kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mencari renaisans Melayu dinamik

PERPECAHAN akan membawa kemusnahan. Dan jika ini berlaku kepada orang Melayu di bumi bertuah ini, jangan sa­lahkan sesiapa, tetapi salahkan diri sendiri. Ya, benar, hari ini kita mungkin tidak nampak kemungkinan itu akan berlaku, namun janganlah hingga sudah terlambat baru hendak bertindak.

Tiada gunanya berbangga menjadi bangsa yang dominan sekiranya orang Melayu terus lalai hingga membuatkan kita lemah, tidak bertanggungjawab atas sebarang tindakan kita serta tidak bersemangat untuk meneruskan cabaran hidup yang lebih getir.

Rancangan untuk terus memperkasakan orang Melayu perlu dibuat dan dalam hal ini satu gerakan renaisans Melayu yang dinamik perlu dilaksanakan. Sehubungan itu, satu Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu Mahawangsa di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini diadakan.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr. Hasan Mad menjelaskan bahawa perhimpunan yang pertama kali ini diadakan ini mempu­nyai objektif untuk membina ke­sepakatan dan kekuatan untuk terus memartabatkan dan memperkasakan masyarakat Melayu.

Ini merupakan satu usaha yang baik. Namun perlu diingatkan juga bahawa orang Melayu yang berjaya tidak mungkin dapat dicapai hanya melalui perhimpunan atau melalui slogan dan kata-kata yang bersema­ngat serta retorik semata-mata. Apa yang lebih penting ialah me­laksanakan segala program dan perancangan yang diatur untuk memartabatkan masyarakat Me­layu.

Pada hari ini, kita terpaksa menerima hakikat bahawa wujudnya orang Melayu yang berbeza jika dibandingkan dengan 60 tahun dahulu. Hari ini persekitaran sosiobudaya politik dan ekonomi begitu berbeza dengan kumpulan pra dan pasca merdeka.

Kini boleh dikatakan ma­sya­rakat Melayu memiliki taraf pendidikan yang lebih cemerlang serta merupakan kumpulan teknokrat dan profesional Melayu.

Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang masyarakat Me­layu hari ini telah melangkah lebih jauh dan memberikan satu dimensi yang lebih luas.

Contohnya, senario ekonomi Melayu tidak lagi berada di tahap lama tetapi berdepan dengan era globalisasi yang semakin mencabar.

Orang Melayu telah membuktikan yang kita boleh berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan ekonomi di negara dan rantau ini.

Kemajuan dan perubahan yang berlaku ini mungkin boleh memberikan kesan terhadap semangat dan jati diri Melayu itu sendiri. Ya, mungkin masih ramai yang terus cemerlang dan dapat memberikan sumbangan terhadap agama, bangsa dan negara.

Namun mungkin ada di antara mereka ini yang lalai dengan pelbagai kejayaan hingga menyebabkan jati diri Melayu mereka semakin rapuh.

Dan jika ini berterusan maka akan berlaku keretakan dalam masyarakat Melayu hingga boleh membawa kepada perpecahan.

Oleh itu, adalah penting untuk bangsa Melayu terus memperkukuhkan lagi perpaduan dan tidak melayan isu-isu yang berlandaskan emosi atau ideologi yang sempit.

Pastinya dalam perhimpunan ini akan menjanjikan pelbagai program dan agenda ekonomi dan pendidikan untuk kemajuan dan pembangunan bangsa Me­layu.

Itu sebabnya mereka yang ha­dir dalam perhimpunan itu nanti perlu menjadikan perhimpunan tersebut sebagai pemangkin semangat kepada masyarakat Melayu umumnya supaya terus melaksanakan dan meneruskan agenda yang telah dirancang nanti.

Satu perkara yang perlu diberikan perhatian adalah Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu Mahawangsa ini tiada ada kena mengena dengan sebarang isu politik atau ada unsur perkauman. Perkara ini adalah penting untuk dijelaskan.

Perhimpunan ini merupakan satu platform untuk menyatupadukan masyarakat Melayu yang selama ini berpecah akibat pelbagai sebab. Contohnya se­perti perbezaan fahaman politik.

Itu sebabnya program itu akan memberi penekanan kepada usaha memperkasakan konsep Maqasid Syariah yang berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) secara konsisten.

Dalam hal ini, tanpa mengira fahaman politik, pastinya satu kerjasama dalam bidang agama, pendidikan dan ekonomi boleh dilaksanakan.

Apa yang penting, semua pihak yang terlibat perlu memberikan komitmen tanpa berbelah bahagi serta memainkan peranan yang lebih signifikan.

Fokus utama yang menjadi misi penting dalam perhimpunan ini ialah untuk membina ke­sepakatan, kehebatan, bermaruah dan diberkati, di segenap lapisan dalam kalangan orangMelayu. Dan apabila ini dapat dilaksanakan maka keakraban silaturahim dan semangat bersatu padu sesama bangsa Melayu akan tercapai.

Perhimpunan ini juga akan menyaksikan komitmen bangsa Melayu menyatakan kepada pe­mimpin mereka, apa yang akan mereka lakukan demi menjadikan orang Melayu sepakat, hebat, bermaruah dan berkat.

Apa yang lebih membanggakan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan me­lafazkan Amanat Pe­mimpin Me­layu yang mana inti pati dan fokus utama ucapan beliau nanti adalah ke arah perpaduan yang utuh dan abadi.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan melafazkan Mandat Pemimpin Melayu untuk merangsang gerakan perpaduan orang Melayu ini dilaksanakan dengan segera dan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Bagi semua yang hadir pula akan menandatangani Waad Melayu Abad Ke-21, iaitu satu janji luhur dalam kalangan bangsa Melayu untuk terus sepakat sebagai sebuah kesatuan yang dinamik dan padu.

Adalah diharapkan Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu Mahawangsa ini akan terus menyemarakkan semangat orang Melayu untuk terus membangun dan maju.

Selain itu, gerakan renaisans Melayu ini diharapkan akan terus memperkukuhkan lagi jati diri agar nilai budaya dan peradaban orang Melayu terus dipelihara dan menjadi sebuah bangsa yang lebih dinamik, dihormati, disegani dan cemerlang dalam pelbagai bidang.

Shahbudin Embun ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia  Utusan Malaysia Rencana 28 Feb 2015

Tags: melayu
Subscribe

  • Bahasa

    Bahasa berfungsi sebagai pintu masuk ke dalam minda, kata ahli psikologi. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa cara kita bercakap dapat…

  • Kuasai bahasa ibunda

    Celik atau kenal huruf ( literasi) ditakrifkan sebagai kemampuan membaca dan menulis dalam bahasa. (Kamus Dewan) Literasi sering dilihat sebagai…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments