kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berhenti perlekeh sistem pendidikan negara sendiri

Kenyataan bahawa pengajian tinggi kita setanding dengan yang di negara maju lain, bukan sahaja dipersenda rakyat kita sendiri. Ia ikut dipertikai pihak tertentu dalam negara ini. Beginilah sikap sesetengah rakyat Malaysia yang memandang sinis semua perkara yang wujud dalam negara.

Sesungguhnya banyak perkara yang kita laksanakan setanding dengan yang dilakukan di kebanyakan negara maju. Ini termasuklah sistem pendidikan kita. Antaranya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang meliputi pendidikan prasekolah sehingga menengah. Begitu juga halnya dengan sektor pengajian tinggi 2015-2025.

Ini kerana ia merangkumi segala ciri yang bukan sahaja terdapat, tetapi wajib ada pada sistem pendidikan baik. Semua ciri ini dipastikan wujud dalam sistem kita setelah diambil daripada amalan pendidikan yang digunakan di merata tempat di seluruh dunia. Antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jerman, Perancis, Poland, Korea, Jepun, China dan banyak lagi.

Setanding sistem negara maju

Apabila diambil untuk diterapkan dalam sistem kita, sudah tentu penyesuaian dilakukan mengikut acuan kita. Ini penting agar ia dapat diselaraskan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi nasional. Antara yang terpenting ialah pengembangan individu yang menyeluruh, perpaduan kaum dan integrasi nasional selain identiti nasional.

Visi, misi dan aspirasi untuk pengajian tinggi kita apabila dihemati, sebenarnya adalah gagasan, tugasan dan harapan sejagat terkini untuk pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi yang didukung di banyak negara. Begitu juga dengan langkah yang diambil bagi memastikan hasil terbaik daripada pengajar dan pelajar serta peningkatan usaha pelbagai pihak untuk menjamin penyampaian bestari.

Dengan adanya semua ini dalam pengajian tinggi kita, ia bukan sahaja sistem yang berada pada landasan betul, ia memang setanding dengan yang diamalkan di negara maju. Ini kerana ia dikendalikan mengikut kaedah yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom sebagai dua negara yang terkenal dengan pengajian tingginya.

Selain kaedah begini yang menekankan kemahiran abad 21 untuk pelajar dan pengajar, kerjasama sejagat dengan universiti terkemuka di seluruh dunia ikut menjadikan pengajian tinggi kita bermutu dunia. Kerjasama ini sebenarnya menguntungkan kedua-dua pihak, dan tidak seperti yang disangkakan sesetengah pihak dalam negara ini bahawa ia hanya menguntungkan universiti kita.

Tingkat prestasi universiti

Oleh sebab kita menduduki tempat 50 teratas di dunia dalam bidang sains persekitaran, kerjasama dengan universiti kita sudah tentu akan memberi manfaat tidak terhingga kepada mana-mana universiti yang tiada kebitaraan dalam bidang ini. Hal sama juga berlaku dalam bidang pertanian dan perhutanan. Ini kerana universiti kita menduduki tempat 51-100 teratas di dunia.

Diakui bahawa secara keseluruhannya, prestasi universiti kita perlu dipertingkatkan agar dapat menduduki tempat 150 teratas di dunia. Ini penting dari satu segi apabila kita mahu pengiktirafan dalam sistem susun letak begitu. Akan tetapi, dari segi lain, kita tidak perlu terlalu mengejar kedudukan dalam letak duduk status sedemikian.

Yang lebih penting di sini ialah proses pengajaran, pembelajaran dan latihan akademik dan iktisas pada peringkat maju itu dikendalikan dengan baik. Ini penting untuk menghasilkan graduan yang berilmu, hasil yang kesarjanaannya tinggi dan ilmu yang baharu.

Sesungguhnya semua ini jauh lebih berfaedah daripada mengejar kedudukan dalam susun letak itu, yang menggunakan syarat yang sering juga tidak memihak kepada sesetengah negara.

Russia model terbaik

Sehubungan ini, Russia perlu dicontohi. Ia mempunyai sebilangan universiti terkenal, sama ada yang secara keseluruhannya ataupun dalam bidang tertentu. Ini tidak dapat dinafikan khususnya dalam sains angkasa dan dapat dilihat dengan jelas bahawa bakal angkasawan mana-mana negara pun perlu ke Moscow untuk sekurang-kurangnya membandingkan ilmu itu di sana, kalau tidak pun untuk menimbanya. Namun, Russia tidak berminat pun untuk beradu dalam bidang ini.

Dalam soal pendidikan, kita tidak sepatutnya memperlekehkan sistem kita sendiri. Ia yang mendapat pujian dari pihak luar negara, tidak dibangunkan dalam ruang kosong. Ia memiliki asas yang digunakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Oleh itu, ia yang selama ini memang mampu pun mengilmukan anak bangsa perlu diyakini semua rakyat Malaysia. Teo Kok Seong adalah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara. Berita Harian Kolumnis 1 Mac 2015

Tags: education, pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments