kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Peratusan wanita kita ke jawatan tertinggi capai KPI

Bersempena Hari Wanita Sedunia yang akan disambut hari ini, Malaysia sudah berjaya mengorak langkah serta menempa nama pada peringkat antarabangsa isu berkaitan wanita dalam sektor pekerjaan.

Mengikut Kajian Panduan Pendapatan Asia Hays 2015 yang baru dilaporkan oleh Hays iaitu syarikat pakar pengambilan kakitangan dan perekrutan antarabangsa, Malaysia mengatasi Jepun, Singapura dan Hong Kong dalam peratusan wanita berjawatan pengurusan tertinggi apabila mencatat 34 peratus, hanya sedikit ketinggalan di belakang China yang mempunyai 1.3 bilion penduduk.

Angka 34 peratus peratus ini bukan sahaja mengatasi peratusan wanita yang menjawat jawatan pengurusan tertinggi di negara maju seperti Jepun, malah lebih manis lagi ia mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada Jun 2011, Perdana Menteri mengumumkan dasar pembabitan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pengurusan tertinggi dan pembuat keputusan dalam sektor korporat bagi meningkatkan jumlah wanita sebagai ahli lembaga pengarah.

Sasaran dicapai kurang lima tahun

Sehubungan itu, syarikat korporat terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia diberi tempoh lima tahun untuk mencapai sasaran berkenaan. Namun, berkat ketegasan, komitmen dan kepemimpinan Perdana Menteri dalam pelaksanaan dasarnya, sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh hanya empat tahun, yakni lebih awal daripada yang ditetapkan.

Bagi sektor perkhidmatan awam pula, kejayaan melangkaui 30 peratus wanita dalam jawatan pengurusan tertinggi pula telah diraih lebih awal sejak 2010 lagi, iaitu 32 peratus berbanding hanya 18.8 peratus pada 2004, tahun dasar itu mula dilaksanakan.

Komitmen Kerajaan Persekutuan mengintegrasi peranan wanita dalam pembangunan negara diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Dasar Wanita Negara pada 2009 yang bersifat fleksibel dengan merangkumi sektor perkhidmatan awam dan korporat.

Matlamat utama dasar ini adalah untuk menjamin perkongsian saksama dalam memperoleh kemudahan sumber, maklumat, peluang penyertaan serta manfaat pembangunan kepada lelaki dan wanita, serta bagi menjamin keperluan dan peranan wanita turut diambil kira dalam segenap sektor pembangunan negara.

Kajian Panduan Pendapatan Asia Hays 2015 bukan sahaja menyaksikan Malaysia gah dalam aspek wanita, malah turut mencatatkan kejayaan yang membanggakan secara umumnya.

Contohnya, peningkatan gaji dalam kalangan rakyat Malaysia mencatatkan peningkatan ketara berbanding negara lain yang ditonjolkan pada peringkat awal laporan berkenaan.

Selain itu, Malaysia juga cemerlang dari segi manfaat pekerjaan apabila mendahului negara jiran iaitu Singapura dalam pelbagai aspek penting iaitu manfaat kesihatan, insurans, elaun pengangkutan dan perumahan serta pencen.

Pasaran pengambilan bidang kewangan dan perakaunan negara kita juga kekal kukuh merentas semua sektor yang mewujudkan kesan domino positif sehingga berjaya meningkatkan gaji pekerja dalam bidang ini. Arah aliran positif ini dijangkakan akan berterusan dalam tahun ini.

Pendekatan Islamik Kerajaan Pusat

Lebih menarik, pendekatan laporan ini turut menyatakan antara faktor pertumbuhan industri perbankan di Malaysia kerana pendekatan Islamik Kerajaan Persekutuan yang memperkenalkan akaun pelaburan patuh syariah dikenali sebagai Platform Akaun Pelaburan (IAP) bertujuan menarik pelabur institusi dan individu kaya dalam pasaran kewangan Islam.

Pelaksanaan Platform Akaun Pelaburan (IAP) ini bukan sahaja akan terus memacu industri perbankan Malaysia, malah adalah 'serampang dua mata' apabila ia juga sejajar dengan Indeks Syariah Malaysia yang baru dilancarkan dalam memastikan pentadbiran negara ini memenuhi semua aspek maqasid syariah.

Pengiktirafan bertaraf antarabangsa yang diterima ini wajar dijadikan penanda aras dalam hal ehwal sumber manusia amnya serta wanita khususnya bagi memastikan sektor pekerjaan di Malaysia kekal anjal demi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang maksimum dalam mencapai sasaran status negara maju pada tahun 2020. Muhammad Iqbal Ikhwandi Mat Zin Berita Harian Kolumnis 8 Mac 2015

Tags: wanita
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments