kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bijak menghadapi musim panas

PADA 18 Mei tahun lepas, Chuping, Perlis mencatat suhu tertinggi iaitu 38.9 darjah Celsius, dan tarikh itu tercacat dalam statistik hari terpanas di Malaysia. Catatan 21 Februari baru-baru ini menunjukkan Chuping masih mencatat suhu agak tinggi iaitu 35.9 darjah Celsius manakala Alor Setar, Kedah, di tempat kedua dengan catatan 34.9 darjah Celsius.

Jabatan Meteorologi meramalkan minggu ini bermula cuaca panas melampau di Malaysia dan dijangka akan berakhir pada penghujung April. Keadaan ini ada kaitan dengan fenomena Ekuinoks di mana matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.

Seminggu dua kebelakangan ini, kebanyakan tempat dan negeri memang sentiasa panas. Panas dari pagi membawa ke petang. Pada masa ini juga, Kedah dan Perlis mengalami musim ‘timur’, iaitu musim panas berpanjangan yang biasanya bermula pertengahan Januari sehingga awal Mac.

Penduduk di kedua-dua buah negeri tersebut memang sudah biasa dengan cuaca panas. Masa inilah penduduknya bermain layang-layang di sawah, sehingga ada pertandingan wau dianjurkan di tengah-tengah panas rembang.

Pesta Angin Timur sudah menjadi acara tahunan di Perlis sejak beberapa tahun lalu. Pesta Angin Timur 2015 kali ini akan diadakan di Perlis penghujung bulan ini iaitu dari 28 Februari hingga 1 Mac. Pesta ini memang bersesuaian dengan cuaca panas, tetapi bukanlah panas melampau. Jika panas melampau memang melanda negara, penganjur mesti memikirkan pelbagai kaedah supaya pesta itu tidak memberi kesan negatif kepada peserta mahupun pengunjung.

Sesiapa yang melakukan perjalanan jauh semasa perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, mereka akan merungut tentang cuaca panas. Dari selatan tanah air sampailah ke utara, cuaca panas. Kalau ada awan mendung pun, awannya tidak menurunkan hujan.

Februari dan Mac tahun lepas, cuaca panas meninggalkan pelbagai kesan termasuklah catuan air dan kebakaran. Beberapa buah negeri mengalami catuan air manakala kebakaran hutan dan tanah terbiar berlaku di merata-rata tempat sehingga bomba tidak cukup air hendak memadamkannya.

Pada 7 Mac tahun lepas, ketika penulis ke Skudai, Johor dari Klang, banyak tempat mengalami kebakaran termasuk beberapa kawasan semak di tepi lebuh raya. Di kawasan Nilai pula, pasukan bomba berkhemah beberapa hari untuk memadamkan kebakaran memandangkan pada masa itu cuaca panas dan kering.

Selain menjaga kesihatan sepanjang musim panas yang dijangkakan ini, kita juga mesti beringat tentang bekalan air. Walaupun kita dinasihati supaya minum air lebih banyak pada musim panas seperti sekarang, tetapi perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembaziran air mesti dielakkan.

Penyakit-penyakit berbahaya seperti denggi mesti ditingkatkan usaha pengawalan dan pemantauannya pada musim panas. Setiap anggota masyarakat mesti prihatin akan masalah ini supaya wabak ini dapat dikawal dengan baik.

Biasanya, pada musim-musim panas begini, kes-kes kebakaran semakin meningkat. Memang selalu kita tatap berita kebakaran akhir-akhir ini kesan daripada cuaca panas dan disebabkan kecuaian manusia. Kita amat berharap pemilik-pemilik tanah yang tidak diusahakan tidak membersihkan kebun mereka yang semak dengan api. Tindakan ini akan mengundang pula masalah jerebu yang melonggokkan masalah baharu seperti sakit tekak, pedih mata, batuk dan sebagainya.

Pelbagai langkah berjaga-jaga perlu dilakukan ketika musim panas. Kita dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti-aktiviti luar rumah. Aktiviti tidak perlu mestilah dihentikan supaya kita tidak terkena kesan-kesan negatif musim panas.

Ibu bapa pula mestilah memantau aktiviti anak-anak kecil mereka di luar rumah, jangan sampai ada yang berdepan dengan ‘strok haba’ ekoran cuaca panas melampau ini. M Jasni Majed Utusan Malaysia Rencana   24 Februari 2015 1:29 AM

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments