SEMEMANGNYA tidak boleh dinafikan ekonomi negara semakin jauh ke hadapan berbanding dahulu. Taraf pendidikan rakyat Malaysia pula semakin tinggi. Ini jelas apabila ibu bapa sedaya upaya memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan terbaik.
Sering kali negara kita mendapat pujian demi pujian dalam pelbagai bentuk pengukuran kesejahteraan ekonomi daripada pihak antarabangsa. Namun, usahlah kita terlalu enak dibuai dengan pujian ini kerana masih banyak permasalahan ekonomi rakyat yang perlu diselesaikan.
Pemilik rumah PR1MA melihat pemandangan dari rumah mereka selepas menerima kunci dalam Majlis Penyerahan Kunci Perumahan PR1MA Presint 11 Putrajaya, baru-baru ini. |
Setiap kawasan di Malaysia, masing-masing ada permasalahan ekonomi tersendiri. Paling jelas kelihatan permasalahan rumah mampu milik yang sejak akhir-akhir ini sering diperdebatkan.
Ada yang berpendapat ramai rakyat kita yang sudah berkemampuan memiliki rumah mewah, jadi pihak yang terlibat dalam industri hartanah berlumba-lumba membina rumah mewah yang mana harganya mahal bukan kepalang. Benarkah rakyat kita semakin ramai yang mampu memiliki rumah mewah atau rumah mewah ini hanya berlegar dalam kalangan mereka yang sememangnya sudah kaya raya dan berpendapatan tinggi?
Jadi, adakah alasan ini boleh digunakan bagi memperbanyakkan hartanah mewah berbanding mampu milik? Disokong pula alasan bahawa pemain-pemain industri hartanah adalah kapitalis, jadi apa yang mereka fikirkan hanya untung semata-mata?
Kalau inilah hujahnya, maka tidak hairanlah bentuk hujah yang hampir sama dengan mengguna alasan berbeza iaitu pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi memikat orang ramai membeli rumah sebelum GST dikuatkuasakan. Tujuannya bagi memastikan jualan hartanah meningkat dan pada masa sama keuntungan tinggi dicapai.
Dalam satu sudut, penulis amat bersetuju dengan hujah bahawa pemain-pemain industri hartanah terutamanya spekulator adalah kapitalis. Maka, spekulasi adalah modus operandi utama yang sering kali digunakan dalam memastikan harga rumah semakin meningkat tinggi. Mampu atau tidak bakal pembeli, itu cerita lain. Yang penting boleh buat untung lumayan berlipat kali ganda.
Atas alasan kapitalis jugalah, kita lihat ramai rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara kerana antara faktor utamanya adalah kewangan. Ini menunjukkan mereka berasakan diri mereka tidak dibayar dengan gaji yang setimpal dalam suasana sekarang.
Dengan ini, negara kehilangan bakat-bakat besar tempatan manakala segelintir golongan kapitalis ini saban hari semakin kaya raya. Apa yang berlaku hanya menguntungkan satu pihak sahaja iaitu segelintir golongan kapitalis ini. Walhal, para pekerja memerlukan pendapatan yang seiring dengan kenaikan kos sara hidup.
Apabila pendapatan pekerja tidak mencukupi ekoran tidak dibayar dengan setimpal dalam suasana kos sara hidup yang semakin tinggi, maka mampukah rakyat kita membeli rumah mewah yang ditawarkan oleh pemain-pemain industri hartanah?
Dalam hal ini, selain impak kehilangan kepakaran rakyat tempatan kepada negara-negara lain, keadaan ini juga menggambarkan bahawa pekerja di Malaysia seolah-olah tidak mempunyai kuasa pendesak agar gaji mereka dinaikkan setimpal dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki mereka serta selari dengan kenaikan kos sara hidup.
Era sekarang bukanlah era 1990-an yang mana kos buruh yang murah adalah faktor utama yang menarik pelaburan langsung asing (FDI) mengalir ke dalam ekonomi Malaysia. Itu semua kisah nostalgia yang wajar dilupakan terus.
Kini dengan pelbagai desakan hidup dengan beban kos sara hidup yang meningkat, apa yang penting pekerja dibayar dengan setimpalnya. Dengan cara ini baharulah mereka ini benar-benar mampu memiliki rumah.
Adakah rumah yang berharga RM400,000 dikatakan sebagai harga mampu milik seiring dengan pendapatan rakyat Malaysia? Berapa ramaikah rakyat kita yang benar-benar mampu membeli rumah berharga tersebut? Kalau ikutkan spekulator industri hartanah ini, harga rumah pastinya akan dinaikkan pada harga yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Rakan mereka dalam sektor ekonomi lain yang menggajikan bakal pembeli rumah pula berfikir panjang untuk menaikkan gaji pekerja, jadi tidakkah isu ini akan berpanjangan sampai bila-bila?
Kenaikan harga rumah yang keterlaluan memberi kesan negatif terhadap rakyat Malaysia. Apabila rakyat Malaysia tidak mampu membeli rumah, yang akan membelinya nanti warga negara asing. Di kemudian hari, ramailah rakyat Malaysia yang tidak mampu memiliki rumah. Pastinya akan timbul permasalahan lain seperti masalah sosial yang memudaratkan institusi keluarga.
Sektor swasta juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik. Jika hanya pentingkan keuntungan, maka hasrat untuk memastikan ekonomi keperluan rakyat tercapai hanya tinggal angan-angan semata-mata.
Kek ekonomi hanya dikuasai oleh segelintir golongan kapitalis yang mana mereka ini cuma memikirkan bagaimana untuk meningkatkan kekayaan mereka yang sememangnya sudah lama kaya raya.
Sebaliknya, yang miskin pula semakin miskin. Mereka ini pula hanya mampu menggigit jari melihat pembinaan hartanah mewah di sekeliling mereka bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Rohamie Shafie ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.