kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran Mukhriz

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa DATUK MUKHRIZ TUN MAHATHIR akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat menubuhkan kerajaan di negeri itu merupakan antara faktor kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Imej bersih dan sederhana beliau menjadikan Mukhriz amat popular bukan sahaja di Kedah, malah di seluruh negara kerana rakyat meletakkan harapan tinggi kepada beliau. Namun, sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz memerlukan lebih daripada imejnya untuk mengubah wajah negeri itu terutama bagi meningkatkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan, memandangkan Kedah bukan sebuah negeri yang kaya dengan hasil. Selain itu, sebagai muka baharu, beliau perlu membuktikan kepimpinannya untuk mendapat sokongan daripada rakyat dan parti, di samping menangani pengaruh Pas yang agak kuat di negeri tersebut. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, JAMLIAH ABDULLAH dan jurufoto, ISMAIL KAMADIN, Mukhriz telah menjelaskan pencapaian dan cabaran beliau sejak dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada 6 Mei 2013.

MINGGUAN: Kerajaan negeri merancang enam projek mega dalam usaha memacu pembangunan Kedah untuk menjadi negeri maju, antaranya pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). Apakah perkembangan terbaharu tentang KXP?

MUKHRIZ: Setakat ini belum ada berita tentang KXP daripada Kerajaan Persekutuan namun kerajaan negeri masih menaruh harapan agar ada maklum balas kelak. Ada juga kebimbangan situasi ini mungkin disebabkan beban kewangan Kerajaan Persekutuan yang mungkin rasa berat nak luluskan, ini andaian saya... bukan berita yang saya terima daripada pihak mereka. Andaian ini saya buat daripada situasi semasa dengan kejatuhan harga minyak dan bajet yang disemak semula.

Jadi, saya keluarkan kenyataan bahawa apa yang kita minta daripada Kerajaan Persekutuan adalah kelulusan sahaja. Jangan terlalu bimbang tentang ada atau tidak dana yang mencukupi untuk tujuan pembinaan KXP sebab ada kaedah-kaedah lain yang boleh kita pertimbangkan untuk tujuan pembangunan lapangan terbang tersebut.

Harapan saya, sebelum keluar kenyataan yang mungkin negatif, saya awal-awal lagi ingin beri cadangan atau nak yakinkan kerajaan yang kita perlukan cuma kelulusan, namun kalau kerajaan mempunyai peruntukan tersebut kita sangat alu-alukan.

Apakah opsyen yang Datuk Seri fikirkan bersesuaian untuk dilaksanakan sekiranya cadangan pembinaan KXP tersebut mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan?

MUKHRIZ: Saya pernah nyatakan bahawa antara faktor kejayaan bagi pembinaan KXP ialah wujud satu lebuh raya baharu, Lebuh Raya Sungai Petani-Inner Kedah Expressway (Spike). Spike akan menghubungi Perak utara khususnya Changkat Jering dan ini selari dengan Lebuh Raya Utara Selatan tetapi lebih ke timur dan melalui Bandar Baharu ke Kulim kemudian Sungai Petani.

Seterusnya akan sampai Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan bersebelahan dengan tapak yang dicadangkan untuk KXP. Saya dengar projek Spike sedang diberi pertimbangan positif oleh kerajaan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Saya juga ada cadangan untuk industri penerbangan iaitu Bandar Raya Aero Kedah (Kedah Aerocity) di tapak yang terletak bersebelahan KXP.

Saya fikir dua faktor ini yang memungkinkan cara untuk kita membiayai pembinaan KXP. Lulus dahulu dan kita akan cari opsyen kerana saya ingin pertimbangkan banyak opsyen termasuk mungkin ada pihak swasta yang sanggup melabur. Jangan kata, tidak.

Cadangan Datuk Seri untuk membina KXP dengan anggaran bernilai RM1.6 bilion mendapat bantahan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mempersoalkan justifikasi dari sudut ekonomi kerana terlalu hampir dengan Pulau Pinang yang sudah mempunyai lapangan terbang antarabangsa. Apa komen Datuk Seri?

MUKHRIZ: Pandangan saya, kalau kita lihat unjuran pertumbuhan ekonomi bagi Pulau Pinang nampaknya akan lebih menjurus ke arah sektor perkhidmatan kerana negeri itu tidak mempunyai bidang tanah yang luas. Sudah sampai satu tahap mungkin tidak sesuai untuk kerajaan Pulau Pinang memberi penekanan kepada sektor industri atau pengeluaran yang memerlukan tanah yang luas dan pekerja yang ramai.

Itu agaknya pertimbangan Pulau Pinang apabila mengisytiharkan projek penyumberan luar proses perniagaan (BPO) berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Ia tidak perlu ruang yang terlalu luas tetapi lebih kepada modal insan yang memerlukan kemahiran tinggi dan kerja yang diwujudkan di situ bergaji lumayan.

Lantas kerja mengeluarkan produk boleh ditumpukan ke kawasan lain iaitu kawasan yang luas dan jumlah penduduk yang lebih ramai... mana lagi kita lihat kawasan yang sesuai melainkan Kedah kerana berjiran dengan Pulau Pinang.

Saya tidak lihat cadangan yang kita buat ini sebagai satu saingan terhadap Pulau Pinang dan saya rasa ada cara yang kita boleh lakukan saling bantu membantu antara Kedah dengan Pulau Pinang. Saya rasa Pulau Pinang tidak perlu rasa bimbang dengan apa yang kita cadangkan.

Bajet Kedah 2015 dibentangkan dalam unjuran defisit kira-kira RM60 juta. Apakah Datuk Seri yakin kerajaan negeri dapat mengakhiri tahun kewangan ini dengan lebihan atau bagaimana?

MUKHRIZ: Inilah antara cabaran yang paling besar bagi pentadbiran saya sekarang yang kita sebenarnya hadapi kekangan dari segi hasil. Pendapatan kita waktu ini tidak seberapa seperti mana diharapkan kerana bagi satu-satu negeri biasanya sumber asli selain cukai, tanah dan sebagainya yang jadi pendapatan bagi negeri.

Kita bukan negeri kaya seperti ada sumber minyak, gas, dan sebagainya malah galian pun terhad. Pembalakan juga bukan sesuatu yang kita galakkan. Jadi kita tidak ada pilihan kecuali untuk buka lebih banyak bidang tanah bagi tujuan industri. Saya sangat percaya jika kita tumpu sektor ekonomi, kesan sampingan langsung atau tidak, bantu lonjak ekonomi dan bantu untuk hadapi masalah kekangan kewangan.

Saya sedang berusaha pastikan defisit RM60 juta itu kekal tahap itu sahaja, tidak lebih daripada itu dan sekarang kita cuba cari pendapatan lain untuk tampung perbelanjaan bagi keperluan rakyat.

Paling penting fikir luar kotak dengan mencari pendekatan luar biasa untuk jana pendapatan negeri. Orang mungkin kata, kita minta saja daripada Kerajaan Pusat tetapi sampai bila? Saya tidak selesa jika hutang Kedah kepada kerajaan adalah tinggi. Kita mesti tunjuk kebolehan untuk berdikari dan satu hari kita sumbang lebih banyak pendapatan cukai kepada Kerajaan Pusat.

Selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah pada 2013, bagaimana tahap sokongan bahagian-bahagian UMNO terutama warlord UMNO kepada kepimpinan Datuk Seri?

MUKHRIZ: Saya akui di peringkat awalnya sebagai orang baharu dan yang dianggap anak muda, tentu saya kena tunjuk prestasi kerja yang meyakinkan kepada pemimpin senior, abang-abang yang sudah lama memegang kepimpinan parti di peringkat bahagian.

Kemenangan kita pada PRU-13 satu faktor yang meyakinkan dan saya juga terima hakikat bahawa ketua bahagian tentu lebih faham apa keadaan sebenar di kawasan dia sendiri. Jadi, di peringkat perhubungan negeri, kita tidak berhasrat campur tangan dalam hal yang lebih baik untuk satu bahagian itu. Hanya kadang-kadang sahaja bukan kita nak campur tangan, kita beri pandangan untuk pertimbangan bahagian. Tujuannya membantu mereka supaya lebih bersedia menghadapi PRU-14.

Jika pun ada isu dalam parti yang menyatukan hati kita semua ialah keinginan dan iltizam untuk pastikan BN bukan sahaja menang di Kedah pada PRU-14, malah tambah lagi jumlah kerusi yang kita menang di peringkat DUN dan Parlimen.

Isu politik dalaman hanya akan menjejaskan kedudukan kita sebagai parti memerintah seolah-olah kita khianati perjuangan parti. Jadi kita tidak perlu bertengkar sehingga memudaratkan parti. Setakat ini tidak pernah berlaku lagi, pandangan berbeza itu biasa tetapi tidak pernah dalam mesyuarat berlaku salah faham atau perbezaan pendapat yang di luar kawalan. Semua dengan semangat kekeluargaan satu hati untuk mempertahankan kuasa yang diberikan oleh rakyat.

Pengaruh kuat Pas di Kedah terbukti apabila merampas negeri ini dalam PRU-12 pada 2008. Selepas BN menang semula di Kedah dalam PRU-13 dan Datuk Seri dilantik sebagai Menteri Besar, apakah usaha dan program untuk meningkatkan semula keyakinan rakyat kepada BN?

MUKHRIZ: Antaranya, Program Mesra Rakyat walaupun program kerajaan negeri, saya fikir rakyat dapat lihat kepimpinan yang turun padang itu bergerak bersama kepimpinan bahagian seperti di Pendang baru-baru ini. Secara tidak langsung rakyat dapat lihat kesan positif yang boleh dikaitkan dengan UMNO dan BN.

Satu lagi contoh adalah apabila kita bina lebih banyak rumah kos rendah, rakyat dapat lihat – soal perumahan rakyat sebelum ini tidak diberi penekanan oleh kerajaan negeri terdahulu dan tidak banyak rumah mampu milik dibina pada penggal lepas, walhal bagi kami itu nombor satu. Setakat ini hampir 20,000 rumah sedang dan akan dibina. Momentum itu akan diteruskan.

Rakyat dapat bezakan dua pentadbiran ini walaupun sekarang masih kerajaan Kedah tetapi logo dahulu hijau, sekarang merah.

Dengan usaha-usaha yang dibuat ini, apakah Pas kini masih mempunyai pengaruh yang kuat di Kedah atau sudah semakin berkurangan? Apakah indikator yang menunjukkan tahap pengaruh Pas di Kedah?

MUKHRIZ: Saya sebenarnya lihat Pas bermasalah. Ini satu hikmah di sebalik sepenggal di bawah pentadbiran Pas dahulu. Sebelum ini sebagai pembangkang kerja mereka (Pas) hanya bangkang dan mereka tidak perlu buktikan mereka lebih baik, mereka cuma perlu timbul rasa sangsi terhadap BN untuk yakinkan rakyat.

Hikmahnya, kerajaan negeri di bawah Pas telah buktikan bahawa mereka tidak ada pengalaman atau keupayaan, cakap senang nak buat susah.

Jadi bila kembali kepada keadaan asal dengan menjadi pembangkang semula, mereka sekadar nak bangkang saja persoalan timbul sedangkan waktu mentadbir dahulu pun mereka tidak boleh buat. Rakyat dapat menilai prestasi kerja mereka ketika mentabdir dahulu.

Yang ada sekarang isu hutang Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil, itu tanggungan kewangan yang terpaksa kita tanggung. Bayangkan jika ada RM56 juta, berapa banyak rumah kos rendah yang boleh kita bina, tetapi itu legasi Pas yang terpaksa kita terima.

Dari segi itu kita fikir mereka ada masalah besar dan saya tidak perlu menjawab apa yang mereka bangkitkan kerana penilaian itu dibuat oleh rakyat sendiri.

Bercakap pasal pemilihan UMNO. Dalam pemilihan UMNO pada 2013, Datuk Seri membuat kejutan apabila hampir berjaya memenangi satu daripada tiga jawatan Naib Presiden tetapi hanya tewas dengan sembilan undi. Apakah Datuk Seri masih mahu bertanding jawatan sama dalam pemilihan parti akan datang?

MUKHRIZ: Ikhlas saya katakan bahawa pertimbangan saya adakah UMNO dan BN cukup kuat hadapi PRU-14. Kita tengok apa yang berlaku dalam BN. Itu semua jadi pertimbangan saya dan saya tidak melihat sangat ke mana saya hendak pergi dalam parti.

Itu semua akan timbul apabila keadaan UMNO menimbulkan suasana itu dan biasanya dekat pemilihan, walaupun saya lihat sekarang sudah ada orang bercakap-cakap mengenai.

Saya rasa belum tiba masa lagi... kalau tertumpu sangat kepada pemilihan parti, rakyat tidak seronok dan jauh hati dengan kita.

Ada cakap-cakap di Kedah mengatakan Datuk Seri kurang beri komitmen di Kedah kerana banyak berada di luar negeri dan negara. Apa pandangan Datuk Seri tentang perkara ini?

MUKHRIZ: Saya lihat itu tidak benar. Bila perkara itu dibangkitkan saya tengok balik rekod perjalanan saya ke luar negara termasuk yang rasmi untuk tarik pelaburan pun tidak banyak. Kemudian cuti pun cukup-cukup saja yang dibenarkan.

Saya lebih kerap di negeri sebab bermastautin di sini malah urusan rasmi di Kuala Lumpur pun banyak tetapi saya selalu juga wakilkan kepada Exco ke sana.

Namun apa yang lebih penting ialah prestasi kerja yang saya lakukan memberi manfaat kepada negeri atau tidak. Pada zaman sekarang walau di mana saja kita berada, kita boleh berhubung 24 jam kalau timbul perkara yang memerlukan perhatian untuk disegerakan. Setakat ini tidak ada masalah jika saya hendak dihubungi.

Saya selalu pastikan saya tumpukan perhatian kepada Kedah dan tidak benar sangkaan pihak tertentu bahawa saya kerap berada di luar negara. Saya tidak pasti dari mana datangnya cerita itu.

Konvensyen UMNO Kedah yang diadakan 14 dan 15 Mac ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, apakah fokus utama konvensyen tersebut?

MUKHRIZ: Konvensyen ini penting. Kita nak sentuh beberapa topik ekonomi, sosial dan politk di peringkat negeri. Ini juga peluang terbaik untuk semua ahli UMNO berhimpun, berbahas dan berbincang tentang topik tersebut. Saya menjemput semua pimpinan di peringkat bahagian termasuk sayap parti dan juga pengerusi di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Saya harap kita dapat kemukakan banyak usul yang akan membantu persiapan PRU-14 daripada semua bahagian kerana fokus kita ialah bagaimana hendak perkuatkan parti. - Utusan Malaysia Rencana 8 Mac 2015

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments