kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memupuk sifat penyayang dalam masyarakat

Setiap insan mengimpikan keamanan. Kehidupan yang aman tanpa peperangan, penindasan dan kekejaman. Namun, keamanan tidak akan datang jika manusia bersikap khianat, mementingkan diri sendiri dan menzalimi orang lain.

Sebaliknya keamanan datang daripada sifat penyayang dan kasih sayang pada setiap individu, masyarakat dan rakyat keseluruhannya. Mereka membudayakan kehidupan yang saling menghormati, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi dan bertimbang rasa.

Sifat penyayang juga penting kerana ia juga adalah antara sifat Allah, iaitu ar-Rahim. Sifat penyayang Allah tidak ada tolok banding kepada makhluk-Nya kerana selama mana manusia bernyawa, maka sepanjang itulah kasih sayang Allah tidak putus. Ini termasuk nikmat kehidupan seperti kesihatan, limpahan rezeki dan umur yang panjang.

Sifat penyayang tidak boleh diwarisi, tetapi boleh dipupuk dan dibaja dalam jiwa insan sejak kecil. Semua ini harus mengingatkan kita betapa kehidupan manusia harus dibina dan diasaskan atas rasa kasih sayang. Ia adalah sifat sejagat, sangat mulia dan harus menjadi sandaran hidup. Sifat empati beginilah yang menjadi tali yang mengikat nilai keinsanan menjalani kehidupan dengan orang sekeliling kita.

Pupuk masyarakat penyayang

Di Johor, saya sentiasa beriltizam membina masyarakat lebih baik kerana pembangunan negeri bukan hanya mengenai pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi melahirkan masyarakat bermoral, yang sejahtera lingkungannya, sarat dengan ilmu dan Islamik.

Saya yakin kesejahteraan sesebuah masyarakat itu akan dapat dibentuk dengan lebih mudah dan berkesan melalui suasana yang sarat dengan nilai insani dan kekeluargaan, yang asasnya ialah saling mengasihi. Kita melakukannya bukan sahaja kerana ia tuntutan yang baik, tetapi yang lebih penting ia tuntutan Ilahi.

Dalam menterjemah semangat masyarakat penyayang, saya mencadangkan beberapa asas dan prinsip agar konsep masyarakat penyayang dapat diaplikasikan sebaik mungkin.

Pertama, setiap entiti dalam masyarakat bukan sahaja sedar tanggungjawab kepada orang sekeliling, malah sentiasa mencari jalan dan inisiatif untuk terus memberi dengan cara dan kadar terbaik atas kapasiti masing-masing.

Kedua, semangat masyarakat penyayang ini hendaklah bersifat universal. Tidak dikhususkan kepada mereka dari kaum atau agama yang sama dengan kita sahaja. Ia mesti buta diskriminasi dan prejudis.

Ketiga, semangat kesukarelaan dan penyayang tidak semestinya hanya bertumpu kepada perkara bersifat kebajikan. Benar, membantu mangsa bencana itu penting. Benar, memberikan perkhidmatan kepada golongan memerlukan dan sebagainya itu mulia. Namun, adalah juga benar pembanterasan jenayah bersama pihak berwajib, pencarian penyelesaian kepada masalah alam sekitar serta inisiatif pengembangan potensi dan kemahiran diri golongan belia itu semua adalah bahagian daripada kesukarelawanan. Konsep masyarakat penyayang dikembangkan kepada amalan yang lebih terkini, luas dan moden.

Keempat, segala inisiatif kemasyarakatan berasaskan semangat penyayang ini tidak semestinya dilakukan dalam skala yang besar. Sekecil-kecil sumbangan juga berupaya memberi nilai tambah yang besar kepada mereka di sekeliling kita.

Rancakkan aktiviti kemasyarakatan

Dalam banyak segi, negara Barat sentiasa mendahului kita dan ini termasuk sifat kasih sayang dan penyayang. Kebanyakan negara maju khususnya di Barat, kerja kemasyarakatan atau sukarela berkembang menjadi sebahagian budaya hidup mereka. Di Amerika Syarikat, 69 peratus masyarakatnya memperuntukkan 48 jam setahun untuk aktiviti kemasyarakatan.

Lebih menarik, aktivis dan saintis sosial di negara Barat menjangkakan aktiviti kesukarelaan kini menjadi profesion yang semakin diminati. Malah, kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan berpengaruh di negara Barat kini dipimpin oleh mereka yang pernah menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat multinasional. Semua ini menjadi suatu kebangkitan yang menambah bukan sahaja masyarakat, tetapi amalan demokrasi dan pentadbiran kerajaan.

Tidak dinafikan, ada sesetengah perkara dalam masyarakat tidak boleh dan tidak mampu ditangani kerajaan secara bersendirian. Di samping perlu menghadapi isu makro seperti masalah pendidikan, peluang pekerjaan, pembasmian kemiskinan, peningkatan kualiti penjagaan kesihatan dan dasar luar negara, kerajaan juga perlu memikirkan formula membantu kebajikan warga tua tersisih, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya.

Maka, di sinilah pentingnya peranan individu dan masyarakat untuk menjadi rakan kongsi aktif pembangunan dengan berganding bahu menyumbangkan idea, tenaga atau wang atas semangat kemasyarakatan. Yang lebih penting, atas rasa ihsan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan.

Atas dasar ini jugalah, pentadbiran saya tidak teragak-agak menaikkan elaun daripada RM800 kepada RM1,000 mulai tahun ini kepada semua petugas dan penyelia Pusat Pelatih Dalam Komuniti (PDK) yang melatih golongan OKU. Saya berharap dengan kenaikan elaun ini, ia dapat mengupayakan lagi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Sesungguhnya, sifat kasih sayang dan penyayang amat dituntut dalam setiap agama khususnya Islam. Melalui kasih sayang dan penyayang, hubungan manusia akan lebih kukuh dan bahagia kerana ia menyatukan mereka ketika susah dan senang.

Lebih penting, sifat penyayang dan kasih sayang ini akan membantu Malaysia menjadi negara maju secara holistik sejajar cabaran ketujuh Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Khaled Nordin ialah Menteri Besar Johor Berita Harian Kolumnis 13 Mac 2025

Tags: masyarakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments