kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Polemik akta salah laku penjawat Awam

PELBAGAI pihak sudah mula berbicara mengenai keperluan diwujudkan sa­tu peruntukan berkaitan dengan salah laku pe­n­jawat awam (misconduct in public office). Di sesetengah negara ia dikenali sebagai ‘malfeasance in office’.

Yang terbaharu pandangan yang dilontarkan oleh Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai keperluan diadakan undang-undang salah laku penjawat awam. Pada pandangan penulis, ia satu langkah yang positif. Relevan de­ngan perkembangan semasa.

Penulis telah mengutarakan idea ini beberapa kali sebelum ini. Peruntukan ini perlu diwujudkan dengan segera bagi memastikan keberkesanan usaha mencegah rasuah di Malaysia dalam jangka panjang.

Jika digubal ia juga secara langsung akan membantu Kerajaan Pusat yang telah melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan bagi mencegah rasuah kebelakang­an ini. Pengenalan undang-undang ini juga akan menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa. Ia akan memperlihatkan keseriusan dan komitmen kerajaan dalam menangani rasuah.

Sudah pasti apabila bercakap me­ngenai peruntukan salah laku penjawat awam tumpuan kita akan menghala ke arah model yang ­diamalkan oleh Hong Kong dan Australia.

Malaysia tidak semestinya meng­gunakan model sistem Hong Kong dan Australia bulat-bulat. Ia boleh diubahsuai mengikut acuan Malaysia dan keperluan masyarakat kita. Tetapi ironinya, Malaysia memerlukan satu undang-undang khu­sus bagi mengatasi isu salah laku penjawat awam.

Penjawat awam juga tidak perlu gerun atau takut dengan undang-undang ini jika ia diperkenalkan kelak. Undang-undang tidak bertujuan meng­aniaya mereka, sebalik­nya memandu mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan teratur.

Kita sedia maklum kekangan yang wujud dalam membawa anggota pentadbiran ke mahkamah dalam sesetengah kes di bawah undang-undang rasuah sedia ada. Contoh paling klasik adalah melibatkan masalah ketirisan dan pembaziran wang negara sebagaimana didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Apabila Laporan Ke­tua Audit Negara dibentangkan sesete­ngah pihak mempersoalkan prestasi pengurusan kewangan per­khid­matan awam. Pelbagai tanggapan dan tohmahan negatif dikemukakan.

Satu peruntukan baharu yang konkrit diperlukan oleh agensi pe­nguatkuasaan dan pencegahan bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kita perlu serius dalam perkara dan komited membawa reformasi undang-undang yang re­levan. Kita perlu memperkasakan SPRM menerusi reformasi undang-undang.

Peruntukan baharu ini bukan sahaja akan membantu mening­katkan keberkesanan tindakan SPRM, malah Jabatan Ketua Audit Negara yang berusaha memperbaiki sistem pengurusan kewang­an agensi-agensi kerajaan. Penulis juga percaya peruntukan salah laku penjawat sudah pasti akan menyumbang ke arah membantu menyelamatkan wang negara dan mengelakkan ketirisan.

Oleh kerana syor ini telah me­nimbulkan polemik diharap semua pihak khususnya ahli-ahli politik akan menyokong saranan mewujudkan peruntukan salah laku penjawat awam.

Menurut Panel Penilaian Operasi dan dua lagi badan bebas yang memantau perjalanan SPRM - Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat Pence­gahan Rasuah, undang-undang berkaitan salah laku perlu bagi membolehkan isu seperti ketirisan dan pembaziran dalam pengendalian kewangan agensi kerajaan diambil tindakan.

Jika mengambil kira pandangan panel itu, peruntukan ini sangat penting bagi mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang tidak berintegriti, amanah dan sambil lewa dalam menjalankan tugas. Dalam kata lain, peruntukan ini wajar disegerakan bagi membolehkan kita menangani isu-isu berkaitan secara menyeluruh.

Difahamkan polemik sekarang adalah sama ada peruntukan ini perlu ataupun sebaliknya. Kedua, jika peruntukan ini merangkumi penjawat awam, adakah ia akan turut merangkumi anggota pentad­biran kerajaan seperti menteri. Sudah pasti hukuman jika disabitkan ke­salahan juga menjadi persoalan.

Adakah peruntukan salah laku penjawat awam perlu dipertimbangkan? Jawapannya wajar. Per­tama, sesetengah kes yang melibatkan salah laku yang serius bertentangan dengan peraturan perkhidmatan sektor awam sehingga memudaratkan kepen­tingan rakyat, tidak dapat dibuktikan menerusi undang-undang berkaitan pencegahan rasuah. Oleh itu, kita perlukan undang-undang yang berbeza.

SPRM juga dari semasa ke semasa memberi nasihat yang dipanggil sebagai Laporan SPRM (LSPRM). Meskipun SPRM memberi syor dan pandangan dikenakan tin­dakan se­timpal adakalanya tindakan diambil tidak sepadan atau tidak serius jika dibandingkan dengan kesalahan atau pelanggaran yang dilakukan. Difahamkan tiada ikatan perundang­an kukuh dalam perkara ini.

Pengenalan undang-undang ini juga akan membantu mengikis persepsi bahawa setiap pelanggaran per­aturan awam berkaitan dengan rasuah. Orang ramai sendiri membuat tanggapan umum dan kadang­kala beranggapan bahawa SPRM tidak mengambil tindakan di bawah Akta SPRM. Sedangkan, tidak semua pelanggaran berakhir dengan dakwaan sebagai kes rasuah. Ke­adaan ini membawa imej negatif ke atas agensi penguat kuasa pencegahan rasuah.

Justeru, jika terdapat undang-undang yang membolehkan sesetengah kes dibawa ke mahkamah sebagai salah laku ketika menjawat kedu­dukan awam, sudah pasti ia akan memudahkan skop tindakan perundangan, dan pada masa sama meningkatkan kefahaman orang ramai termasuk anggota pentadbiran awam.

Oleh kerana peruntukan yang disyorkan ini mencetuskan ke­gusaran dalam kalangan banyak pihak, ada baiknya SPRM yang bertanggungjawab ke asas aspek urus tadbir baik, mengadakan perbincangan serius dengan semua stakeholder. Dialog yang konstruktif akan membolehkan pemahaman dan penerimaan semua pihak.

Semangat peruntukan ini jika dilaksanakan akan membawa le­bih banyak manfaat kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang. Cuma kandungan peruntukan baharu ini belum jelas. Diharap peruntukan ini akan menjadi kenya­taan dan kerajaan wajar memberi keutamaan ke atas aspek.

Akhbar Satar ialah Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Utusan Malaysia Rencana 23 Feb 2015

Tags: governnment, penjawat awam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments