Beberapa kali Selvi mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun dari tingkat enam pangsapuri. Mujurlah anak bongsunya berjaya menghalang.

Kisah yang perlu dijadikan pengajaran

Anak-anak yang belajar dan menginap di luar semakin risau. Prestasi pelajaran mereka juga terjejas teruk kerana memikirkan kesihatan ibu mereka.

Keadaan diri Selvi tidak terurus. Anak sulung yang belajar di luar negara terkejut besar melihat keadaan ibunya sewaktu pulang bercuti. Selvi dibawa semula ke PPUM.

Doktor mengesahkan keadaannya semakin teruk dan diberi cuti sakit 90 hari. Selvi pulang ke rumah ibu bapanya di Perak untuk menerima penjagaan rapi. Anak bongsu dibawa bersama.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) tampil membantu sebaik sahaja kes ini dibawa kepada perhatian mereka oleh anak sulung Selvi.

Setiausaha Agung KPPK, Lok Yim Pheng, bersemuka dengan Saraswathi untuk membincangkan isu yang timbul. Selvi juga dihantar kepada kaunselor khas di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor untuk khidmat kaunseling.

Guru itu tidak henti-henti berdoa dan memohon “dibebaskan” daripada terus menjadi mangsa penindasan dan kezaliman Saraswathi.

Selvi sudah serik dengan sikap guru besar itu yang bukan hanya memusnahkan hidupnya, tetapi hidup seluruh keluarganya.

Akhirnya, berkat campur tangan KPPK, pada Mei 2012, Selvi ditukarkan ke sekolah lain dan beliau bertugas dengan cemerlang di sana sehingga hari ini.

Prestasi murid-muridnya meningkat dari hari ke hari.

“Pada mulanya, saya masih dalam proses pemulihan. Saya cukup bertuah kerana guru besar di sekolah baru amat prihatin dan penyayang.

“Sokongan guru-guru dan kakitangan di SJKT itu juga menjadi terapi positif yang berjaya mengembalikan saya kepada diri saya yang asal,” Selvi mengakhiri ceritanya.

Kisah Selvi wajar menjadi rujukan, panduan dan pengajaran kepada semua pihak terbabit bagi memastikan guru-guru tidak dijadikan mangsa kerakusan, kezaliman, penindasan dan ketamakan guru besar serta sistem pendidikan negara yang kacau-bilau. Uthaya Sankar SB The Malay Mail Online 10 Feb 2015



FEBRUARI 9 — Benarkah tekanan kerja serta “penderaan” mental oleh guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menyebabkan ada guru bertindak nekad mahu membunuh diri?

Persoalan ini muncul dalam minda selepas tersebar berita kononnya seorang guru di sebuah SJKT di Johor cuba mengambil nyawa sendiri dengan meminum racun.

Beberapa orang — khususnya guru-guru SJKT — menghubungi saya untuk berkongsi maklumat mengenai kes tersebut serta beberapa kes seumpama itu.

Secara umum, apa yang didapati adalah bahawa kebanyakan guru tidak tahan dengan penderaan mental yang diberikan oleh guru besar; sebagai tambahan kepada beban kerja yang terpaksa ditanggung atas arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program New Deal (Tawaran Baru atau Bai’ah) yang menjanjikan “habuan” besar kepada guru besar dikatakan menyebabkan kebanyakan guru besar SJKT lupa diri dan hilang pertimbangan rasional.

Guru besar terbabit yang mahu mencapai cita-cita peribadi mula memaksa guru-guru bekerja lebih masa — termasuk pada hari cuti — tanpa memikirkan hakikat guru-guru juga ada keluarga.

Menurut sebuah rencana di Utusan Malaysia (18 Februari 2011), guru besar selaku pemimpin dan pentadbir akan menikmati habuan RM7,500 jika berjaya membawa sekolahnya melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan.

Bagi sekolah rendah, 70 penilaian berdasarkan keputusan UPSR manakala 30 peratus meliputi pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pencapaian murid dalam akademik dan kokurikulum turut diambil kira.

Bagi SJKT pula, guru besar khabarnya menerima habuan agak lumayan daripada MIC bagi setiap murid yang mendapat 7A dalam UPSR.

Maknanya, ada lebih daripada satu habuan yang menanti guru besar jika berjaya melonjakkan pencapaian murid.

Terdapat 523 SJKT di seluruh negara. — Foto hiasan Utusan MalaysiaTerdapat 523 SJKT di seluruh negara. — Foto hiasan Utusan Malaysia

Bukan sekadar kes terpencil seperti disangka

Terdapat 523 buah SJKT di seluruh negara. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa kebanyakan kes “penderaan” melibatkan guru besar wanita dan guru wanita.

(Ada juga kes guru besar lelaki melakukan gangguan seksual atau meminta habuan seks bagi “meringankan” beban kerja guru wanita; tetapi itu bagi makalah yang lain pula.)

Seorang guru SJKT menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman. Beliau meminta identiti kesemua individu terbabit dirahsiakan.

Apa yang penting, beliau mahu kisah dan pengalaman yang dikongsikan itu sampai kepada pengetahuan umum.

“Saya tidak mahu orang beranggapan kes yang berlaku di Johor baru-baru ini sebagai suatu kes terpencil.

“Sebenarnya kes seperti ini banyak berlaku tetapi sering disembunyikan demi menjaga maruah dan nama baik SJKT,” kata Cikgu Selvi (bukan nama sebenar).

Sebaik mendapat berita mengenai kes yang berlaku itu, Selvi segera terkenang akan pengalaman yang dilaluinya sendiri.

Dia bersedia untuk berkongsi pengalaman pahit itu demi membuka mata orang ramai serta menarik perhatian kementerian dan jabatan pendidikan.

Katanya, memang kes guru besar membuli, menekan dan mendera guru secara fizikal dan emosional berleluasa di beberapa SJKT. Semuanya demi memastikan guru besar dapat melonjakkan nama dan menerima habuan atas kejayaan sekolah yang ditadbirnya.

Saraswathi halang guru pakai sari ke sekolah

Pada sekitar tahun 2008, Selvi mula mengajar di sebuah SJKT di Selangor.

Masalah hanya timbul apabila Puan Saraswathi (bukan nama sebenar) berpindah ke sekolah berkenaan hampir setahun kemudian.

Saraswathi seorang guru besar cemerlang. Entah mengapa, sejak awal-awal lagi, Saraswathi kurang menyenangi Selvi.

Menurut Selvi, guru besar itu sering bercakap secara kasar, menyindir dan menghinanya tanpa apa-apa alasan.

Secara kebetulan, kereta yang dipandu oleh Selvi adalah lebih mahal (mewah) berbanding kereta Saraswathi.

Pada suatu hari, guru besar itu mengarahkan Selvi supaya tidak lagi membawa kereta berkenaan ke sekolah kerana kononnya menjejaskan kedudukannya sebagai ketua.

“Dia juga mengarahkan saya tidak memakai sari ke sekolah. Kononnya ibu bapa dan pihak PIBG membuat aduan.

“Saya bukanlah guru yang muda. Anak-anak saya sudah besar-besar belaka.

Entah apa yang menjadi isu jika saya memakai sari ke sekolah,” Selvi meluahkan perasaannya.

Saraswathi sentiasa mencari peluang untuk mengkritik, menghina dan memburuk-burukkan Selvi, sama ada di kelas atau dalam mesyuarat.

Guru itu mula menyedari bahawa guru-guru wanita lain juga menjadi sasaran tetapi mereka hanya berdiam diri.

Mesyuarat dipenuhi leteran, penghinaan

Mesyuarat diadakan pada setiap hari Sabtu, dari 8 pagi hingga 5 petang.

Kononnya untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam akademik dan kokurikulum, selaras program New Deal.

Akan tetapi, dua jam pertama pada setiap mesyuarat digunakan untuk menghina para guru dengan kata-kata kesat yang meletakkan guru terbabit lebih hina daripada anjing jalanan.

Amalan Saraswathi hampir menyerupai budaya politikus kaum India yang gemar melakukan perkara sama dalam mesyuarat bagi memastikan semua orang bawahanya menjadi pak turut yang tidak akan berani melawan dalam apa-apa keadaan.

“Kalau ada cuti sekolah selama dua minggu, minggu pertama (Isnin-Sabtu) pasti diisi dengan mesyuarat sepanjang hari.

“Para guru terpaksa hadir untuk mendengar leteran dan penghinaan yang bertubi-tubi,” Selvi menceritakan dengan nada sedih.

Pada tahun 2011, Selvi mendapat gred DG44 berdasarkan kelayakan manakala Saraswathi masih berada pada paras gred DG32.

Gaji guru besar itu masih lebih tinggi daripada Selvi tetapi Saraswathi mula mengungkitkan soal maruah dan kedudukannya.

Guru besar itu mula menyindir dengan berkata, “Lihatlah nama anjing mana yang ada pada kedudukan teratas pada senarai nama” kerana nama-nama disusun mengikut tangga gred DG.

Secara automatik, nama Selvi berada di atas nama Saraswathi dalam senarai. Maka guru besar itu secara terang-terangan melipat-gandakan tekanan dan penghinaan terhadap Selvi yang ternyata tidak disukainya. – Uthaya Sankar SB The Malay Mail Online 9 Feb 2015

Tags: bullying, disiplin, jiwa, mental
Subscribe

Posts from This Journal “bullying” Tag

  • Bullying: Teachers and Educators Dilemma

    In most news and media, it is always stated that school children or students that were bullied. Many seem to ignore that the employees are bullied…

  • Menangani buli dalam kalangan pendidik

    Dalam kebanyakan ruangan berita dan media, selalu dinyatakan bahawa kanak-kanak sekolah atau pelajar yang dibuli. Ramai yang tidak menghiraukan atau…

  • Bullying bosses belittle staff

    THERE is a lot of discussion about bullying, therefore, we should also highlight workplace bullying. In education, workplace bullying centres around…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments