AKHIRNYA Majlis Tertinggi (MT) UMNO menamatkan segala teka-teki dan spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini apabila membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada 18 Februari lalu memutuskan bahawa Hari Penamaan Calon PRK DUN Chempaka adalah pada 10 Mac dan jika ada pertandingan pilihan raya akan diadakan pada 22 Mac. PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, baru-baru ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perpaduan ummah menjadi antara alasan utama kenapa UMNO tidak meletakkan calon dalam PRK ini di samping mahu memberi tumpuan kepada usaha-usaha pemulihan banjir dan kerja-kerja kebajikan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menyerahkan watikah pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya kepada Ibrahim Bakri Mat Deris (kanan) selepas mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka di Putrajaya, baru-baru ini. - |
Walaupun tindakan tidak masuk bertanding dalam PRK bukanlah suatu perkara baharu bagi BN mahupun UMNO kerana pernah mengambil keputusan sama pada PRK Parlimen Bukit Gelugor tahun lalu namun keputusan kali ini dilihat cukup signifikan, besar maknanya dan bakal merintis jalan ke arah mencapai impian yang lebih besar iaitu perpaduan ummah. Jelas keputusan ini dilihat oleh banyak pihak bakal mencetuskan gelombang baharu dalam inisiatif untuk menyatukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Cakap-cakap tentang perpaduan ummah, orang Melayu mahupun gabungan serta kerjasama antara UMNO dan Pas bukanlah perkara baharu. Sudah sekian lama kita dengar pelbagai usaha dilakukan oleh pihak tertentu supaya kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan umat Islam ini dapat duduk semeja berbincang mencari jalan ke arah menyatupadukan ummah demi kemajuan agama, bangsa dan negara.
Hal ini penting kerana andai orang Melayu dan penganut agama Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini mampu bergabung tenaga dengan mengetepikan segala perbezaan pendapat mahupun ideologi politik, bakal memberi impak yang cukup besar kepada kemajuan negara dan masyarakat secara keseluruhannya.
Maka penulis percaya langkah UMNO tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka perlu dilihat secara positif dalam spektrum yang lebih luas.
Jelas ini bukan soal politik lagi. UMNO sudah mula memikirkan secara serius langkah untuk menyatupadukan orang Melayu dan Islam di negara ini. Kejujuran dan keikhlasan itu jelas terbayang melalui usaha-usaha seperti ini. Maka harapan kita sekarang agar Pas menyahut seruan tersebut dengan hati terbuka, meletakkan kepentingan perpaduan ummah melebihi perjuangan dan kepentingan politik kepartian.
Sekali lagi ini bukan lagi soal ideologi kepartian yang sempit. Kita mengharapkan ahli politik kita akan berfikiran lebih terbuka, matang dan profesional dengan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara sebagai asas perjuangan utama mereka.
Jangan juga kita lupa betapa ajaran agama Islam itu sendiri melarang umatnya bercakaran sesama sendiri. Perpaduan adalah tonggak dan tiang seri agama Islam dan jangan kita membelakangkan mahupun menghancurkannya.
Sudah sampai masanya kedua-dua pihak duduk semeja berbincang ke arah menyatukan orang Melayu dan umat Islam. Sudah-sudahlah segala persengketaan, perbalahan, tuduh-menuduh, marah mahupun benci.
Zaman sudah berubah. Generasi hari ini mahukan perubahan yang drastik dan kematangan dalam landskap politik negara. Maka carilah titik persamaan dalam perbezaan yang ada. Jangan terus berdegil dan mencari pelbagai alasan untuk bercakaran sesama sendiri kerana akhirnya kita juga yang rugi.
Sedarlah betapa perbalahan kita semakin hari semakin merugikan agama, bangsa dan negara sekali gus menguntungkan pihak lain yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengambil kesempatan. Percayalah memang ada pihak yang cukup seronok melihat perpecahan orang Melayu dan umat Islam di negara ini dengan sentiasa menangguk di air keruh bagi memenuhi pelbagai agenda peribadi mereka.
Pelbagai kejadian mutakhir ini yang membabitkan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam yang terus dijadikan polemik dan pertikaian secara terbuka adalah bukti jelas dan kukuh umpama sudah terang lagi bersuluh di mana andai orang Melayu tidak bersatu maka semuanya akan hilang dan tergadai begitu sahaja.
Kenapa kita masih belum sedar dan terus leka? Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jangan esok segalanya hilang baru hendak menyesal.
Walaupun segala hak dan keistimewaan orang Melayu mahupun umat Islam sudah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan namun peruntukan itu tidak membawa sebarang makna andai kita tidak bersatu mempertahankannya.
Apatah lagi sudah ada orang Melayu yang berfikiran liberal dan sanggup bersekongkol dengan pihak yang bijak memanipulasi situasi untuk kepentingan dan agenda peribadi.
Apapun percayalah bahawa perpaduan ummah akan merintis jalan ke arah perpaduan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Maka diharapkan orang bukan Melayu juga menyokong penuh hasrat perpaduan ummah yang dipelopori oleh UMNO ini demi kebaikan bersama dan jangan sama sekali melihat ini sebagai ancaman kepada kaum dan agama lain.
Dan kita juga berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak yang terus melontarkan pelbagai tohmahan mahupun berprasangka buruk terhadap inisiatif UMNO ini dengan mempertikaikan keikhlasan mahupun kejujuran di sebalik langkah untuk menyatupadukan ummah.
Jangan pula ada yang menuduh UMNO tidak meletak calon bukan kerana perpaduan ummah sebaliknya takut masuk bertanding kerana pasti kalah memandangkan kerusi tersebut menjadi kubu tradisi Pas sejak sekian lama. Tohmahan dan pandangan sebeginilah yang selalunya menjadi batu penghalang ke arah perpaduan ummah.
Percayalah negara memerlukan ahli politik yang berfikiran matang dan jauh yang mampu melihat kedudukan agama, bangsa dan negara untuk 50 tahun yang akan datang. Apakah kita mahu terus bercakaran sebegini selama-lamanya?
Jadikan PRK Chempaka ini sebagai lambang kebangkitan dan perpaduan ummah yang pasti dan nyata yang ditunggu-tunggukan selama ini oleh semua pihak.
Apa yang pasti kita wajar memuji inisiatif dan langkah yang telah dimulakan UMNO ini dan berharap agar semua pihak yang terlibat menyahut seruan perpaduan ummah dengan hati terbuka demi kemajuan dan survival agama, bangsa dan negara. Noor Mohamad Shakil Hameed Utusan Malaysia Rencana 27 Februari 2015 1:05 AM - See more ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia