kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Georgetown semakin hilang elemen warisan

ANTARA elemen yang membolehkan Georgetown di­iktiraf sebagai tapak warisan dunia pada 2008 adalah kerana masyarakatnya masih mengekalkan budaya dan corak hidup secara tradisional.

Ketika itu, kira-kira 15,000 penduduknya yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup dalam sebuah komuniti besar dengan meneruskan tradisi serta amalan masing-masing.

Keunikan lain yang membolehkan Georgetown mendapat pengiktirafan daripada UNESCO itu juga adalah kerana majoriti bangunannya masih mengekalkan reka bentuk dan seni bina era kolonial. Sisa-sisa tinggalan penjajah serta rakaman era sebelum perang itu boleh dilihat dengan jelas pada kebanyakan bangunan di pusat bandar ini sama ada di premis-premis bangunan atau banglo.

Malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, elemen-elemen itu semakin terhakis. Penduduk asal di bandar raya ini juga semakin berkurang selepas terpaksa berpindah kerana dihambat arus pembangunan komersial.



Mengikut perangkaan Penang Heritage Trust (PHT), daripada kira-kira 15,000 penduduk asal Georgetown pada 2008, dianggarkan ketika ini hanya tinggal 9,000 orang yang masih mampu bertahan.

Georgetown pada awal 1980-an pernah mempunyai penduduk seramai 50,000 orang majoritinya kaum Cina yang berhijrah dari negara asal mereka. Premis-premis bangunan dan rumah-rumah lama termasuk banglo di sekitar bandar ini yang masih wujud juga tidak lagi berfungsi seperti awal penubuhannya. Kebanyakannya sudah diubah suai sama ada menjadi hotel, restoran atau kafe dengan sentuhan moden.

Tiada lagi kehidupan tradisional masyarakatnya yang boleh dilihat sebaliknya wajah-wajah pekerja asing yang bekerja di premis komersial itu lebih ketara dan dilihat di mana-mana.

Banglo-banglo lama juga dinaik taraf menjadi hotel atau restoran mewah bertaraf lima bintang. Lebih menyedihkan, ada premis dan bangunan lama itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan komersial.

Pembangunan moden yang sedang rancak di pusat bandar ini sedikit demi sedikit menenggelamkan ciri-ciri warisan dan tradisional yang pernah wujud di sini.

Kelompok peniaga yang sebelum ini mewarisi perniagaan berusia ratusan tahun daripada nenek moyang mereka juga tidak lagi mampu bersaing dengan kewujudan kompleks beli-belah. Nilai hartanah yang tinggi pula memaksa pemilik premis atau bangunan lama menghalau penyewa mereka selepas mendapat tawaran lumayan daripada pemaju.

Ini adalah nasib sebenar yang berlaku kepada peniaga-peniaga di Jalan Masjid Kapitan Keling; Lorong Cheapside di Lebuh Chulia dan Beach Street. Beberapa peniaga di kawasan ini gagal mempertahankan perniagaan mereka meskipun ada yang diusahakan secara tradisi sejak puluhan tahun lalu kerana dihalau pemilik premis yang terpengaruh dengan tawaran pemaju.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan berhubung sejauh mana Georgetown mampu mempertahankan status tapak warisan dunia yang diperoleh sebelum ini. Jika pihak berwajib terutama Kerajaan DAP Pulau Pinang berterusan dengan dasar mesra pemaju dan membenarkan lebih banyak kawasan di Georgetown dibangunkan semula dengan projek komersial, tidak mustahil status sebagai tapak warisan dunia itu ditarik semula UNESCO.

Apa yang menghairankan Kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai kuasa untuk melindungi premis-premis bangunan lama itu daripada terus diubah suai menjadi premis komersial.

Kerajaan negeri juga mempunyai kuasa melindungi penduduk asal Georgetown supaya mereka dapat meneruskan amalan tradisi sama seperti yang diwarisi daripada nenek moyang mereka sebelum ini. Namun usaha itu seolah-olah tidak kelihatan apabila penduduk asal di Georgetown terus berkurang dan banyak penempatan serta premis perniagaan yang diusahakan secara tradisional sebelum ini dimajukan dengan projek moden dan komersial.

Tags: heritage, warisan
Subscribe

  • Brain and body of people in power

    From the bully in the playground to the office, power dynamics are everywhere in our lives. Allegations aside, it is seen that powerful men in…

  • Using our brain power

    DUA telur setengah masak dan satu kopi-o, kurang manis. This is one phrase that first-time visitors to our country will find most useful if they…

  • Low wages at home behind brain drain

    VISITING New York recently, I met up with a former colleague who was transferred to the North American headquarters of Thomson Reuters in Manhattan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments