kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Warkah Waad Misi Melayu Abad Ke-21

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Berikut adalah waad (janji) yang dilafazkan dalam Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu Mahawangsa di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam ini:

Bismillahirrahmanirrahim,

Inilah waad (Janji Luhur) dalam kalangan bangsa Melayu, yang termaktub pada hari ini, berpaksikan persetujuan yang berikut:

n MEYAKINI akidah Islam yang bersendikan al-Quran, hadis, ijmak dan qias telah berakar umbi dalam peradaban Melayu selama lebih satu alaf dan menjadi pegangan luhur umat Melayu yang telah berperadaban dalam rangka lebih dua alaf di rantau alam Melayu dengan binaan empayar, negara dan pemerintahan yang berkesinambungan hingga kini.

n MEMAHAMI peradaban Islam berlandaskan tauhid dan syariah, diperkasakan oleh maqasid syariah dan Piagam Madinah yang telah turun-temurun terserap ke dalam keyakinan serta amalan hidup umat Islam Malaysia dan juga dalam gubalan perlembagaan negaranya Persekutuan Malaysia.

n MENDEPANI cabaran era globalisasi, terutama geopolitik dan ekonomi, pendekatan misi Melayu harus berpaksikan ciri-ciri Melayu global, yang berfikiran futuristik dan bersikap kompetitif dengan kebijaksanaan yang tinggi, berilmu, menguasai teknologi dan berjati diri kental. Bangsa Melayu global juga perlu menghormati kelainan kaum, bangsa dan manusia sejagat.

n MENEGASKAN peradaban bangsa Melayu yang berteraskan inti sari akhlak serta nilai mulia dengan budi pekerti yang bersopan santun, budi bahasa yang halus dan budi bicara yang berhemah tinggi, dengan susunan adat yang sempurna, dan sistem kebudayaan yang lengkap maka wajib sebati dalam jiwa bangsa Melayu demi kemajuan, kemuliaan, maruah dan keagungan negara dan menjadi prinsip pembinaan peradaban bangsa Malaysia dan sumbangan kepada peradaban dunia sejagat.

n MAKA DENGAN INI diwaadkan bahawa peradaban Islam dan peradaban bangsa Melayu ialah sebatian yang sempurna untuk menjadi landasan bagi segala bentuk pemerintahan negara, pembangunan bangsa dan pengurusan seluruh warganegara serta kelangsungan peradaban bangsa dalam menghadapi cabaran dunia sejagat.

n MAKA WAJIBLAH waad ini difahami dan hidup subur dalam jiwa dan sanubari bangsa Melayu turun temurun sebagai teras keyakinan untuk menggubal, membina dan melaksanakan sebarang agenda demi kelestarian, kemampanan dan kemalaran bangsa, negara dan peradaban yang tinggi pada sepanjang zaman bercirikan kemajuan ilmu, kemakmuran kehidupan, kedalaman pemikiran dan keluasan kebijaksanaan.

n MAKA MENJADI MISI waad ini untuk membina peradaban bangsa serta negara Malaysia turun-temurun berteraskan keluhuran peradaban Melayu-Islam. Inilah kaedah yang wajar dan benar untuk menjamin kelangsungan wa­risan peradaban (civilization legacy) bangsa Melayu masa hadapan selaras keagungannya pada masa lampau.

n MAKA WAJIBLAH waad ini menjadi peringatan kepada semua anggota bangsa Melayu untuk terus memimpin negara Malaysia ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang adil dan saksama, di mana-mana jua mereka berada, dengan keyakinan akan taufik, hidayah dan berkat Allah SWT.

-Utusan Malaysia Rencana Nasional 1 Mar 2015
Tags: janji, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments