kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usaha bangkitkan orang Melayu

“Jangan jadi lebai malang menang sorak kampung tergadai’’, “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.’’ Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’’ dan “Lesung sama lesung berlaga, ayam di bawah kekenyangan.’’

Semua pepatah atau kata-kata ini lebih banyak ditujukan kepada orang Melayu. Sebagai kelompok majoriti di negara ini, orang Melayu sering sahaja diperingatkan mengenai bencana yang menanti seandainya mereka lemah di bumi sendiri.

Walaupun seharusnya sebagai orang Melayu beragama Islam, orang Melayu sepatutnya menjadi contoh terbaik khususnya dari segi perpaduan sesama mereka dan menjadi bangsa cemerlang dalam pelbagai bidang namun realiti hari ini menunjukkan sebaliknya.

Oleh itu Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu yang akan menghimpunkan kira-kira 20,000 peserta di Stadium Putra Bukit Jalil, pada Sabtu ini diadakan tepat pada masanya. Ia bagaikan loceng yang akan menggerakkan orang Melayu supaya bangkit dari lena mereka atau tidak terus dibuai mimpi di siang hari.

Seperti mana kata Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr. Hasan Mad, perhimpunan tersebut bertujuan menggerakkan kebangkitan semangat orang Melayu dalam mewujudkan penyatuan bermaruah dan menguatkan perpaduan sesama kaum.

Sememangnya orang Melayu harus ‘digerakkan’, senario politik dalam negara ketika ini membuktikan bahawa orang Melayu tidak boleh lagi leka atau memandang penyatuan sesama mereka adalah sesuatu yang janggal.

Orang Melayu bersatu bukanlah untuk mengancam bangsa lain, orang Melayu berpadu bukan untuk menggugat hak orang lain tetapi orang Melayu perlu bersatu kerana mereka kini berada di jurang yang cukup lemah.

Tiada gunanya kita berbangga mempunyai parti besar yang mewakili orang Melayu seperti UMNO dan Pas atau mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang sentiasa ke depan mempertahankan hak-hak orang Melayu. Semua itu tidak akan memberikan kesan jangka panjang kepada kepentingan orang Melayu selagi tidak ada semangat untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Selagi orang Melayu tidak bersatu, selagi orang Melayu masih bercakaran sendiri, selagi orang Melayu berbalah sesama sendiri dan selagi orang Melayu merasakan mereka paling hebat dalam kalangan sendiri maka selagi itulah semangat kebangkitan Melayu tidak akan ke mana.

Apatah lagi orang Melayu kini bukanlah lagi dipecahkan akibat perbezaan ideologi politik tetapi juga pemikiran atau lebih tepat lagi fahaman berbeza. Sudah ada orang Melayu yang memberi amaran akan menentang habis-habisan penyatuan antara parti Melayu dan sudah ada keberanian luar biasa dalam kalangan sesetengah individu orang Melayu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan tatasusila orang Melayu dan agama Islam.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada kelompok orang Melayu yang kononnya tidak mahu terlibat dalam politik tetapi bersedia mengkritik kepimpinan orang Melayu sehingga ia memberi ruang kepada ‘musuh’ orang Melayu mengambil kesempatan.

Sebenarnya, sudah banyak usaha dilakukan untuk menyedarkan orang Melayu tentang bahaya yang menanti jika mereka terus berpecah belah tidak kira atas alasan apapun. Tetapi malangnya ia tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Ada orang Melayu yang memandang sinis usaha tersebut dan lebih buruk menganggap ia bersifat perkauman.

Persoalan apakah istilah perkauman itu hanya terpakai untuk sebarang tindakan oleh orang Melayu? Apakah orang Melayu tidak berhak untuk berusaha bersatu sesama mereka? Apakah orang Melayu tidak ada kuasa untuk menyuarakan apa yang menjadi hak kepada mereka?

Kenapakah perlu ada dalam kalangan Melayu yang melihat perjuangan untuk menyatu dan menguatkan orang Melayu sebagai perkauman? Di mana semangat perjuangan untuk bangsa mereka?

Sejarah negara sudah membuktikan apabila orang Melayu bersatu dan kuat ia juga memberi manfaat kepada kaum lain. Golongan yang tidak mahu melihat orang Melayu berada dalam kedudukan tersebut sebenarnya sudah terhakis semangat keMelayuannya atau kelompok yang bimbang mereka tidak boleh mengambil kesempatan apabila orang Melayu lemah.

Oleh itu, langkah MPM menganjurkan Perhimpunan Perpaduan Melayu Melayu tersebut perlu disokong kerana kita tidak boleh membiarkan orang Melayu selama-lama berpecah belah sehingga melemahkan mereka.

Orang Melayu bukanlah dicipta oleh Allah SWT sebagai bangsa yang lemah, orang Melayu adalah bangsa berdaulat dan mempunyai kekuatan yang cukup hebat. Tetapi dari semasa ke semasa ‘kedaulatan’ itu semakin pudar dan kekuatan pula semakin terhakis.

Keadaan itu berlaku bukan kerana orang lain. Jangan salahkan orang lain tetapi orang Melayu patut menyalahkan diri sendiri. Mereka yang membuka ruang dan peluang kepada orang lain mengambil kesempatan atau bak kata pepatah Melayu, ‘Menangguk di air keruh’.

Apabila orang Melayu sendiri tidak boleh bersatu dan semakin lemah dari segi kuasa politik sehingga mengharapkan kepada orang lain untuk mengekalkan kuasa atau mahu berkuasa, maka sudah pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan.

Hakikatnya, bukannya majoriti orang Melayu tidak sedar perkara ini tetapi ada dalam kalangan mereka meletakkan kepentingan lain mengatasi kepentingan mempertahankan hak dan mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

Akui sahaja orang Melayu lemah bukan kerana mereka lemah tetapi mereka yang melemahkan diri sendiri. Tidak perlu kita menghuraikan apakah puncanya kerana orang Melayu sering diingatkan sebelum melakukan tindakan ‘tepuk dada tanyala selera.’

Semoga perhimpunan yang bakal diadakan akan memberikan manfaat besar kepada orang Melayu kerana jika orang Melayu masih belum sedar maka percayalah kata-kata “dilayan bagaikan melukut di tepi gantang’’ dan ibarat pelarian di tanah air sendiri bukan sekadar peringatan sebaliknya mampu menjadi realiti.

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments