kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Renaisans Melayu perlu tindakan, bukan retorik

Isu perpaduan Melayu bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sudah lama dibincangkan. Setiap tahun ada sahaja cadangan menyatupadukan orang Melayu, yang dikatakan mengalami masalah perpaduan disebabkan beberapa faktor.

Ada Melayu tidak bersatu disebabkan fahaman politik berbeza. Itu perkara biasa dan sudah lama dibahaskan. Ada juga disebabkan fahaman dan cara hidup berbeza. Melayu kota menuduh Melayu desa tidak mempunyai cita-cita, manakala Melayu kota pula dituduh mengejar cita-cita dan impian hingga sanggup hilang jati diri Melayu. Mungkin ini bukan isu serius, tetapi tidak boleh dipandang ringan.

Apa pun, pada 28 Februari ini di Bukit Jalil akan berlangsung Perhimpunan Perpaduan Melayu yang bakal menyaksikan lebih 20,000 NGO hadir memberikan sokongan. Perlukah perhimpunan seperti ini diadakan? Adakah perpaduan Melayu hari ini begitu rapuh sehingga perlu ada perhimpunan untuk mengingatkan orang Melayu supaya terus bersatu?

Terpulang kepada anda memberikan jawapan. Apa yang pasti bukanlah kesalahan untuk berusaha memperkasakan bangsa kita agar menjadi lebih hebat, bermaruah dan berkat.

Dua pemimpin ulung Melayu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin Melayu terkenal akan hadir pada perhimpunan itu. Idea perhimpunan untuk perpaduan bangsa Melayu dan gerakan Renaisans Melayu ini dicetuskan Datuk Seri Idris Jusoh yang yakin perpaduan bangsa Melayu akan semakin kuat jika tidak berpecah dan sentiasa bermuafakat.

Apa yang jelas, sokongan pemimpin ini membuktikan mereka begitu komited mahukan perpaduan Melayu diperkuatkan. Bagi penulis, yang lebih penting ialah perpaduan yang bakal diadakan ini sebenarnya begitu kritikal untuk generasi akan datang.

Suntik semangat 'Melayu Hebat'

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad, 'orang kuat' dalam menganjurkan perhimpunan itu berkata, gerakan itu bertujuan memupuk semangat 'Melayu Hebat' dalam kalangan generasi muda.

"Dalam MPM sendiri, kita ada ahli terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, tokoh perniagaan dan sebagainya. Kita kumpulkan mereka supaya anak muda Melayu dapat menjadikan tokoh ini 'model peranan'. Ini bagi menimbulkan semangat mereka untuk menjadi bangsa Melayu berjaya," katanya.

Saya amat bersetuju dengan apa yang beliau katakan. Melayu perlu menjadi bangsa lebih hebat dan bukannya yang sentiasa mengharapkan ihsan dan bantuan. Keperibadian dan jati diri Melayu perlu sentiasa diperkasa.

Kita ambil penggunaan bahasa Melayu sebagai contoh. Bahasa melambangkan jati diri sesuatu bangsa. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu, kita terpaksa menerima hakikat masih banyak perlu dilakukan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahasa Melayu semakin hilang keperibadiannya.

Perlu diingat satu ketika dahulu bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca utama rantau ini. Bayangkan kalau semua bangsa di negara kita berbahasa Melayu dengan meluas. Pasti ini adalah simbol perpaduan paling bermakna. Apapun, Perpaduan Melayu adalah gagasan penting yang perlu dilaksanakan. Janganlah kita hanya beretorik, tetapi tidak ada pelaksanaan.

Seperkara penting yang perlu diberi perhatian ialah keikhlasan. Tidak kiralah dari kelompok mana Melayu yang akan datang ke perhimpunan itu nanti, yang penting semua mesti ikhlas dan tidak mempunyai agenda yang menguntungkan diri sendiri. Mereka perlu menginsafi kesilapan yang pernah dilakukan dan bersikap jujur untuk sama-sama memainkan peranan mengeratkan perhubungan sesama Melayu.

Pemangkin semangat Renaisans Melayu

Adalah menjadi harapan agar perhimpunan itu tidak berhenti di situ sahaja. Ia sepatutnya menjadi pemangkin menggerakkan semangat Renaisans Melayu, agar bangsa Melayu dapat bergerak untuk sama-sama memaju dan memakmurkan kehidupan masyarakat Melayu.

Sempena perhimpunan itu juga akan diadakan pelancaran perjanjian atau waad yang lebih dikenali sebagai Waad Melayu abad ke-21. Ia adalah janji luhur dan peringatan kepada kita untuk mengekalkan kesepakatan bagi menerajui kepemimpinan di bumi tercinta ini.

Berbalik kepada pentingnya perpaduan masyarakat Melayu ialah soal hala tuju negara. Bangsa Melayu sebenarnya mempunyai tanggungjawab penting menentukan masa depan dan hala tuju negara. UMNO contohnya adalah parti dominan dalam Barisan Nasional, menjadi nadi utama dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara. Itu sebabnya perpaduan Melayu akan menguatkan lagi pengaruh dan peranan orang Melayu di negara ini.

Sehubungan ini, nasionalisme Melayu yang dijadikan dasar perpaduan Melayu adalah dasar yang boleh diterima Islam, selagi dasar dan perpaduan ini tidak menafikan hak asasi umat Islam lain dan juga bangsa lain yang menjadi sebahagian rakyat negara kita.

Gerakan Renaisans Melayu yang dikaitkan dengan perpaduan Melayu ini boleh dianggap anjakan progresif bangsa Melayu. Pastinya gagasan ini mampu mengukuhkan kesepakatan dan meningkatkan semangat Renaisans Melayu dengan bercirikan elemen berani, bijaksana, tekun, cemerlang dan penyayang

Inilah masanya untuk kita bertindak dan jangan hanya melihat tanpa melakukan sebarang tindakan demi penyatuan bangsa. Sudah sampai masanya untuk kita berhenti menuding jari menyalahkan puak lain. Pastikan usaha ini tiada penghujungnya kerana kitalah yang bertanggungjawab memastikan agama Islam, kedudukan kita di bumi yang berdaulat ini tidak lagi diperlekeh, bahkan terus diperkasakan.Shahbudin Embun ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia Berita Harian Kolumnis 27 Feb 2015

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments