kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Gerakan Memartabatkan Melayu

PERKATAAN renaisans yang membawa maksud pembaharuan atau ke­lahiran semula bukanlah sesuatu yang baharu ke­rana ia telah digunakan bagi merujuk kepada kebangkitan kuasa Barat pada abad ke-14 hingga ke-16 Masihi.

Sehubungan itu, apabila disebut renaisans Melayu ia merujuk kepada kebangkitan semula orang Melayu dalam segenap bidang bagi memastikan kaum itu tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan negara.



Poster renaisans.

Sejajar dengan matlamat berkenaan, maka pada Sabtu ini lebih 20,000 peserta akan menghadiri Perhimpunan Gerakan Renaisans Melayu yang menjadi medan bagi memperkasakan agenda pembangunan orang Melayu.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM), sebuah organisasi yang diterajui oleh golongan kenamaan dan cendekiawan Melayu yang kebanyakannya sudah bersara daripada bidang masing-masing tetapi masih aktif mempertahankan hak orang Melayu.

Antara matlamat perhimpunan adalah untuk meningkatkan semangat anak Melayu bahawa mereka mampu berdiri seiring dengan kaum lain, sekali gus memupuk semangat ‘Melayu Hebat’ dalam kalangan generasi muda.

Perhimpunan itu juga menandakan bermulanya satu gerakan yang komprehensif dan terancang bagi memartabatkan orang Melayu sebagai kaum yang ulung.

Majlis berkenaan dianjurkan secara bersama oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Para peserta adalah terdiri daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik Melayu termasuk daripada parti pembangkang, badan akademik dan orang awam.

Perhimpunan yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu dijadualkan bermula pukul 5 petang.

Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta dihadiri pemimpin tertinggi ke­rajaan lain.

Selain amanat yang akan disampaikan oleh Najib, beliau juga akan mengetuai upacara menandatangani Waad Melayu Abad Ke-21 di penghujung majlis itu nanti. Waad yang sering dikaitkan dengan kehidupan masyarakat Melayu lama merujuk perjanjian taat setia orang Melayu terhadap pemerintah.

Ketika perhimpunan itu juga akan diadakan solat maghrib berjemaah, bacaan doa selamat dan deklamasi puisi renaisans Melayu. Ia akan disusuli dengan beberapa agenda lain termasuk pelancaran penubuhan Sekretariat Tetap Gerakan Renaisans Melayu.

Agenda besar lain untuk orang Melayu yang akan dilancarkan ketika majlis itu membabitkan Dana Pendidikan RM1 Bilion, Koperasi MPM RM1 Juta dan inisiatif industri halal dikuasai Melayu.

Di samping itu, ju­ruacara juga akan me­nemubual beberapa to­koh dan negarawan yang hadir, mengenai hasrat dan aspirasi mereka terhadap gerakan berkenaan dan harapan kepada kaum Melayu di masa hadapan.

MPM sebelum ini merancang untuk mengadakan perhimpunan itu pada 10 Januari lalu di tempat sama tetapi terpaksa membatalkannya atas sebab bencana banjir.

Setiausaha MPM, Datuk Dr. Hasan Mad dalam satu kenyataan berkata, perhimpunan tersebut bertujuan menggerakkan kebangkitan semangat orang Melayu dalam mewujudkan penyatuan bermaruah dan menguatkan perpaduan sesama kaum.

Menurutnya, ancaman terhadap orang Melayu turut berakar umbi daripada perpecahan dalaman termasuk di kalangan mereka yang berfahaman liberal dengan menyokong amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak selari dengan ideologi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Perpecahan dalam kalangan orang Melayu tidak terhad dalam politik semata-mata malah banyak lagi faktor yang mendorong ke arah itu.

“Bagi mengekang permasalahan ini, kita minta semua pihak agar dapat mengemukakan cadangan ketika perhimpunan tersebut bagi mengubah nasib orang Melayu supaya menuju ke arah yang lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, dalam perhimpunan berkenaan, orang Melayu juga akan meluahkan kepada pemerintah agar pembangunan kaum itu di negara ini dapat dicapai secara holistik berteraskan maqasid syariah (objektif syarak).

“Agenda pembangunan berpaksikan maqasid syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tidak boleh dipisahkan mahupun bergerak secara sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Hasan, antara keunikan lain adalah program itu akan diadakan tanpa protokol dan semua tetamu kehormat akan hadir dalam keadaan tidak formal.

“Program ini kami buat dengan tiada protokol. Kita jemput Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri, tetapi mereka datang secara tidak formal dan bukan seperti majlis-majlis lain.

“Kita akan memberi peluang kepada peniaga untuk membuka gerai makanan dan sebagainya di luar stadium berkenaan dan Perdana Menteri sendiri pun kena beli makanan di gerai itu kerana pada program ini kita layan sama rata. Ini kerana kita semua anak Melayu semua sama taraf,” katanya.

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments