kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

"Negara komunis" paling berjaya?

BERPELUANG pergi ke Jepun tahun lalu sedikit se­banyak membuka mata saya tentang sikap dan pers­pektif sebenar warga Jepun. Sebelum itu saya sering dikhabarkan tentang sikap berdisiplin dalam kalangan rakyatnya, amanah serta jujur dalam menjalankan tugas selain sikap hormat dan membantu bersungguh-sungguh kepada pelancong yang datang ke negaranya.

Sikap sebagai duta kecil kepada negaranya sendiri sangat menyenangkan ketika saya dan rakan-rakan sesat dan bertanya arah kepada mereka walaupun aksinya lebih kepada "ayam dan itik" kerana kecenderungan mereka terhadap bahasa sendiri. Maka adalah tidak menghairankan banyak rakan saya sering sahaja menyatakan alangkah baiknya jika Jepun adalah sebuah negara Islam.

Ini kerana walaupun penduduknya kebanyakan beragama Shinto dan Buddha namun perlakuan dan amalan hidup mereka begitu berhemah, menghormati dan berbudaya seperti yang Islam terapkan dalam cara hidup yang sepatutnya menjadi teras dalam kehidupan. Namun malangnya orang Islam sendiri sering berbalah, kurang sifat hormat dan terkini dimalukan pula dengan tindakan ganas secara keterlaluan dan di luar batas kemanusiaan melalui tindakan kejam sehingga memenggal kepala secara sesuka hati.

Lebih malang lagi keganasan yang “menghantui” militan Negara Islam (IS) ini lebih tertumpu kepada orang Islam sendiri, yang sepatutnya dikasihi. Entah di mana silapnya perkara sebaliknya berlaku menyebabkan pihak musuh Islam hanya tersenyum dan bertepuk tangan akan kelakuan buruk kita sesama sendiri.

Berbalik tentang Jepun walaupun diangkat sebagai negara termaju di dunia dengan kekayaan melimpah ruah walaupun negara itu sangat kurang hasil buminya, namun kerana disiplin dan cara hidup yang penuh hormat, berintegriti dan berbudaya tinggi melengkapkan lagi kelangsungan mereka sebagai manusia dihormati, tidak kira dimana pun mereka berada.

Sikap mereka ini bukan sahaja menjadi amalan sesama mereka tanpa mengira darjat atau kedudukan malah orang terkaya di Negara Matahari Terbit itu sendiri “segan” untuk menunjukkan kemewahan dan kelebihan yang dimiliki kerana takut disalah erti mahupun dipandang serong.

Ini kerana soal inequality atau ketidaksamarataan adalah isu yang sangat sensitif bagi penduduk negara itu. Ini bersesuaian dengan kedudukan negara itu sebagai negara yang mempunyai kadar ketidaksamarataan paling rendah di dunia. Apatah lagi dengan cukai yang sangat tinggi bagi go­longan kaya, sekitar 45 peratus, maka adalah ti­dak menghairankan ke­­napa negara itu di­ge­­lar sebagai "negara komunis paling berjaya di dunia".

Gelaran ini mungkin pelik kerana bagaimana se­buah negara yang gah antara sistem kapitalis ter­baik dunia diiktiraf "komunis terbaik" pada ma­sa yang sama.

Meleleh

Hakikatnya amat su­k­ar untuk melihat orang be­rada di negara itu “bermain” dengan ka­­pal me­wah serta jet mewah semata-mata ma­hu menunjuk-nun­juk.

Isu ketidaksamara­taan antara golongan kaya dan miskin kini semakin menjadi isu hangat dikebanyakan ne­gara di dunia. Apa­­­tah lagi dengan keupayaan teknologi canggih sekarang se­mua orang mampu me­­lihat bagaimana ra­­kusnya si kaya ber­be­lanja semahu-mahunya menyebabkan ada pihak yang "meleleh air liurnya" kerana pembaziran yang menggila.

Masalah ketidaksamarataan ini jika tidak dikawal mam­pu menjadi barah yang boleh merosakkan ke­harmonian dan keamanan sesebuah negara. Bukan bermaksud tidak perlu ada orang kaya cuma keadilan perlu berlaku pada semua.

Apatah lagi dalam dunia sekarang apabila si kaya atau keluarganya akan senantiasa mengaut kekayaan melampau berikutan kemampuan mereka mengambil peluang demi peluang dengan kemewahan yang dimiliki.Akhirnya si kaya akan bertambah kaya manakala orang biasa dan miskin akan terus terpinggir.

Kita pula akan terus dikerah keringatnya untuk memenuhi kehendak dan tembolok si kaya yang hanya mahu memenuhi nafsu diri dan keluarganya. Budaya sebegini bukanlah sesuatu yang asing kerana di Barat adalah lumrah bagi si kaya berbelanja secara mewah dan menunjuk-nunjuk kekayaan yang ada secara melampau tanpa mengira sensiviti orang biasa.

Tiada siapa boleh mengatakan apa-apa kerana itu hak asasi bagi golongan kaya. Malah dalam dunia moden kini adalah biasa bagi orang kaya dan keluarganya menunjuk pada dunia cara mereka hidup dan berbelanja melalui pelbagai medium seperti Twitter, Instagram dan sebagainya. Pihak-pihak ini dengan lagak masing-masing akan terus dengan gayanya konon mewakili "golongan terpilih", dan melihat keadaan itu Malaysia juga tidak terlepas dengan sikap sebegini.

Namun saya begitu terkesan dengan kisah bekas Presiden dan CEO Japan Airlines, Haruka Nishimatsu, yang sanggup ke tempat kerja dengan menaiki bas, makan bersama pekerja di kafeteria dan gajinya lebih rendah berbanding juruterbang ketika syarikat itu berhadapan krisis beberapa tahun lalu. Begitu juga kisah Presiden Uruguay, Jose Mujica, 78, yang diangkat sebagai Presiden termiskin di dunia. Beliau tinggal di sebuah rumah kecil satu bilik bersama isterinya dan memandu kereta Volkswagen tahun 1978.

Malah dalam lawatan ke Amerika Syarikat, beliau pula berceramah kepada ahli perniagaan negara itu tentang kepentingan pembahagian kekayaan yang lebih adil dan kenapa perlu menaikkan gaji golongan miskin.

Kisah mereka ini membuktikan bahawa masih wujud harapan untuk kita semua hidup lebih adil walaupun mereka berada di puncak kuasa. Bagi mereka, hidup bermaruah lebih tinggi ertinya daripada wang bertimbun tetapi kosong jiwanya.

- HAFIZAHRIL HAMID Utusan Malaysia Rencana 15 Mac 2015 1:17 AM
Tags: komunis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments