Kehakiman dihina, apa istimewa pembangkang?
DI atas kertas, undang-undang Malaysia dalam banyak perkara diakui antara terbaik dan menyeluruh. Ini termasuk dalam hal berkaitan perlindungan kepada mahkamah daripada ditohmah secara sewenang-wenangnya.
Malah, perihal hakim juga dilarang daripada disentuh secara terbuka pada persidangan Dewan Rakyat. Imuniti Ahli Parlimen untuk bercakap apa sahaja dikecualikan daripada perkara ini melainkan terdapat usul khas.
Namun realitinya, seperti mana dalam banyak hal, aspek pelaksanaan undang-undang sering menjadi tanda tanya kerana adakalanya tinggal di atas kertas. Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Perkara 36 (8) menyebut dengan jelas larangan ini yang disandarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 127 mengenai sekatan perbincangan di dalam Parlimen tentang kelakuan hakim.
Sesi perbahasan Sidang Dewan Rakyat yang bermula Selasa lalu menyaksikan institusi kehakiman dilemparkan pelbagai tuduhan terutama yang paling berat oleh Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).
Nurul Izzah berpeluang berucap, menuduh hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan kes rayuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dibeli oleh syaitan hanya kerana mendapati bapanya bersalah.
“Dalam tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik, hakim-hakim menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman.
“Mereka menjual diri mereka kepada syaitan, memperdagangkan nurani demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan,” kata Nurul Izzah yang menjelaskan ucapannya itu seperti apa dinyatakan Anwar.
Tuduhan sama ada oleh Nurul Izzah atau Anwar, sememangnya amat serius. Undang-undang jelas melarang tapi mereka tidak mempedulikannya. Biarpun bagi mempertahankan bapa sendiri, namun siapa yang boleh mengatasi undang-undang.
SUASANA di dalam dewan semasa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan bertitah merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen, 9 Mac lalu. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 9 April diikuti sidang Dewan Negara dari 13 hingga 28 April. – BERNAMA |
Sebab itu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dengan lantang menyelar tindak-tanduk pembangkang yang hanya mahu menerima keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka tetapi akan menuduh yang bukan-bukan jika sebaliknya.
“Tak ada siapa yang kentut akan mengaku,” tegas Azalina dan ini membuatkan wakil pembangkang panas telinga terutama Nurul Izzah.
Hakikatnya, apa yang dilakukan pembangkang mempertikaikan keputusan hakim sesedap rasa politik bukan sahaja mengelirukan rakyat bahkan menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman.
Sedangkan segala undang-undang dibuat melarang daripada membicarakan secara terbuka kelakuan hakim adalah bagi melindungi badan kehakiman yang menjadi satu daripada teras pemerintahan negara menerusi doktrin pengasingan kuasa.
Namun di mana tindakannya. Baik Anwar, Nurul Izzah atau wakil pembangkang lain menggunakan peluang perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi mencerca lima hakim terlibat demi menegakkan benang yang basah.
Kenapa penjenayah lain perlu menurut perkara ini tetapi tidak Anwar dan pembangkang? Hakim dicerca dengan pelbagai tohmahan. Apa istimewanya Anwar, anaknya dan sekutu mereka?
Sedangkan seperti kata Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), semua tertakluk kepada prinsip tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.
Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-13 ini akan berlangsung banyak minggu lagi, apakah akan terus dibiarkan wakil-wakil pembangkang terus ‘membelasah’ hakim-hakim terlibat.
Walaupun ada juga wakil pembangkang seperti seorang dua daripada Pas yang tidak pun menyentuh mengenai kes Anwar, namun yang lain tetap mengatakan mahkamah terlibat dalam konspirasi ke atas Ketua Pembangkang itu.
Dalam perkara ini, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang turut berbahas nampaknya lebih cermat dan cerdik. Beliau mengelak daripada beremosi sebaliknya menyentuh badan kehakiman secara umum iaitu soal meningkatkan imej.
Seperti kata Gobind, beliau menyedari Peraturan 36 (8) yang melarang hakim disentuh dalam ucapan pada Sidang Dewan Rakyat kecuali terdapat satu usul mengenainya.
Kepada wakil pembangkang yang lain, contohilah Gobind setidak-tidaknya. Matlamat semua melihat Parlimen Malaysia berada dalam kelas pertama, tetapi jika peraturan dewan tidak dihormati mereka sendiri, apa akan jadi dengan `dewan yang mulia'?
Selain itu, tinggalkanlah isu Anwar, hormatilah institusi kehakiman seperti mana menerima keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka. Berlaku adillah kepada semua termasuk mangsa.
Lagipun, serangan bertubi-tubi kepada hakim tanpa melalui satu usul khas yang ditetapkan peraturan dewan akhirnya membuang masa mereka yang sepatutnya menyuarakan lebih banyak isu rakyat dan masalah di kawasan.
Bukannya selepas Anwar, Anwar dan Anwar. Memang sampai kiamat pun tak akan habis sedangkan amanah pengundi lagi penting.
Hormati penghakiman
MAJLIS Peguam Malaysia sedang diuji akibat kelantangan mereka memperjuangkan sesuatu isu yang mereka fikir layak bagi mereka memperjuangkannya. Namun terdapat ramai yang tidak berpuas hati atas kelantangan ini dan mendakwa Majlis Peguam telah tersasar daripada matlamat penubuhannya. Hal yang demikian bukanlah perkara baharu tetapi telah diperhatikan bahawa Majlis Peguam semakin hari semakin lantang mengenepikan suara akar umbi.
Kritikan kepada Majlis Peguam Malaysia kerana sewenang menuduh penghakiman mahkamah tanpa bukti kukuh |
Saya sendiri telah beberapa kali menegur Majlis Peguam Malaysia atas tindakan yang diambil mereka, khususnya di dalam mengkritik penghakiman mahkamah. Amat jelas Majlis Peguam mengkritik penghakiman mahkamah tanpa sebarang hormat dengan pelbagai dakwaan walaupun diakui mereka ketika itu masih belum membaca penghakiman tersebut. Kepantasan mengkritik sesuatu penghakiman ini menzahirkan sikap berat sebelah Majlis Peguam di dalam menggarap pandangan mereka.
Dalam kes penyalahgunaan kalimah Allah umpamanya Majlis Peguam secara terang-terangan mengambil pendirian mengherdik penghakiman mahkamah dan terkini di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kenyataan yang dibuat amat jelas mendukacitakan. Saya tidak berhasrat menulis isu politik tetapi lebih kepada kedaulatan undang-undang dan juga kebebasan mahkamah.
Ketepikanlah figura yang terlibat di dalam kes tersebut tetapi sesuatu penghakiman itu perlulah dihormati walaupun mungkin ia tidak menyebelahi pihak yang kita sokong.
Dalam masa yang sama, saya berpendirian bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk tidak bersetuju dengan sesuatu penghakiman tetapi ia hendaklah dibuat dengan penuh berhati-hati dan pilihan perkataannya hendaklah lebih berhemah. Menuduh mahkamah tanpa bukti yang kukuh adalah tindakan yang amat tidak wajar. Ini adalah kerana mahkamah sendiri tidak dapat mempertahankan diri mereka daripada tohmahan sebegitu.
Pengalaman saya sendiri apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat perisytiharan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1995 tidak berpelembagaan, saya sendiri menegaskan Mahkamah Rayuan tersebut telah khilaf di dalam penghakimannya kerana tidak mengambil kira keputusan mahkamah yang lebih tinggi yang mengikat Mahkamah Rayuan.
Tiada tohmahan dan herdikan dilemparkan kepada hakim yang menulis penghakiman tersebut. Hujahan-hujahan dikemukakan secara ilmiah yang menyokong pandangan saya. Di pengakhirannya pula saya menegaskan tanpa sebarang kekaburan bahawa walaupun tidak bersetuju dengan penghakiman tersebut saya mengajak pembaca menghormati penghakiman itu kerana ia dikeluarkan oleh sebuah mahkamah yang sah.
Dalam isu berkaitan agama Islam pula amat jelas Majlis Peguam mengenepikan pandangan umat Islam arus perdana dengan membuat parameter baharu berdasarkan hak asasi manusia dan konvensyen antarabangsa. Walhal saya yakin Majlis Peguam sendiri amat arif konvensyen antarabangsa bukanlah merupakan salah satu daripada sumber perundangan negara.
Majlis Peguam pula sentiasa menggarap sesuatu pandangan bertunjangkan hak asasi manusia walaupun ia bertentangan dengan norma tempatan dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Majlis Peguam masih menjaja ke sana ke mari bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular walaupun perkataan sekular itu sendiri tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Penghakiman di dalam kes Che Omar Che Soh yang didakwa mengisytiharkan Malaysia sebuah negara sekular adalah jauh daripada kebenaran. Malah penghakiman Mahkamah Persekutuan yang terbaharu seperti di dalam kes Lina Joy menukilkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan mencakupi semua aspek kehidupan tidak terhad kepada dogma-dogma atau ritual sahaja.
Desakan G100
Walaupun saya bukan merupakan salah seorang daripada penandatangan G100 yang mendesak Presiden Majlis Peguam menarik balik kenyataan beliau menempelak Mahkamah Persekutuan tetapi saya amat memahami desakan ini kerana saya sendiri sudah sekian lama memberi ingatan kepada Majlis Peguam sebelum ini. Saya amat bersyukur sudah ada golongan lain yang sama-sama mengetengahkan isu ini dan menyokong penuh tindakan ini.
Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat usul yang akan dibentangkan oleh G100 ini pada Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam yang dijadualkan pada 14 Mac ini. Saya menyokong penuh usul ini dan menyarankan peguam-peguam, khususnya peguam Muslim agar menghadiri mesyuarat agung tahunan tersebut dan menyokong usul yang dikemukakan.
Saya mendoakan agar usul ini diterima ataupun jika ia gagal sekurang-kurangnya ia membuka mata kepada semua pihak, khususnya Majlis Peguam agar tidak sewenang-wenang membuat pendirian tanpa mendapat mandat daripada ahli-ahli.
Malah Saya berpendapat usaha ini mestilah diteruskan sehinggalah Majlis Peguam lebih menghormati institusi mahkamah, kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Mereka tidak boleh mengenepikan pandangan peguam-peguam, khususnya peguam Muslim dan Melayu.
APA yang membimbangkan trend peguam Muslim yang masih ramai bersikap acuh tidak acuh serta tidak prihatin dengan apa yang berlaku. Mungkin masih ramai yang hanya memikirkan kocek masing-masing sehingga perkara yang lebih besar dikesampingkan.
Sudah sampai masanya para peguam menzahirkan kedukacitaan terhadap tindakan diambil Majlis Peguam serta memberi ingatan kepada pimpinan baharu yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan Majlis Peguam kelak agar lebih sensitif terhadap umat Islam khususnya dan kebebasan badan kehakiman.
Saya percaya tindakan G100 ini adalah penutup bab permulaan penentangan ahli badan peguam ini dalam pelbagai isu yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan, agama Islam, kebebasan kehakiman dan banyak lagi isu lain.
Bab-bab seterusnya akan lebih menarik, apatah lagi ia akan digapai oleh pelbagai pihak dalam kalangan peguam. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) tidak lagi keseorangan di dalam memperjuangkan isu sebegini.
Majlis Peguam ditubuhkan melalui Akta Profesyen Undang-Undang 1976 dengan diperincikan objektif dan fungsinya. Bertindaklah mengikut akta yang menubuhkan Majlis Peguam tersebut.