?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Melahirkan modal insan bernilai murni

DALAM ucapan perutusan tahun 2015, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan mengajak para pendidik dan pensyarah supaya menghayati kembali asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut beliau, ketika kita sedang berusaha keras mengejar pembangunan negara dan persediaan menghadapi persaingan di peringkat global, sistem pendidikan seharusnya dapat melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik serta menghargai nilai-nilai murni.

“Dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat,” tambah Muhyiddin.

Apa yang menariknya dalam ucapan itu apabila beliau menekankan dan mengajak para guru dan pensyarah supaya kembali menghayati asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan sempurna atau insan kamil.

Menurut beliau, sistem pendidikan hendaklah dilihat sentiasa berusaha ke arah memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu. Matlamatnya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani yang berteraskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab warga pendidik sama ada di sekolah atau institusi pengajian tinggi termasuk ibu bapa untuk memastikan tercapainya matlamat pendidikan paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti mulia. Melaluinya diyakini akan lahir modal insan cemerlang yang berpengetahuan tinggi, berketerampilan dan memiliki nilai-nilai murni. Inilah ciri-ciri masyarakat yang perlu ada dalam sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun pelajar dan siswa hendaklah disediakan dengan keperluan persaingan global khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Selain itu penguasaan dalam bahasa Inggeris dan bahasa ketiga, kemahiran berfikir aras tinggi, menguasai kemahiran ICT, memiliki ilmu keusahawanan dan bidang-bidang kemahiran lain adalah faktor penting yang perlu dimiliki oleh mereka sebelum memasuki pasaran pekerjaan.

Namun demikian di peringkat awal ucapan, Menteri Pendidikan menyentuh tentang isu banjir, bencana luar biasa yang melanda beberapa buah negeri terutama di pantai timur. Akibatnya membawa kemusnahan besar kepada infrastruktur sekolah malah turut menjejaskan permulaan sesi persekolahan tahun 2015.

Banyak peralatan dan perabot yang musnah termasuk peralatan pejabat, makmal komputer, bilik darjah, perpustakaan dan lain-lain. Lebih menyedihkan seramai 25 nyawa telah menjadi korban termasuk dua orang guru dalam bencana itu.

Natijahnya bencana besar itu telah membuktikan kepada kita bahawa tergambar semangat yang kuat dan sikap kental para pelajar dan guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang masih belum sempurna, sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Apa yang membanggakan, semangat kesukarelawan begitu jelas sekali dalam kalangan NGO, kumpulan sukarela, pasukan seragam, mahasiswa daripada universiti, politeknik, kolej komuniti dan individu tertentu membantu mangsa banjir termasuk membersihkan kawasan sekolah.

Hakikatnya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan untuk membantu mangsa banjir sama ada menerusi sumbangan tenaga mahupun wang ringgit. Inilah contoh hasil pendidikan kita yang telah berjaya menerapkan nilai-nilai murni melalui semangat setiakawan, rasa empati dan keprihatinan di kalangan mereka.

Menurutnya usaha meningkatkan kualiti pendidikan akan terus dilaksanakan. Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan tercapai pada hujung tahun ini. Antaranya memperkasakan keupayaan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk memperkukuhkan nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotisme akan terus diberikan keutamaan.

Sesungguhnya bidang pendidikan adalah teras pembangunan negara. Dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang dilaksanakan nanti, Kementerian Pendidikan akan diberikan tanggungjawab untuk memastikan negara dapat ‘memanfaatkan bakat.’

Ini bertujuan melahirkan ‘modal insan minda kelas pertama’ yang mampu menggunakan ilmu pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif. Dijangkakan modal insan yang dihasilkan itu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Untuk memenuhi tuntutan ini, kementerian akan memberi tumpuan kepada usaha bagi melahirkan modal insan yang mampu memacu Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagi mencapai hasrat tersebut maka aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan pembangunan institusi akan terus diberi keutamaan melalui program dan aktiviti yang akan dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan para pendidik dan pensyarah bahawa tugas mereka sangat mulia. Bertugas sebagai pendidik bukan hanya sebagai satu profesion biasa, tetapi lebih kepada perjuangan untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang seimbang dan cemerlang. Mereka disarankan supaya tidak melupakan matlamat pendidikan yang paling asas iaitu mendidik insan dengan adap dan pekerti yang mulia.

Kepada pelajar pula beliau berpesan supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah semua peluang untuk menimba ilmu pengetahuan dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin agar menjadi insan yang berjaya.

Justeru, ibu bapa juga perlu memberi sokongan dan bekerjasama agar nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam kalangan anak-anak mereka.

ALIMUDDIN MOHD. DOM ialah Pengerusi Yayasan Guru malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah unisza. Utusan Malaysia Rencana 24 Februari 2015 1:29 AM

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow