kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Anai-anai sosial: Menangani kerapuhan dan hakisan

KERAPKALI kita menghadapi situasi di mana tiba-tiba terdapat tiang dan dinding rumah mulai rosak dan puncanya adalah anai-anai yang tanpa disedari membiak dan menghakis kayu dan apa jua yang boleh dimakan.

Tanpa langkah-langkah pencegahan, kerosakan berkenaan akan merebak dan rumah mungkin tidak lagi selamat untuk didiami. Tiang seri dan dinding yang gagah akan menjadi reput kerana anai-anai tersebut.

Begitu jugalah masyarakat yang terdiri daripada unit-unit keluarga. Keutuhan masyarakat boleh dihakis sehingga ke tahap reput jika dibiarkan atau tanpa menyedari gejala-gejala negatif telah mula menular. Gejala-gejala tersebut dalam pelbagai bentuk iaitu daripada dadah yang merosakkan fizikal dan psikologi hingga kepada sikap -sikap dan nilai-nilai yang tidak produktif.

Kerapkali terdapat kecetekan pegangan yang menghalang daripada seseorang itu bersikap terbuka dan objektif serta tidak boleh menerima apa jua yang berbeza dari apa dia sendiri anggap. Ini membawa pergeseran dan konflik. Dan ini menghakis keutuhan masyarakat kerana berpotensi memecah belah.

Begitu juga semakin terdapat kefahaman yang cetek dan tidak menyeluruh tentang amalan agama yang mana akan juga mendatangkan pengasingan antara kumpulan-kumpulan.

Hakikatnya, ini tidak semata-mata memberi kesan kepada diri mereka tetapi mempunyai potensi mempengaruhi pihak-pihak lain. Sekali lagi ini mengasak keutuhan masyarakat.

Persekitaran yang dipe­ngaruhi dan didorong oleh ICT dan media sosial mempunyai dua bentuk potensi kesannya iaitu sama ada positif dan negatif atau yang membina dan meruntuh. Ia perlu ditangani dengan efektif unsur-unsur ini supaya diminimumkan kesan-kesan negatif dan dimanfaatkan kesan-kesan yang baik dan positif. Dan ia perlu berlaku dalam semua peringkat masyarakat dengan secara bersepadu.

Penerapan nilai-nilai dan sikap-sikap yang betul mesti berlaku selari dalam keluarga, di sekolah dan dalam entiti di mana ahli-ahli masyarakat terdapat secara berkelompok. Ia mesti melalui usaha gigih berterusan dan berstrategi secara efektif.

Pendekatan-pendekatan yang diambil mesti sesuai dengan kumpulan-kumpulan sasaran iaitu anak-anak muda yang kerap­kali menghadapi dilema untuk memilih apa yang sewajarnya. Mereka perlu disemai dengan pegangan kukuh akan nilai-nilai asas yang betul yang tidak bertentangan dengan era digital serta persekitaran yang didorong oleh ICT dan media sosial.

Contohnya, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip integriti, amanah dan disiplin akan memandu mereka mengelak daripada menyalahguna ICT dan media sosial. Bahkan mereka akan lebih cenderung untuk memanfaatkan alat-alat pembantu gaya hidup itu. Prinsip-prinsip ini adalah satu-satunya kunci kepada kekuatan keperibadian masyarakat.

Ini memandu tindakan dan kelakuan semua ahli masyarakat terutama mereka yang telah diamanahkan menjadi pemimpin dalam apa jua bidang. Prinsip-prinsip tersebut adalah merupakan pencegah anai-anai sosial yang boleh merosakkan.

Apatah lagi apabila bibit-bibit kerapuhan telah mula terdapat dan kekuatan masyarakat telah mula terhakis. Tidak boleh di­nafikan bahawa anai-anai sosial telah mula mengancam landasan masyarakat kita.



Kita wajar sedar akan hakikat ini dan berusaha menanganinya dengan jaya. Kita tidak boleh hanya membuat seruan seperti melepas batok di tangga atau mengadakan program-program sepintas lalu yang tidak berkesan dan tiada impaknya. Semua ini memerlukan usaha yang gigih dalam membetulkan apa-apa yang telah jelas rapuh dah terhakis.

Ini adalah tanggungjawab bersama semua pihak. Kita perlu mencari punca anai-anai sosial itu dan bersama-sama menghapuskannya. Perkara ini tidak boleh dibiarkan merebak dan berkembang tanpa usaha-usaha membanteras. Anai-anai so­sial merentasi batasan-batasan agama dan kepercayaan serta batasan etnik dan kaum.

Seperti anai-anai yang memakan tiang seri dan dinding rumah, anai-anai sosial juga merosakkan perpaduan dan keutuhan masyarakat. Kadangkala semburan ubat serangga tidak langsung memberi kesan dan anai-anai itu terus membiak. Begitu juga anai-anai sosial.

Masyarakat mesti bersedia menghindarkan mereka dan membina benteng teguh untuk mengelak meresapnya pengaruh anai-anai sosial tersebut. Jangan dibiarkan suasana dalam masyarakat menjadi sedemikian hingga kondusif dan mendorong anai-anai sosial bertapak dan membiak serta me­rosakkan apa yang sekian lama dibina dan dipelihara.

Dalam persekitaran global yang semakin mencabar kita di Malaysia tidak mampu diganggu-gugat dan dilemahkan oleh gejala-gejala perosak anai-anai sosial yang bertentangan dengan aspirasi majoriti besar rakyat dan negara.

Usaha membangunkan negara masih memerlukan usaha yang gigih dan bersepadu dalam kalangan rakyat. Perlu dipastikan tiada mana-mana bahagian landasan masyarakat menjadi reput dan terhakis oleh kegiatan anai-anai sosial. Dan usaha-usaha perlu dilakukan sebelum yang rapuh membawa runtuh dan yang terhakis terus hancur.

Tan Sri Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.  Utusan Malaysia Rencana 16 Mac 2015

Tags: sosial
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments