kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

P.Ramlee khazanah negara

Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa, Yusnor merupakan salah seorang anak didik Allahyarham P. Ramlee dalam dunia penulisan skrip satu ketika dulu. Penulis lirik dan komposer yang dilahirkan di Lorong Engku Aman, Geylang Serai, Singapura pada 12 September 1937 ini banyak menceritakan pengalamannya dalam buku-buku seperti Tokoh Muzik, Dendang Temasik dan Muzik Melayu Sejak 1940-an.

Tambah menarik perhatian dalam buku-buku tulisannya itu, anak bongsu daripada tiga beradik ini turut berkongsi pengalamannya sepanjang mengenali P. Ramlee pada penghujung tahun 1950-an di Singapura.

“Saya mengenali P. Ramlee pada 1959 semasa belajar menulis skrip daripada Allahyarham di rumahnya di Cedar Avenue, Singapura. Malah, nama Yusnor Ef ini pula diberi oleh P. Ramlee kerana pada mulanya saya menggunakan nama Mohd. Noor Afandi.

“Tetapi Allahyarham kata nama itu kurang komersial dan beberapa hari selepas itu P. Ramlee suruh saya guna nama Yusnor Ef. Katanya nama samaran yang saya guna itu orang akan ingat sampai bila-bila,” ujarnya.

Mengimbau kembali kisah kali pertama melihat P. Ramlee, ketika itu beliau sedang berlakon filem Bakti di sebatang jalan raya di Singapura.

“Masa itu saya tengah jual kuih, saya terlihat kelibat P. Ramlee sedang berjalan dan menyanyikan lagu Sungguh Malang Nasibku. Dia bersandar di sebatang pokok lalu digigit kerengga. Saya dengar seorang India jerit cut, rupanya orang India itu, L. Krishnan. Bermula dari situ saya terdetik untuk berjumpa dengannya lagi,” jelasnya.

Ketika itu kenalannya, Leftenan Kolonal Saari ialah kawan rapat P. Ramlee dan merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkannya dengan P. Ramlee.

Jelasnya, kali pertama bertemu dengan P. Ramlee hatinya berdebar dan takut menyuarakan hasratnya untuk belajar menulis skrip.

“Namun saya sangat cekal, pertama kali saya sampai di rumah P. Ramlee saya menunggu dia pulang sehingga pukul 12 malam. Selepas dia pulang ke rumah dia ajak saya duduk di meja makan.

“Ketika itu saya luahkan yang saya ingin belajar tulis skrip. Ketika itu saya ada bawa sinopsis cerita saya sendiri berjudul, Sangkar Mas. Masa itu P. Ramlee cakap kalau nak buat novel memang macam yang saya tulis namun kalau skrip kena buat dengan cara yang lain.

“Ketika itu juga P. Ramlee terus melakar babak ke babak, dia tanya saya boleh atau tidak buat seperti apa yang dihasilkannya. Sesudah saya sampai ke rumah pada pukul tiga pagi, saya terus menaip. Keeesokan harinya saya datang dan tunjuk apa yang saya dah tulis.

Tambahnya, lakaran tersebut masih ada dalam simpanannya. Katanya, ilmu yang P. Ramlee curahkan apabila ingin menghasilkan skrip ialah berikan dulu kegembiraan dan keseronokan kepada penonton dan kemudian barulah selitkan apa yang kita ingin sampaikan dalam cerita kita.

Ada beberapa skrip filem yang telah siap dihasilkan oleh Yusnor bersama P. Ramlee antaranya skrip Antara Dua Dunia. Namun skrip itu tidak difilemkan kerana ini adalah untuk proses pembelajaran sahaja. Sejak itu juga kedua-dua insan ini semakin akrab.

“Sepanjang saya kenali beliau, P. Ramlee tidak pernah langsung mengutuk serta mengata orang lain. Walaupun dia seorang yang hebat tetapi kekurangan orang memang tidak pernah dikritik.

“Saya cukup menghormatinya dan sedih apabila dia sudah tiada. Hari dia meninggal, saya ada di Singapura, saya dengar berita melalui radio. Dua minggu sebelum itu dia datang ke rumah saya ketika malam hari raya.

“Dia singgah di rumah saya agak lama, sehingga kini saya masih lagi terngiang-ngiang ayat terakhirnya kepada saya sebelum dia keluar pintu, dia pandang bini saya dan berkata “anggaplah isteri kau ni sebagai kekasih kau, jangan ceraikan dia sehingga dia yang minta,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia dan rakan-rakan semua pergi melawat arwah di Kuala Lumpur dan dalam kapal terbang pulang ke Singapura, Ahmad Daud main wisel dan Yusnor mendapat melodi dan terus menulis lirik lagu Gugurnya Sebutir Bintang khas diciptakan mengenang P. Ramlee.

Dakwah dalam filem

Walaupun ada segelintir yang mengatakan bahawa P. Ramlee tidak mengambil peduli tentang agama Islam, namun dakwaan tersebut disangkal oleh Yusnor.

Jelasnya, P. Ramlee bukanlah seorang insan yang berdakwah secara terang-terangan tetapi secara tidak sedar melalui filem-filemnya sendiri.

“P. Ramlee pernah berpesan membuat filem haruslah daripada idea dan filem. Maksudnya buat sesuatu daripada idea kerana ia datang apabila kita yang mencarinya, selepas dapat idea itu kita rasakan dan baru kita tulis skrip.

“Walaupun filem-filem yang dihasilkan P. Ramlee kebanyakannya komedi, secara tidak sedar isu agama, sosial, bahasa ada dalam filem tersebut. Dalam ketawa ada sesuatu yang dia mahu katakan dan bukan sekadar komedi kosong.

Jelas Yusnor lagi, filem Madu Tiga misalnya yang melontarkan dialog “samalam saya menikah satu lagi pak... alhamdulillah anak jantan tapi ingat sama rasa dan sekata”, ungkapan tersebut walaupun bersifat komedi namun pengajarannya tetap ada.

Filem Semerah Padi juga antara filem yang mengetengahkan isu agama dan sosio budaya Melayu yang cukup kuat. Tiga Abdul sebuah filem hasil penulisan P. Ramlee yang ingin mengutuk bagaimana orang Melayu yang tidak mengutamakan agama berebut harta pusaka.

Tambahnya lagi, Penarik Becha, Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat merupakan antara filem Melayu yang cukup kuat dalam membincangkan tentang isu agama dan budaya Melayu. Filem seumpama ini sepatutnya menjadi sandaran kepada sutradara masa kini agar dapat menghasilkan filem yang bermutu.

Isu agama bukan sahaja dalam filem yang diarahkan oleh P. Ramlee, jelas Yusnor, filem yang dilakonkannya juga seperti Anakku Sazali dan Merana juga mempunyai unsur-unsur tersebut yang datangnya daripada dia.

“Filem Damak, lihat sahaja kepada cara dia berdialog, itu semua ada sesuatu bukan benda kosong. Saya harap orang muda menganggap dia sebagai khazanah yang sangat berharga. Orang Barat buat kajian terhadap dia. Maka dia adalah orang yang hebat,” katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai guru selama beberapa tahun di Singapura.

- RASDAN_UTUSAN@YAHOO.COM Utusan Malaysia Rencana 15 Mac 2015 1:17 AM
Tags: artis, khazanah, legenda
Subscribe

  • The roti seller is my Person of the Year 2013

    TIME magazine should have named Edward Snowden its Person of the Year. I believe he made more headlines than Sir Alex Ferguson, Jennifer Lawrence…

  • Looking back at 2013

    HERE we are again, at the end of another year. 2013 has been an interesting year for law nerds like this writer, so let us look back at some of the…

  • A greener new year

    WITH 2013 coming to a close, many people will be preparing their New Year's resolutions. Many will pledge to lose weight, eat healthier,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments