?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Renggangnya sesama kita

PERSEKITARAN dunia kita semakin hari semakin menyaksikan masyarakat di banyak negara berkonflik sesama sendiri dengan masing-masing bermati-matian cuba menekankan bahawa mereka sahaja yang betul. Konflik berpunca daripada perbezaan dalam pelbagai aspek seperti agama, keturunan, suku kaum, mazhab, fahaman politik dan budaya.

Dunia telah dan akan terus menyaksikan konflik menye­marak menjadi pergaduhan dan peperangan dengan ratusan ribu nyawa terkorban dengan sia-sia dan ratusan ribu meninggalkan kampung halaman serta menjadi pelarian di negara lain. Mereka hidup dengan segala kerumitan dan kesusahan.

Belum lagi terlerai memori tentang konflik berdarah antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Bosnia sehingga memisahkan wilayah-wilayah di bekas negara Yugoslavia, serta peperangan antara suku kaum di Rwanda, Afrika telah mula memuncak peperangan antara penganut-penganut mazhab-mazhab Islam di negara-negara Asia Barat seperti antara penganut-penganut Syiah dan Sunni. Dan telah semakin me­rebak konflik tersebut sehingga melibatkan campur tangan ketenteraan oleh kuasa-kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan negara-negara bersekutu di Eropah.

Amat sedih bagi umat Islam terutamanya apabila dalam beberapa kurun sahaja kegemilangan tamadun Islam telah mula pudar dan dicemar oleh perbalahan serta konflik yang membawa pelbagai masalah dan kelemahan serta perpecahan sesama umat Islam. Dan pihak-pihak luar telah dan pasti akan terus berfungsi sebagai ‘penyelesai’ de­ngan berusaha memusnahkan mana-mana pihak yang dianggap pencetus masalah dan yang telah jelas mengambil pendekatan ekstremis serta keganasan untuk mencapai hasrat dan matlamat mereka. Tanpa disedari orang luar telah menjadi penentu kuasa dan destini masyarakat Islam.

Sejarah mencatatkan zaman kegemilangan tamadun Islam dengan pelbagai kejayaan dalam bidang yang berbentuk saintifik yang dihasilkan oleh individu-individu terulung di zaman silam. Ilmu dan penyelidikan telah membolehkan individu-individu tersebut menjadi perintis dan membuka jalan untuk disusuli oleh pihak-pihak lain.

Peralihan masa telah menyaksikan sekarang sesetengah pihak yang bertindak atas kononnya perjuangan Islam mengheret tamadun dan imej masyarakat Islam balik ke belakang seakan-akan masih berada di zaman jahiliah.

Tidak lagi dilihat organisasi-organisasi seperti OIC berada di hadapan menangani isu-isu berkaitan pembangunan dan kemajuan negara-negara Islam. Iaitu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam di dunia, melalui pendekatan-pendekatan dan strategi-strategi ekonomi.

Alaf baharu tidak membawa kemajuan-kemajuan baharu dan peningkatan ekonomi negara-negara Islam. Sebaliknya Alaf baharu menyaksikan proses hakisan tamadun Islam serta pencemaran keutuhan imej masyarakat Islam secara global.

Hari ini proses memprofail dan mengasing berasaskan agama mula berlaku. Orang beragama Islam yang tidak bersalah menjadi sasaran kebencian dan pembunuh­an. Ini kerana mereka yang mencetuskan kekejaman seperti kumpulan militan Boko Haram dan IS serta kum­pulan seperti al-Qaeda telah menggambarkan Islam dan orang Islam sebagai ekstremis yang mengambil pendekatan dan mengamalkan cara-cara keganasan tanpa perikemanusiaan.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada terpalit dan terjebak oleh kerana ada rakyat negara ini yang terpengaruh dengan apa yang diperjuangkan oleh pihak-pihak ekstremis tersebut.

Sudah pasti akan ada pihak luar yang akan sangsi atau memandang serong akan orang yang dikenali sebagai Muslim. Dan orang lelaki Muslim, contohnya mungkin akan diperiksa lebih teliti dan rapi apabila melalui tempat-tempat pemeriksaan imigresen dan sekuriti seperti di lapangan-lapangan terbang serta di sempadan antara negara-negara.

Tentu sekali menyedihkan dan mungkin menimbulkan rasa amat marah apabila kita umat Islam dianggap dan diberi layanan sedemikian. Ini semata-mata kerana perbuatan pihak-pihak tertentu dalam masyarakat Islam yang menampilkan imej buruk sebagai orang Islam.

Mengapa kita tidak bersungguh-sungguh membimbing anak-anak muda tentang asas-asas utama agama kita dan apa sebenarnya ajaran-ajaran dan tuntutan-tuntutan Islam? Dan mengingatkan kepada mereka supaya jangan terpengaruh dengan orang yang memberi interpretasi sendiri tentang ­ajaran-ajaran Islam sehingga terikut-ikut dengan apa yang jelas jauh terpesong daripada atau bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut oleh Islam.

Alangkah baiknya jika kita umat Islam di mana jua khususnya di Malaysia memartabatkan Islam dan meninggikan imej masyarakat Islam dengan berusaha:-

* Menimba ilmu sebanyak yang mungkin dalam pelbagai bidang dengan memanfaatkan kemajuan-kemajuan dalam ICT serta mencapai tahap-tahap kecemerlangan yang di hormati dunia

* Menjadi perintis-perintis dalam bidang seperti sains dan teknologi serta industri dan perniagaan seperti perintis-pe­rintis Muslim di zaman kegemilangan masyarakat Islam

* Menjadi contoh-contoh terbaik pemimpin dalam apa jua bidang

* Mencerminkan warga dunia yang bukan sahaja bersikap dan mengamalkan kesederhanaan tetapi juga menolak apa-apa yang melampau dan ekstremis serta menunjuk dan menyakinkan kepada dunia bahawa kita umat Islam adalah pelopor dan penegak keamanan, perpaduan dan kestabilan.

Jangan kita biarkan kerenggangan memisahkan sesama kita. Dan jangan sekali-kali hingga sampai ke tahap retak menanti belah. Bila kita faham akan menghormati sesama sendiri maka akan lebih mudah kita menghormati pihak-pihak lain yang berbeza daripada kita.

Pihak-pihak lain pula akan benar-benar menghormati Islam dan umat Islam, kesan daripada contoh-contoh terbaik yang umat Islam tunjuk dan tampilkan.


Tan Sri Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio. Utusan Malaysia Rencana 23 Feb 2015

Tags:

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow