kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Cabaran Haron

Awang ingin memulakan ruangan ini dengan terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Dr. Haron Din yang dilantik sebagai Mursyidul Am Pas, baru-baru ini. Beliau adalah ulama dalam Pas yang paling layak menyandang jawatan itu atas ketokohan, keilmuan dan pengaruhnya.

Haron akan berganding dengan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am. Rata-rata ahli Pas menyambut baik pelantikan kedua-duanya kecuali golongan pro-Anwar Ibrahim dalam parti itu. Menjadi harapan ahli-ahli dan penyokong Pas agar Haron dapat membawa pembaharuan di samping membantu Presiden Pas, Hadi Awang menangani kemelut dalaman parti itu. Cabaran yang menanti beliau cukup besar. Pertama, untuk mengembalikan kedudukan ulama khususnya Majlis Syura sebagai badan tertinggi yang sentiasa dipatuhi dan dihormati oleh semua
peringkat dalam Pas.

Apa yang berlaku sekarang, golongan ulama sentiasa diperlekehkan hasil daripada gerakan untuk melemahkan Pas agar sentiasa tunduk kepada aspirasi parti sekutu pakatan pembangkang. Kedua, mempertahankan perjuangan sebenar Pas terutama dalam isu-isu kritikal seperti menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan pelaksanaan hukum hudud oleh Kerajaan Pas Kelantan, yang mahu dihalang oleh DAP.

Ketiga, membantu memastikan Hadi terus dipertahankan sebagai Presiden Pas dalam pemilihan Jun ini. Terdapat usaha secara sistematik untuk menjatuhkan beliau terutama oleh kelompok pro- Anwar, yang nama beberapa pemimpin utama Pas turut dikaitkan.

Riak-riak Haron menerima tentangan sudah bermula. Kenyataan beliau agar Hadi tidak dicabar dalam pemilihan kali ini, dipertikaikan oleh AJK Pas Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa dan beberapa lagi. Maka banyak persoalan berlegar. Berjayakah Haron mengolah semua cabaran utama itu atau bakal kecundang kerana percaturan pro-Anwar sudah berskala besar melibatkan tangan dan khabarnya pembiayaan luar?

Awang juga tertanya, apakah akan berlaku kejutan termasuk kemungkinan Pas meninggalkan pakatan. Ramai yang masih ingat, Haron pernah mengeluarkan kenyataan pada tahun lalu agar Pas mengkaji semula tahaluf siyasi atau muafakat dengan DAP dan PKR. Sejak tahun lalu, Pas makin banyak dihina, diugut dan ditekan oleh sekutu pakatan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah parti itu.

Apa pun, Awang yakin dengan ketegasan Haron yang sentiasa berpegang kepada pendirian untuk tidak memudaratkan kepentingan Islam. Beliau bukan seorang boleh diambil mudah. Masa akan membuktikannya.

Aura Siti, Krisdayanti

Konsert Muzika Nusantara di Istana Budaya, semalam menarik perhatian Awang. Di sebalik isu kontroversi rompak budaya yang kerap dicetuskan oleh pihak tertentu di Indonesia, konsert tersebut menzahirkan hakikat lebih jelas tentang perkongsian budaya serumpun di Nusantara.

Konsert tersebut secara tidak langsung mengiktiraf sebahagian tarian etnik yang memang berasal dari wilayah di Indonesia dan menampilkan Malaysia juga tidak kurang khazanah seni. Awang berharap Konsert
Muzika Nusantara dapat sedikit sebanyak membantu menjernihkan keadaan dan salah tafsiran yang mudah sangat terpercik.

Malaysia tidak pernah teruja untuk menciplak apa lagi merompak budaya negara jiran tetangga. Persembahan muzikal dan orang seni juga boleh menyatukan sebagaimana konsert tersebut. Penampilan Siti Nurhaliza dan Krisdayanti umpama jambatan yang mengikat rakyat keduadua negara. Mereka mempunyai ramai peminat sama ada di Malaysia mahupun Indonesia. Selepas Allahyarham Seniman Agung, P. Ramlee, Siti Nurhaliza menjadi selebriti Malaysia yang begitu popular dan disenangi di Indonesia.

Seperti kata-kata jenaka seorang teman editor Indonesia: "Memang kerap ada bantahan terhadap kerajaan Malaysia tetapi yang pasti bukan kepada Siti.'' Begitulah hebatnya aura Siti Nurhaliza. Dalam sebahagian hal, ketika saluran diplomatik dan orang politik tidak mampu merungkai permasalahan, ikon seperti Siti Nurhaliza dan Krisdayanti antara jalan keluarnya. Lebih-lebih lagi apabila mereka bersatu bukan sahaja dalam persembahan tetapi atas nama serumpun.

Saman terpilih?

Ahli Parlimen Sepang (Pas), Mohamed Hanipa Maidin meminta Perdana Menteri, Najib Tun Razak menarik balik samannya terhadap Harakah Daily atas alasan artikel yang disiarkan itu dipetik sebahagiannya daripada laporan New York Times. Awang tidak sangka sampai begitu reaksi Hanipa. Kenapa beliau seakanakan takut dan gusar. Sebagai seorang peguam yang selalu mewakili Pas, beliau sepatutnya yakin untuk mempertahankan organ media parti itu, bukan bertindak sebaliknya. Nampaknya, Hanipa kena banyak berguru dengan tokoh peguam, Shafee Abdullah.

Pada 26 Februari lalu, Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap Harakahdaily kerana didakwa memfitnah keluarganya dalam laporan bertajuk "Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz."

Ketika membangkitkan hal itu di Dewan Rakyat Khamis lepas, Hanipa menyatakan Najib tidak wajar mengamalkan saman terpilih. Awang geleng kepala dengan kenyataannya itu yang nampak dangkal. Selama ini, sudah puluhan saman oleh para pemimpin pakatan pembangkang ke atas media arus perdana termasuk Utusan Malaysia yang diketahui sebagai tindakan berpilih.

Kebanyakan saman tersebut dibuat ke atas laporan Utusan yang turut memetik laporan akhbar luar negara dan kenyataan tokoh dalam isu-isu tertentu. Parti pembangkang di Malaysia sebenarnya mencatat rekod dunia paling banyak menekan dan menyaman media
berbanding pembangkang di negara lain.

Persoalannya mengapa Hanipa tidak menasihatkan para pemimpin pembangkang agar tidak melakukan saman terpilih ke atas syarikat media lain? Mengapa perlu ada kayu ukur berbeza antara pemimpin kerajaan
dan pemimpin pembangkang. Kepada Hanipa, tolonglah jangan malukan diri sendiri dan Pas dengan kenyataan sebegitu lagi.

Kehebatan Shafee...

Selepas Anwar Ibrahim dipenjarakan setelah didapati bersalah kerana meliwat, sebahagian pemimpin PKR dan DAP terus melepaskan kemarahan kepada Ketua Pendakwa Raya kes itu, Shafee Abdullah.

Ada sahaja kata-kata sinikal, tohmahan malah fitnah dilemparkan kepada beliau bertujuan menjatuhkan reputasinya.

Malah di Dewan Rakyat, jumlah bayaran yang diterimanya juga cuba dicungkil. Apabila jawapan diberikan bahawa Shafee hanya menerima bayaran RM1,000 ramai yang tersentak. Begitu murah sekali.

Malah di peringkat awal dilaporkan Shafee tidak mahukan sebarang bayaran. Awang angkat topi kepada beliau. Walaupun dengan bayaran serendah itu, beliau telah membuktikan kehebatannya dalam kes bersejarah. Inilah yang dicemburui oleh peguam-peguam Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang dalam kalangan peguam.

Terimalah hakikat bahawa Shafee lebih bagus daripada mereka. Kebenaran tetap kebenaran. Strategi mengalihkan perhatian kepada isu dan hal lain yang bukan pokok, tidak akan mencacatkan hakikat dan fakta bahawa Anwar sememangnya bersalah.

Di mana silap nya?

Gejala pelajar sekolah tahfiz berlegar mengutip derma kononnya untuk aktiviti sekolah berkenaan terus berleluasa. Awang selalu bertanyakan kumpulan pelajar tersebut setiap kali mereka menghampiri pelanggan di restoran dan kedai-kedai di sekitar Wangsa Maju, Taman Melawati, Ampang dan Gombak.

Ada yang mengakui tidak selesa berbuat demikian tetapi terpaksa kerana diminta oleh pihak pengurusan tahfiz. Awang kasihan nasib golongan pelajar itu yang bukan sedikit jumlahnya. Pernah juga Awang ekori sampai ke van untuk menemui guru penyelia yang membawa mereka. Dia mengelak untuk berbual dan bergegas begitu sahaja.

Cerita-cerita begini kepada masyarakat kita bukan perkara baharu. Terlalu banyak ia diperkatakan tetapi gejala itu masih tidak dapat dibendung. Di mana silapnya? Sekali lagi isunya adalah kelemahan penguatkuasaan, yang tidak pro aktif dan banyak bertindak secara bermusim.

Itu belum menyentuh kegiatan meminta sedekah kalangan warga asing yang makin menjadi-jadi di negara ini. Pernah juga terlintas persoalan, lenakah penguat kuasa kita? Atau mungkin kita terlalu banyak
bercakap daripada bekerja?

- SHARIL SHARIFF Utusan Malaysia Rencana 15 Mac 2015 1:58 AM
Subscribe

  • We can make CEFR work for us

    A GLOBALLY-RECOGNISED framework does not make English curriculum less Malaysian. I refer to the article, “Adopt a Malaysian…

  • Arguments against use of CEFR flawed

    I REFER to the letter “Adopt a Malaysian framework” (NST, May 28), in which the writer attempts to make a case for rejecting the…

  • Kita kurang guru bahasa Inggeris

    “Desak guru ambil MUET, NUTP minta menteri campur tangan” adalah berdasarkan cadangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments