kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Status banduan

SETAKAT ini Datuk Sri Anwar Ibrahim telah mula menjalani hukuman penjara lima tahun setelah sabit kesalahan meliwat atau dalam bahasa Perkara 377(b) Kanun Kesiksaan (Penal Code) melakukan persetubuhan di luar tabii. Seksyen ini terpakai dan berkuat kuasa semenjak tahun 1898 di Negeri-negeri Tanah Melayu (Malay States). Nas yang sama juga terpakai di England, Amerika Syarikat, India, beberapa negara Afrika yang ditadbir urus di bawah Common Law.

Keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan (mahkamah tertinggi di negara ini) sebulat suara mendapati Anwar melakukan persetubuhan di luar tabii. Setelah berada di dalam penjara, penasihatnya yang menyebelahi beliau mengumumkan bahawa lantaran suatu rayuan pengampunan telah disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong maka hak keahlian Parlimennya masih berkuat kuasa, justeru – menurut mereka lagi – Anwar berhak hadir dalam sidang Dewan Rakyat, 9 Mac ini (esok). Pendapat ini salah dan bahaya besar kepada kedaulatan undang-undang dan kehakiman negara.

Penasihat Anwar berpendapat dengan mengemukakan dokumen yang didakwanya bersifat rayuan kepada Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kuat kuasa perintah dan hukuman Mahkamah Persekutuan itu berada dalam keadaan tergantung. Kononnya Anwar boleh hadir di Parlimen sebagai Ahli Dewan Rakyat. Jika ini dibiarkan bukan sahaja keputusan Mahkamah Persekutuan disia-siakan, peranan dan kuasa diraja juga turut disalah guna.

Beberapa pihak daripada pimpinan kerajaan juga mula mewarnai situasi ini dengan beberapa pandangan yang juga tidak mengukuhkan kedaulatan undang-undang, seolah-olah penghakiman Mahkamah Persekutuan itu boleh digantung tanpa tali semata-mata atas dakwaan bahawa pihak diraja kononnya ada kuasa berbuat sedemikian.

Sesuatu yang sudah terang dan jelas kini – cuba dikaburkan, seolah-olah sistem perundangan dan kehakiman di negara ini sudah hilang punca.

Agar pihak-pihak berkepentingan tidak melulu terus, amat wajar dua peruntukan Perlembagaan Persekutuan diteliti dan difahami. Pertama, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyentuh kehilangan kelayakan menjadi Ahli Parlimen seperti berikut:

48(1)(e) …seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu majlis Parlimen jika: (e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan…dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak dapat pengampunan bebas.

Di bawah Perkara 48(3) pula bahasanya ialah:

Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan (d) atau perenggan (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan, jika tidak dibatalkan sedemikian, hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun yang bermula daripada tarikh penyata yang disebut dalam perenggan (d) tersebut dikehendaki diserahkan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, daripada tarikh orang yang disabitkan sebagaimana yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dilepaskan daripada jagaan atau daripada tarikh denda yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dikenakan ke atas orang itu dan seseorang tidaklah boleh dihilangkan kelayakannya di bawah perenggan (f) Fasal (1) semata-mata oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum dia menjadi warganegara.

Pemerhatian dan penelitian tentang Per. 48(1)(e) ialah:

- Banduan telah disabitkan satu kesalahan oleh sesuatu mahkamah Persekutuan;

- Banduan dihukum pemenjaraan lima tahun (lebih dua tahun daripada syarat tempoh minimum di bawah Per. 48(1)(e).

- Banduan tidak dapat pengampunan bebas.

Pemerhatian dan penelitian kedua tentang Per. 48(3) pula ialah:

- Kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen di bawah Fasal 1(e) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

- Tetapi jika kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen di bawah Fasal 1(e) itu tidak dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kehilangan kelayakan sedemikian berterusan selama lima tahun.

- Perenggan (a), (b), (c), (d) dan (f) di bawah Per. 48(1) tiada kaitan dengan kes liwat Anwar. Yang berkaitan hanya dengan perenggan (e).

Sekiranya benar bahawa suatu rayuan bertulis telah dikemukakan oleh Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong perbuatan itu tidak mengubah atau menukar status sedia ada sehingga boleh menganggap Anwar tiba-tiba layak menghadiri sidang Parlimen jika Yang di-Pertuan Agong membatalkan kehilangan kelayakan itu.

Yang di-Pertuan Agong memang boleh membatalkan kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen serta mengampunkannya sebagai peliwat atau atas kesalahan melakukan persetubuhan di luar tabii di bawah seksyen 377(b) Kanun Kesiksaan. Tetapi baginda hanya boleh membatalkan kehilangan kelayakan itu melalui prosedur yang lengkap di sisi undang-undang negara.

Anwar tidak boleh dibebaskan sekalipun untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat dengan hanya mengutus surat minta ampun. Ayat boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa yang ada dan diberi oleh Perlembagaan, namun ia tidak boleh dilakukan oleh baginda secara sewenang-wenang mengikut budi bicara baginda. Walaupun peranan mengampun adalah hak Yang di-Pertuan Agong namun baginda tidak boleh bertindak sendirian kecuali setelah menerima nasihat daripada Peguam Negara.

Kehendak Per. 42(11) Perlembagaan pula mewajibkan pematuhan tentang penubuhan dan operasi Jemaah Pengampunan yang ia hendaklah dilaksanakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan disertai antara lain oleh Peguam Negara dan, dalam kes ini, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan. Sesuatu Jemaah Pengampunan itu hendaklah menerima apa-apa nasihat atau pandangan bertulis Peguam Negara.

Belum pernah berlaku atau dilakukan sesuatu pengampunan oleh Raja Berperlembagaan dalam tempoh yang kurang daripada dua tahun selepas jatuh hukum oleh sesuatu mahkamah. Dalam kes Anwar, beliau atau penasihatnya mahukan proses itu dijadualkan dalam tempoh hanya beberapa minggu selepas menjalani hukuman pemenjaraan.

Perundangan negara serta sistem yang terasas kepada Perlembagaan dan undang-undang di bawahnya menegakkan kedaulatan dan keteguhan negara dan keutuhan rakyat Malaysia sendiri. Mencabul ketentuan itu adalah bersifat menceroboh keadilan dan kenegaraan. - Utusan Malaysia Rencana 8 Mac 2015

Tags: akta
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments