kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berbaik sangka demi keharmonian bersama

Titah Yang di-Pertuan 
Agong, Tuanku Abdul Ha­lim Mu’adzam Shah pada 
peras­mian mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat. -

Bismillahirrahmanir­rahim, Alhamdulillah, Be­­ta memanjatkan kesyu­kuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan lim­pah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ke-13.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sukacita Beta mengajak Ahli-Ahli Yang Berhormat menjadikan penggal Parlimen ini sebagai waktu terbaik untuk membuka lembaran baru, dengan niat dan tekad yang positif, setelah negara mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan di sepanjang tahun 2014. Beta berharap segala ujian yang ditempuhi lebih menguatkan Malaysia sebagai satu negara yang berdaulat demi masa depan yang lebih sejahtera.



KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan titah ucapan pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari mulai hari ini hingga 9 April diikuti sidang Dewan Negara pada 13 hingga 28 April.--foto BERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

Pada hemat Beta, kerajaan telah melakukan yang terbaik sepanjang tahun 2014 dalam aspek pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara. Beta dapat memerhatikan perubahan-perubahan positif hasil daripada Dasar Transformasi Nasional. Dasar tersebut merangkumi agenda besar transformasi negara, antaranya Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP yang telah dilaksanakan secara konsisten di bawah kepemimpinan Perdana Menteri di mana negara terus makmur dan dihormati di arena antarabangsa.

Negara turut diuji dengan beberapa peristiwa yang tidak diduga seperti tragedi pesawat MH370 dan pesawat MH17 serta bencana banjir besar luar biasa di beberapa negeri. Beta dan Raja Permaisuri Agong sama berduka dan berdoa supaya ahli keluarga mangsa tragedi pesawat tersebut mendapat ketenang­an dan memperoleh penyelesaian yang terbaik. Di samping itu, Beta dan Raja Permaisuri Agong juga bersimpati dan berdoa agar mangsa bencana banjir terus tabah menghadapi ujian ini.

Beta amat berbangga dan meng­ucapkan penghargaan kepada pegawai-pegawai kerajaan, anggota pasukan keselamatan dan semua pihak daripada pelbagai kaum yang merangkumi badan bukan kerajaan, badan korporat, golongan belia, wanita mahupun individu yang telah menunjukkan semangat kesukarelawanan dan menyumbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana tersebut. Berbekalkan semangat waja dan jati diri tinggi serta disokong oleh asas-asas ekonomi yang kukuh, rakyat dan negara ini mampu bangkit untuk membina masa hadapan yang lestari.

Beta amat yakin bahawa segala kesulitan yang dihadapi ini, akan ada rahmat yang menanti, insya-Allah. Mengambil pengajaran daripada bencana ini juga, Beta ingin mengingatkan bahawa bencana alam yang semakin ketara mutakhir ini bukan sahaja disebabkan perubahan iklim semata-mata, malah berpunca daripada ketamakan manusia dalam mengeksploitasi alam semula jadi. Oleh itu Beta menyeru semua pihak supaya sentiasa menyeimbangkan antara keperluan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

Beta juga berharap proses bantuan dan pemulihan semula semula infrastruktur di kawasan-kawasan yang terlibat dengan bencana banjir besar ini dapat dilaksanakan dengan kadar seberapa segera. Ini termasuklah pembinaan rumah-rumah kekal dan pembaikan rumah-rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat bencana tersebut.


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari mulai semalam hingga 9 April diikuti sidang Dewan Negara dari 13 hingga 28 April. – BERNAMA

Inisiatif kerajaan Beta untuk membina rumah-rumah kekal dalam tempoh masa yang singkat dengan menggunakan reka bentuk yang seragam amat dialu-alukan tatkala mereka yang terlibat amat memerlukan kediaman yang baharu untuk meneruskan kehidupan.

Justeru, Beta ingin melihat semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan-kerajaan negeri bersama-sama berganding bahu membantu proses pemulihan dan pembangun­an semula rumah-rumah mangsa terlibat. Selain itu, Beta menyeru persiapan yang rapi dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri serta semua pihak termasuk di peringkat akar umbi agar sentiasa bersiap siaga dalam pengurusan bencana pada masa depan supaya kita dapat bersama-sama menghadapi apa jua musibah yang mendatang kelak dengan lebih berkesan.

Kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Beta ucapkan tahniah kerana sekali lagi menca­tatkan sejarah yang begitu bermakna dengan pemilihan Malaysia sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tempoh 2015 hingga 2016 dan pelantikan sebagai Pengerusi ASEAN 2015.

Ini jelas memperlihatkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap ketokoh­an pemimpin negara di persada antarabangsa. Sesungguhnya pencapaian ini adalah kejayaan yang amat besar yang seharusnya menjadi kebanggaan rakyat lebih-lebih lagi ia dapat meningkatkan martabat negara ke tahap yang lebih tinggi.

Beta menyambut baik usaha-usaha berterusan memperkukuh kawalan keselamatan dan ketente­raman awam khususnya mena­ngani ancaman pengganas di Sabah, dan membendung penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat seperti kegiatan militan Islamic State.

Lanjutan daripada pembentang­an Kertas Putih berhubung ancam­an militan, kerajaan juga bercadang mewujudkan undang-undang berhubung antikeganasan.

Beta menyeru agar rakyat berwaspada de­ngan propaganda golongan ini, dan mengawasi ahli keluarga ma­sing-masing supaya tidak terpedaya dengan dakyah menyalahgunakan konsep jihad atas nama agama. Sama-samalah kita menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ekonomi negara masih berkembang meskipun negara sedang berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar seperti kejatuhan harga minyak mentah dan komoditi serta turun-naik nilai mata wang.

Ini disebabkan kerajaan Beta telah melaksanakan strategi dan langkah-langkah yang jelas bagi memastikan asas ekonomi dan kewangan negara terus kukuh serta berdaya tahan agar pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat terus terjamin. Beta mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri di atas langkah proaktif untuk mena­ngani cabaran ini de­ngan menjajar semula dasar-dasar ekonomi dan melakukan konsolidasi fiskal.

Dalam hal ini, walaupun hasil Kerajaan akan berkurangan, namun pembangunan ekonomi kekal seimbang, inklusif dan mampan. Perancangan pembangunan untuk kebajikan rakyat tidak dipinggirkan, bahkan ia akan diteruskan khususnya dalam memastikan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Oleh itu, Beta mengajak semua rakyat agar bersatu, yakin dan positif pada tempoh yang mencabar ini agar segala yang dirancang dan diikhtiarkan akan terlaksana jua dengan izin Allah SWT.

Beta juga yakin pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membantu memperkukuhkan kewangan negara. Oleh itu, Beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini seperti yang dilakukan oleh rakyat di banyak negara lain yang telah melaksanakan GST, dan seterusnya dapat menikmati faedah-faedah­nya dalam jangka panjang.

Dalam pada itu, Beta menyeru agar kerajaan bersama rakyat melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga yang boleh membebankan rakyat kelak.

STRATEGI PENGUKUHAN 
EKONOMI

Tahun ini berakhirnya Ranca­ngan Malaysia Ke-10, dan bagi memastikan kesinambungan pembangunan sosioekonomi negara, kerajaan Beta akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan yang mulia ini. Penggubalan Rancangan Malaysia Ke-11 adalah lebih mencabar kerana ia juga perlu memberi perhatian kepada usaha-usaha mitigasi dan pemulihan pasca banjir luar biasa, selain menangani cabaran global.

Beta berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat membahaskannya secara jujur dan konstruktif demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Semua pihak hendaklah menumpukan usaha yang lebih bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara, memandangkan kita hanya mempunyai tempoh lima tahun lagi untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Selaras dengan strategi pe­ngu­kuh­an ekonomi dan daya saing ne­gara, usaha-usaha untuk me­ningkatkan pelaburan dan mengu­kuhkan perdagangan mesti dipergiatkan, terutamanya de­ngan kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN.

Selain itu, penubuhan Majlis Ek­s­port Negara, akan memperkukuh­kan rantaian eksport produk, logistik dan pengeluaran bagi me­­lonjakkan eksport negara. Di sam­ping kerajaan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif, rakyat juga perlu memainkan peranan dengan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara bagi menambat hati pelabur.

Dalam sektor pertanian pula, Beta berharap pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara terus dimantapkan dengan usaha-usaha baharu yang menekankan kepada teknologi tinggi bagi menambah pengeluar­an, menghasilkan produk-produk baharu bernilai tambah tinggi serta berupaya memenuhi permintaan yang semakin meningkat termasuk dari luar negara.

Beta juga sukacita dengan kejayaan kerajaan mencapai ke­sepakatan dengan negara-negara strategik untuk menstabilkan harga getah sebagai strategi mengatasi masalah kejatuhan harga komoditi tersebut. Beta berharap kerjasama seperti ini dapat dipertingkatkan bagi menstabilkan harga komoditi lain.

Pada masa yang sama kerajaan Beta akan sentiasa membantu pekebun-pekebun kecil supaya pendapatan mereka tidak terjejas melalui pemberian bantuan insentif serta akan terus memperkasakan dan meningkatkan daya saing industri sawit dan getah.

Sektor pelancongan dan industri kreatif adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan negara. Oleh itu Beta menyeru kerajaan agar lebih agresif memperkenalkan produk-produk pelancongan baharu dan pada masa yang sama dapat menonjolkan kepelbagaian kebudayaan dan kesenian negara yang mampu menarik lebih ramai pelancong terutama dari luar negara.

Pada masa yang sama, rakyat juga mempunyai peranan dalam mewujudkan persekitaran yang bersih dan suasana yang mesra pelancong di samping mempromosi tempat-tempat menarik melalui pelbagai saluran media termasuk media sosial.

PENAMBAHBAIKAN PENDIDIKAN DAN PERKHIDMATAN AWAM

Kerajaan Beta akan sentiasa mendapat maklum balas konstruktif daripada semua pihak susulan pelaksanaan program-program di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 dan pada masa yang sama akan te­rus melaksanakan penambahbaik­an ke atas program-program tersebut. Selain itu, inisiatif kerajaan menekankan bidang pendidikan vokasional dan teknikal telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Beta juga menyambut baik pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di peringkat Pengajian Tinggi yang memberi tumpuan melahirkan graduan berilmu, bersahsiah mulia, memiliki kemahiran keusahawanan dan memenuhi kehendak pasaran kerja.

Selain itu, bagi menggalakkan rak­yat Malaysia yang berdaya cipta dan berinovasi sama ada dalam kalang­an usahawan, komuniti mahupun individu, kerajaan Beta sedang dan akan terus memperkukuh jaringan inovasi sosial berasaskan sains, teknologi dan inovasi.

Kerajaan Beta terus komited­ ­ter­­­h­­a­­dap pengukuhan dan pe­nyerlah­an potensi belia untuk membuka peluang kepada gene­rasi belia mene­rajui kepemimpinan pada usia muda dan bersama-sama mencorak­kan masa depan ke arah negara lebih maju. Golongan belia hendaklah bangkit untuk menyahut cabaran ini dengan bersama-sama menjayakan Dasar Belia Malaysia yang diberi nafas baharu, di sam­ping berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan pembangunan jati diri bagi menghadapi persekitaran dunia yang semakin mencabar.

Sesungguhnya Perkhidmatan Awam adalah salah satu tonggak kepada pembangunan negara. Beta berbangga transformasi Perkhidmatan Awam telah mula menunjukkan kejayaan ke arah meningkatkan prestasi dan integriti serta merakyatkan Perkhidmatan Awam.

Ini antara lain, terbukti melalui pencapaian Malaysia yang berjaya menduduki tempat ke-18 pada tahun 2014 berbanding kedudukan ke-20 pada tahun 2013 dalam indeks Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia. Tidak mustahil kedudukan ini boleh ditingkatkan lagi agar setanding dengan negara-negara maju pada masa hadapan. Oleh itu, Beta menyeru agensi-agensi kerajaan supaya sentiasa kreatif dan inovatif mencari jalan untuk me­ningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Negara telah membuktikan ke­sungguhan dalam inisiatif-inisiatif pencegahan rasuah dengan pencapaian memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2014. Semoga indeks ini akan terus meningkat di kedudukan yang le­bih baik pada masa hadapan mela­lui komitmen semua pihak bersama-sama kerajaan memerangi rasuah secara menyeluruh agar perbuatan terkutuk ini dapat dibanteras. Ingatlah, rezeki yang halal itu akan melahirkan generasi yang mulia.

Beta bersyukur usaha-usaha meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda penting kerajaan agar kemakmuran negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat dengan saksama. Oleh itu, kerajaan akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk berimpak tinggi di bandar yang mampu menjana aktiviti dan pertumbuhan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan serta meningkatkan hasil kerajaan yang kemudiannya di­salurkan untuk pembangunan luar bandar.

Tumpuan akan terus diberikan kepada pembangunan luar bandar dengan melaksanakan projek-projek kemudahan asas secara meluas dan inklusif terutamanya di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk perkampungan Orang Asli. Selain itu, pelaksanaan program-program transformasi luar bandar akan diteruskan.

Kesihatan amat penting untuk kehidupan bahagia dan kesejahte­raan ekonomi. Justeru, kerajaan Beta sedang berusaha melaksanakan Transformasi Sistem Kesihatan Negara untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan agar lestari dan lebih responsif terhadap keperluan kesihatan rakyat. Kerajaan Beta juga akan memastikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dapat menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan swasta pada caj yang berpatutan. Per­khidmatan penjagaan dan fasiliti kesihatan akan dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan rakyat di bandar dan luar. Pada masa sama, Beta menyeru rakyat terus mening­katkan amalan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan persekitaran dalam membendung kes-kes pe­nyakit berjangkit atau tidak berjangkit.

Kerajaan Beta akan meneruskan usaha-usaha untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan pe­ngangkutan awam, memperkasakan industri bekalan elektrik serta me­ningkatkan kecekapan perkhidmat­an bekalan air di seluruh dunia.

Menyedari keperluan perumah­an adalah isu yang berbangkit secara berterusan berikutan penambahan penduduk, kerajaan Beta sentiasa berusaha mencari meka­nisme terbaik bagi memenuhi ke­perluan tersebut terutamanya untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Ini termasuk menyediakan perumahan dengan harga berpatutan serta memudahkan golongan sasar mendapat pembiayaan.

Selain isu perumahan, bagi meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan turut memberi perhatian kepada pelaksanaan gaji minimum. Beta berharap pihak majikan sektor swasta dapat mencari pendekatan yang terbaik dengan pihak pekerja untuk melaksanakan gaji minimum secara berkesan demi kebaikan bersama.

Beta berpuas hati program kebajikan produktif akan terus ditambah baik bagi membantu penerima bantuan lebih berdikari. Berkaitan dengan ini juga, dasar dan undang-undang sedia ada mengenai institusi keluarga dan kanak-kanak akan diperkukuhkan.

Khusus bagi golongan wanita, Beta berharap usaha yang lebih bersungguh-sungguh dilaksanakan untuk menyediakan sistem sokongan bagi membantu wanita mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga yang merupakan antara cabaran sosial utama hari ini. Beta juga menyeru agar kerajaan mempergiatkan lagi program-program untuk memperkasakan peranan wanita terutama dalam bidang ekonomi.

Beta juga berterima kasih atas keprihatinan kerajaan yang sentiasa memberi keutamaan kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya untuk mengoptimumkan potensi diri dalam program-program pembangunan negara bagi memastikan kepentingan, kesejahteraan dan kebajikan mereka terpelihara.

Menjunjung Perlembagaan

Sesebuah negara majmuk se­perti Malaysia amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara rakyatnya yang pelbagai agama, kaum dan budaya. Beta yakin setiap rakyat cinta kepada perpaduan dan keamanan, namun terdapat segelintir pihak yang cuba menggugat perpaduan dengan mengadu-domba dan menyebarkan fitnah dalam kalangan masyarakat termasuk di media sosial.

Oleh itu, Beta ingin menasihatkan golongan ini supaya menghentikan terus perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak terbabit.

Beta ingin menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoalkan manakala agama-agama lain bebas diamalkan. Perbezaan pandangan dalam isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa dan tidak wajar dipolemikkan.

Konsep kebebasan bersuara juga hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat. Selain itu, sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kita sentiasa berpegang kepada prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Beta menyeru agar semua pihak faham bahawa sistem pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang. Percayalah, tidak ada yang lebih baik daripada bumi bertuah ini. Oleh itu, sayangi tanah tumpah darah ini, hormati dan berbaik sangkalah antara kita, demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Malaysia, yang mengamalkan pendekatan wasatiyyah hanyalah sebuah negara kecil dalam peta dunia tetapi namanya gah setan­ding negara-negara lain di dunia ini. Tambah membanggakan apabila Perdana Menteri telah memainkan peranan dalam pertubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa baru-baru ini. Ia bagi mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan syariat Islam berdasarkan matlamat Maqasid Syariah yang bertujuan memelihara nyawa, akal, harta dan keturunan.

Seterusnya, paling bertuah, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat menikmati hidup dalam suasana aman damai. Semua ini hanya dapat dikekalkan jika setiap rakyat bersikap hormat-menghormati dan saling bekerjasama untuk memastikan negara terus stabil dan harmoni. Oleh itu, Beta menyeru semua Ahli Yang Berhormat agar sentiasa menunjukkan teladan terbaik kepada rakyat dalam memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Hayatilah titah Beta ini dan berbahaslah secara berhemah dan tertib di Dewan yang mulia ini.

Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang telah menyumbang ke arah keamanan, pemba­ngunan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat

Akhir titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga negara yang tercinta ini akan terus maju dan dilimpahi rahmat yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Sekian, Wabilahi Taufik Walhi­dayah, Wassalammualaikum Wa­rah­­­matullahi Wabarakaatuh.

Tags: agong, parlimen
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments