kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kedaulatan institusi Raja mesti dipertahan

Ketika menyampaikan syarahan perdana budaya pada 7 November tahun 2012, Raja Dr Nazrin Shah (kini Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah) bertitah: "Raja Berperlembagaan adalah satu kelangsungan pemerintahan beraja. Kelangsungan yang dianggap ketinggalan zaman dalam kalangan setengah pihak yang rabun sejarah, lalu melakukan tafsiran dangkal, memilih untuk tidak mahu mengakui dan kurang mahu mendalami salasilah serta falsafah di sebalik institusi ini".

Syarahan berjudul Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa yang disampaikan cendekiawan diraja itu sangat bermakna dalam menyelami dan melakukan tafsiran berfakta mengenai dinamisme institusi itu di negara ini.

Institusi Raja mengalami evolusi daripada sistem beraja mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan. Ia mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri. Jika dulu, sebelum terbentuknya institusi Raja Berperlembagaan, Raja adalah tonggak berpusatnya segala kuasa dan arahan perundangan, tetapi hari ini institusi Raja sudah diikat dengan semangat perlembagaan moden. Namun, ia tetap penting kerana kedudukan dan kuasa yang ada padanya seperti diperuntukkan dalam perlembagaan.

Kebelakangan ini, institusi yang sepatutnya dihormati berhadapan cabaran. Wujud pihak dan individu tertentu yang cuba mencanai persepsi negatif mengenai institusi Raja yang disebarkan melalui media sosial. Individu yang mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui media sosial amat ramai di negara kita. Demikian juga gelagat sesetengah ahli politik yang semakin melampau sehingga sanggup mengheret institusi Raja dalam kancah politik kepartian.

Antara perkara yang dipolitikkan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong ialah Perkara 153, iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu. Antara tuduhan liar mereka ialah peruntukan itu membeza-bezakan antara warganegara dan dianggap sebagai diskriminasi kepada kaum lain. Perkara 153 itu dibaca sebahagian sahaja. Ia juga tidak difahami dengan konteks sejarah.

Jika jujur mereka akan berlaku adil mengatakan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kelompok masyarakat Malaysia. Peruntukan ini dengan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan masyarakat anak negeri Sabah dan Sarawak serta kaum lain.

Justeru Perkara 153 ini tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya menjadi asas kepada perpaduan masyarakat. Dari segi sejarah, peruntukan dan pengisian Perkara 153 dibincangkan dengan terperinci dan ia dapat diteliti dalam dokumen sejarah sejak dari Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 lagi.

Ahli politik sepatutnya mengerti dan memahami kedudukan raja tidak bersifat politik. Mereka sepatutnya menghargai institusi Raja dan melihat kepentingan institusi Raja Berperlembagaan dalam konteks pembinaan negara bangsa. Mereka perlu membantu memperkukuhkan pemahaman rakyat mengenai institusi Raja supaya rakyat lebih menghargai dan memahami peranan Raja.

Penulis tersentuh dengan kerendahan budi Sultan Nazrin apabila menegaskan cabaran itu perlu ditangani berpandukan hikmah, kebijaksanaan, kearifan dan kematangan.

Dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 2013 pula, baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada Raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Penghinaan terhadap institusi Raja oleh individu atau kumpulan wajar dianggap sebagai kesalahan yang patut dikenakan hukuman setimpal. Kebiadaban mereka wajar dikategorikan sebagai kesalahan serius kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu menjejaskan imej institusi raja di negara ini.

Menghina dan memperlekeh kedudukan Raja-Raja Melayu itu tidak wajar dikatakan sebagai satu kebebasan bersuara kerana apa-apa peruntukan yang dimaktubkan dalam perlembagaan berkaitan peranan institusi Raja adalah sesuatu yang menepati kedudukan Raja yang mempunyai kedaulatan sendiri.

Kesimpulannya, institusi Raja mesti dihormati dan dipertahankan. Ia mempunyai kepentingan sama ada dari segi nilai kenegaraan dan sejarah. Dari segi roh kenegaraan, institusi Raja Berperlembagaan penting kerana ia menjadi payung kedaulatan negara, menaungi seluruh rakyat dan kepercayaan agama.

Institusi ini penting dalam menjamin kestabilan negara. Justeru, prinsip kedua rukun negara meletakkan Raja perlu ditaati. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara seperti termaktub dalam Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara dan kewujudannya menjadi sebahagian identiti negara serta dilindungi perlembagaan. Justeru, institusi Raja sewajarnya menjadi mauduk dan subjek istimewa dalam minda dan jiwa rakyat negara ini kerana pada institusi inilah akan tersematnya kesetiaan kepada negara.   Mohd Ayob Abd Razid Berita Harian Kolumnis 7 Mac 2015

Tags: akta, perlembagaan, raja, sultan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments