kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan masuk polis untuk rasuah

Tak berapa lama dulu, media massa ada siar berita kata dekat satu juta orang mohon isi 10,000 jawatan kosong dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Berita itu petik Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Dia kata, 10,000 jawatan itu termasuk 2,000 inspektor di seluruh negara.



Poliswan dan Poliswati

Dia kata lagi, bilangan pemohon yang sangat besar itu jadi bukti kegemaran orang ramai hendak berkhidmat dalam pasukan polis. Baguslah kalau yang minta sertai PDRM tu betul-betul minat nak berkhidmat untuk negara selaras dengan cogan kata polis Sedia Berkhidmat.

Kerja polis ni mulia. Polislah yang duduk di barisan depan dalam menjaga keselamatan negara. Kalau nak mati, merekalah yang paling awal mati. Zaman dulu, polis sangat dihormati dan ditakuti. Sebut sahaja nama polis hatta penyangak, samseng, kawar dan kaki rebus tak empuk pun kecut perut.

Dulu orang yang kena tangkap polis dipandang sangat hina oleh masyarakat sebab bila polis tangkap mesti sabit kesalahan. Masa itu, polis betul-betul amalkan kaedah siasat dan tangkap bukan tangkap kemudian siasat. Pada tahun 1967, Kunta Kinte tumpang rumah seorang mata-mata gelap cawangan siasatan jenayah pangkat sarjan di Sungai Petani, Kedah.

Kerja dia tak kira masa. Siang dan malam sama sahaja. Dia habiskan masa di kedai kopi, kedai todi, stesen bas dan stesen kereta api cari maklumat dan perisikan. Bila cukup bukti baru dia tangkap. Keluarga dia besar. Isteri dia suri rumah. Anak-anak sekolah. Jadi dia ambil orang tumpang rumah dia untuk tambah pendapatan.

Kemudian bila Kunta Kinte jadi pemberita percubaan di BERNAMA di Kuala Lumpur pada tahun 1969, salah satu tugas harian Kunta Kinte adalah buat liputan jenayah. Kunta Kinte akan hadiri sidang akhbar polis dua kali sehari di Jalan Bandar. Masa itu, polis cawangan siasatan jenayah cukup hebat, dihormati orang ramai dan ditakuti penjenayah. Waktu itu penjenayah pun profesional. Kalau culik mereka tak bunuh mangsa. Dapat tebusan mereka lepas. Lain kali boleh culik lagi.

Imej polis buruk

Satu perkara lagi masa itu PDRM lebih berbagai-bagai bangsa daripada sekarang. Kunta Kinte harap faktor bangsa dan kaum dibagi keutamaan balik. Tentulah daripada dekat satu juta pemohon itu ada berbagai-bagai bangsa dan kaum yang layak.

Kita kena faham sikit sejarah. Salah satu sebab kita berjaya patahkan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dan hapuskan kongsi gelap adalah kerana PDRM dianggotai berbagai-bagai bangsa dan kaum. Dengan kepelbagaian bangsa dan kaum, PDRM boleh menyusup masuk ke dalam gerakan komunis, kongsi gelap dan pertubuhan subversif tak kira bangsa atau kaum. Itu cerita PDRM zaman dulu.

Bila Kunta Kinte dilantik anggotai Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan PDRM pada tahun 2004, ceritanya dah lain. Imej polis buruk. Boleh kata semua pihak yang dikaji selidik berpersepsi polis makan rasuah, salah guna kuasa, tak cekap dan tak dedikasi.

Tak payahlah Kunta Kinte cerita panjang berkenaan kerja suruhanjaya itu. Laporan dan perakuannya disiarkan dengan luas oleh media massa pada tahun 2005 dan boleh jadi ada lagi dalam arkib atas talian. Satu lagi, Kunta Kinte harap sangat-sangat yang minat satu juta rakyat Malaysia nak sertai polis adalah atas sebab positif macam nak berkhidmat dan berkorban untuk negara.

Kita tak mahulah sejuta orang mohon sebab mereka menganggur, tak ada kerja tetap atau tahap pelajaran mereka hanya layak masuk polis atau tentera sahaja. Kunta Kinte kena sebut hal ini sebab Kunta Kinte baca dalam media massa kata kadar pengangguran sangat rendah di negara kita.

Ikut Jabatan Perangkaan, purata pengangguran antara tahun 1998 dan 2014 hanya 3.27 peratus. Pada Disember lepas hanya tiga peratus sedang cari kerja. Jadi Kunta Kinte pelik sikit macam mana untuk 10,000 jawatan kosong dalam PDRM bilangan yang minta dekat satu juta. Kalau satu juta orang menganggur atau tak ada kerja tetap, Kunta Kinte takut kadar pengangguran sebenar lebih tinggi daripada yang Jabatan Perangkaan dan Jabatan Buruh anggarkan.

Cadang ujian moral, psikologi

Kita pun tak mahu PDRM jadi tempat cari makan semata-mata. Kunta Kinte bimbang kalau-kalau bilangan permohonan yang tinggi itu adalah manifestasi pengangguran yang terselindung. Perkara ini boleh berlaku sebab ramai penganggur dan pencari kerja tak daftar dengan Pejabat Buruh kerana tak ada insentif, malu atau kurang inisiatif.

Lebih teruk kalau minat nak jadi polis disebabkan oleh faktor negatif atau salah anggapan misalnya kerja polis mudah, kerja polis hebat sebab boleh bawa senjata api dan kerja polis boleh cari duit poket melalui rasuah. Minta maaflah Kunta Kinte kena sebut hal ini sebab masa dalam suruhanjaya dulu Kunta Kinte dengar banyak cerita macam ini. Ramai anggota generasi muda kita rasa rasuah bukan perbuatan keji dan sanggup terima kalau ada peluang.

Lepas itu, kita dengar taklimat kata ramai pelatih polis sangat kurang pengetahuan agama dan rendah kesedaran moral serta sivik. Jadi Kunta Kinte harap orang atasan polis, khususnya yang akan pilih dan latih 10,000 anggota baru ini, baca balik laporan suruhanjaya. Kita ada cadangkan agar calon polis jalani ujian moral dan psikologi waktu pengambilan dan masa latihan.

Kalau kita tak buat semua ini, bilangan anggota polis mungkin bertambah, tapi mutu kerja tak naik. Silap-silap jadi lebih buruk. Ini yang kita tak mahu sebab masalah keselamatan dan ketenteraman awam makin hari makin serius dan mencabar. Kita perlukan pasukan polis yang bukan sahaja sedia berkhidmat, tapi berkhidmat dengan cekap, dedikasi, pintar, tulus dan telus demi negara dan rakyat jelata. Wallahuaklam.

Tags: polis, rasuah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments