kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

KBAT diterapkan berasaskan fakta, logik

KBAT diterapkan secara intensif dalam PT3 2014

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diterapkan secara intensif dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu memberi impak positif kepada perkembangan dan persediaan pelajar menghadapi sesi pembelajaran berikutnya.



DARI kiri, Yap Quan You, Thun Chiean Tien, Kok Shew Juan danG Raveen gembira mendapat keputusan semua A bagi semua mata pelajaran dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Johor Bahru.

Walaupun dianggap amat sukar berbanding soalan yang dibentuk untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini, format PT3 mendorong pelajar meningkatkan usaha menambah ilmu di luar bilik darjah.

Buktinya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Kemaman, Terengganu, Izzah Fatini Dzulkifli, 16, mengakui lebih mudah memahami ilmu disampaikan guru terutama bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sebaik memasuki Tingkatan Empat.

Memperoleh gred B bagi dua mata pelajaran itu pada pentaksiran pusat PT3 tahun lalu, Izzah Fatini berkata, soalan yang dikemukakan benar-benar menguji mindanya melangkaui ilmu dalam buku teks.

“Semua 10 mata pelajaran termasuk lisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris saya dapat A kecuali Sains dan Matematik. Namun, saya tetap syukur dan lega kerana subjek seperti Fizik, misalnya lebih mudah untuk saya disebabkan saya sudah terdedah dengan KBAT ketika PT3 dulu,” katanya.

Ibunya, Nor Faridah Zainal, 42, berkata dia tetap bangga dengan pencapaian anaknya kerana sedar soalan seumpama itu menjadikan Izzah Fatini lebih banyak mengulangkaji di rumah.

“Mengenalinya sejak kecil, dia memang gemar membaca, namun kebelakangan ini saya dapati dia juga kerap buat latihan. Kini, apabila berbual, dia cenderung kongsi idea yang pada saya lebih ke hadapan bagi remaja seusianya,” katanya.

Bagi Wong Shuu Shing, 49, soalan PT3 menjadikan anaknya berfikir secara lebih kritis dan kreatif, bukan sekadar mengulangkaji pelajaran berpandukan buku semata-mata.

“Menurut anak saya (Yap Quan You, 16), soalan PT3 sangat susah, namun mengejutkan juga apabila dia berjaya memperoleh 8A ketika mengambil keputusan.

“Anak mengakui Internet dan persekitaran banyak membantunya menjawab soalan dan bukan bergantung kepada pembelajaran dalam kelas serta buku saja,” katanya.

Wong berkata, tahun ini giliran anak bongsunya pula, Yap Quan Yei, 15, menduduki peperiksaan berkenaan dan dia selalu mengingatkan Quan Yei untuk fokus dalam kelas, banyakkan membaca dan kerap ulangkaji.

“Saya yakin setiap pelajar termasuk anak saya sendiri berupaya berfikir seperti seorang mahasiswa menerusi soalan KBAT yang terkandung dalam PT3 yang secara tidak langsung menjadikan mereka lebih berdaya saing,” katanya.


Berasaskan fakta, logik
Kandungan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pentaksiran pusat di sekolah memberi lebih fleksibiliti buat murid untuk mengemukakan jawapan mengikut pemahaman masing-masing berasaskan fakta dan logik.


Mohammad Najib

Ketua Sektor Pembinaan Ujian Akademik (SPUA) Lembaga Peperiksaan Mohammad Najib Mohd Ali berkata, melalui huraian lanjut dalam jawapan, begitu mudah bagi murid memperoleh markah asalkan ia tidak bertentangan dengan fakta sebenar yang diajar menerusi sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP).

“Hakikatnya masih ramai murid yang takut untuk menjawab soalan KBAT sedangkan inilah peluang mereka tunjukkan keupayaan berfikir menerusi jawapan masing-masing.

“Misalnya, soalan berbentuk pendapat yang bertanyakan sama ada murid bersetuju dengan kenyataan diberikan serta meminta mereka menyertakan alasan atas jawapan itu.

“Ada murid yang tiada keberanian untuk buat keputusan sama ada setuju atau sebaliknya. Akhirnya mereka biarkan saja soalan itu tanpa jawapan atau menjawab ala kadar dalam keadaan tidak yakin biarpun mereka sebenarnya boleh lakukannya dengan lebih baik jika ada keyakinan,” katanya.

Menurut Mohmmad Najib, murid seharusnya lebih bersedia menghadapi soalan KBAT memandangkan ia akan ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Seperti mana dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), sasaran kita adalah supaya 40 hingga 50 peratus soalan dalam setiap pentaksiran akan berbentuk KBAT menjelang 2016 berbanding sekitar 20 peratus ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Kemanusiaan SPUA Lembaga Peperiksaan Mazelan Zamidi berkata, peranan semua pihak, khususnya ibu bapa diperlukan bagi membantu murid memperoleh ilmu daripada pelbagai saluran termasuk Internet untuk meningkatkan daya fikir golongan itu.

“Tempoh murid berada di sekolah dalam sehari cuma 27 peratus, manakala selebihnya bersama ibu bapa. Dalam tempoh bersama ibu bapa, sokongan ilmu sampingan yang diperolehi banyak membantu murid menerima ilmu dengan lebih baik di sekolah,” jelasnya.

Mazelan berkata, tanpa disedari penerapan soalan KBAT dalam pentaksiran juga banyak mempengaruhi elemen kemahiran lain, contohnya komunikasi.

Melalui huraian jawapan yang dipersembahkan, ia sedikit sebanyak membina kemahiran komunikasi murid untuk berdepan dunia luar yang lebih mencabar selepas tamat persekolahan atau ketika menghadiri sesi temu duga tertentu.

“Apabila murid perlu menunjukkan analisis yang dibuat dalam kertas jawapan, mereka sebenarnya sedang melatih kaedah terbaik menterjemahkannya dalam ayat yang paling mudah difahami pemeriksa dan ini juga salah satu medium komunikasi,” jelasnya.

Difahamkan, buku panduan pentaksiran KBAT sudah mula diterbitkan dan dijangka mula diedar ke semua sekolah seluruh negara mulai bulan depan.

Penerbitan buku itu menyediakan garis panduan yang boleh digunakan pihak sekolah, khususnya guru untuk menerapkan elemen KBAT dalam sesi PDP serta bagi penggubalan item pentaksiran.

Tags: hots, pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments