kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ikatan Melayu 'tiga penjuru'

Kita sering mendengar ucapan yang disampaikan oleh pemimpin Melayu, baik raja yang memerintah, pemimpin politik, pemimpin tentera, mahupun pemimpin masyarakat. Lazimnya, ucapan lebih khusus kepada penyampaian mesej berkaitan sesuatu upacara yang dihadiri oleh pemerintah atau pemimpin berkenaan.

Sewaktu Perhimpunan Gerakan Renaisans dan Perpaduan Bangsa Melayu pada 28 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewakili semua golongan pemimpin Melayu menyampaikan amanat pemimpin Melayu untuk menjadi azimat dan bekalan oleh semua bangsa Melayu dalam mengharungi abad ke-21 kelak.

Amat menarik kerana amanat yang dikenali sebagai Tujuh Amanat Pemimpin Melayu itu merangkumi semua bidang kehidupan, menjadi pelengkap kepada Maqasid Syariah yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Sekalipun tertib atau turutan ketujuh-tujuh amanat itu boleh disusun atur mengikut selera atau pilihan masing-masing yang pentingnya Perdana Menteri telah menggariskan tujuh amanat yang amat berharga itu untuk rujukan semua bangsa Melayu.

i) Ketinggian Islam sebagai agama Persekutuan

Sebagai umat Islam, bangsa Melayu mesti memperjuangkan ketinggian Islam sebagai agama Persekutuan yang berpandukan kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Malah, dalam titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-13, pada 9 Mac lalu, baginda turut memberi peringatan agar jangan ada mana-mana pihak mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Peringatan ini bertepatan dengan masanya kerana sejak kebelakangan ini semakin banyak tindakan pelbagai pihak yang mempersoalkan dan mempertikaikan perkara ini. Maka, amanat pertama ini hendaklah juga dijadikan peringatan oleh semua umat Islam bangsa Melayu untuk bersatu mempertahankan dan memperjuangkan kedudukan agama Islam di negara ini.

ii) Hak dan Keistimewaan Institusi Raja-raja Melayu dan bangsa Melayu

Institusi raja-raja Melayu dan hak serta keistimewaan bangsa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan.

Seperti juga amanat pertama, kedua-dua perkara tersebut iaitu institusi raja-raja Melayu dan hak istimewa bangsa Melayu, sejak kebelakangan ini saban hari perkara ini dicabar dan dipertikaikan secara terbuka oleh banyak pihak. Sekali lagi, amanat kedua ini menuntut kesepakatan dalam kalangan bangsa Melayu mempertahankan hak mereka yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

iii) Menegakkan Maqasid Syariah

Ini demi memelihara kepentingan agama, nyawa, akal, zuriat dan harta yang berlandaskan pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan yang seimbang, tidak ekstrem dan tidak terlalu liberal.

Inilah rujukan utama yang digunakan dalam penganjuran Perhimpunan Gerakan Renaisans dan Perpaduan Bangsa Melayu itu, iaitu bagaimana unsur-unsur Maqasid Syariah digunakan dalam membina kerangka agenda pembangunan bangsa Melayu yang bermatlamatkan perpaduan mutlak sesama mereka.

iv) Mengukuhkan ekonomi bangsa Melayu

Hasrat utama amanat keempat ini adalah supaya bangsa Melayu mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain baik di dalam negara mahupun di pentas global. Dalam senario politik semasa, selain penguasaan arena politik, arena pendidikan dan ekonomi juga sama pentingnya untuk dikuasai. Untuk bangsa Melayu benar-benar diperakui sebagai bangsa yang hebat, bermaruah dan berkat.

v) Pendidikan, kemahiran dan kebijaksanaan diimbangi adat resam serta budaya Melayu

Amanat kelima ini menekankan kepada pentingnya bangsa Melayu terus dilatih dan dididik menjadi bangsa peneraju dan bangsa berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, bijaksana, berdaya saing, kreatif, inovatif, berwawasan serta berfikiran global tetapi tetap berpaksikan kepada adat resam dan budaya Melayu.

Amat luas skop amanat ini yang wajar dihayati oleh semua bangsa Melayu untuk maju, pada masa yang sama mengekalkan ciri-ciri kemelayuannya.

vi) Memperteguhkan Institusi Keluarga & Masyarakat Melayu

Amanat keenam ini mengulangi pentingnya maqasid zuriat dalam pembangunan sesuatu bangsa. Bangsa Melayu juga tidak terkecuali, maka inisiatif pembangunan institusi keluarga dan masyarakat Melayu hendaklah dibangunkan seiring dengan inisiatif-inisiatif lain yang utama. Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) di bawah naungan Kementerian Pendidikan sewajarnya mengformalkan inisiatif yang sudah mereka mulakan menerusi Program Melayu 2050 sebagai usaha melahirkan generasi Melayu yang rabbani yang akan menerajui usaha membentuk masyarakat majmuk yang madani.

vii) Menyuburkan nilai mahmudah dalam semangat dan jiwa Melayu

Amanat ketujuh ini tidak kurang pentingnya dari perspektif membina semangat dan jiwa bangsa Melayu yang wajar dipupuk dan disemadikan dalam pemikiran setiap anak bangsa Melayu. Perincian amanat ini menekankan kepada usaha menyuburkan nilai-nilai mahmudah yang mulia seperti berjiwa besar, semangat juang yang tinggi, berani, bijaksana, tekun serta patriotik.

Amanat ini turut mengajak bangsa Melayu menjauhi sifat mazmumah yang keji seperti hasad dengki dan bermusuhan.

Dengan termaktubnya Tujuh Amanat Pemimpin Melayu pada perhimpunan itu, maka ia menjadi satu amanat yang wajar dijadikan peringatan yang kekal malar dalam ingatan orang Melayu, selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir dalam badan mereka. Selagi itulah juga wadah dan maslahah umat ini akan terus diperjuangkan oleh bangsa Melayu sampai bila-bila.

Dengan mukadimah penutup yang sebegitu rupa, maka Tujuh Amanat Pemimpin Melayu ini wajib dijadikan rujukan utama dan pelengkap kepada Maqasid Syariah bila mana agenda pembangunan dan perpaduan bangsa Melayu hendak direncanakan oleh mana-mana pihak sekalipun.

3. Waad Melayu abad ke-21

Jika diamati dengan tertib dan cermat, memang kukuh justifikasi mengapa orang Melayu wajar diikat dengan waad (janji luhur) untuk mereka akur dan sepakat dalam melaksanakan Amanat itu berpaksikan tiga teras utama waad ini, iaitu:

i) Menyakini akidah Islam yang bersendikan al-Quran, hadis, Ijma’ dan Qias;

ii) Memahami peradaban Islam berlandaskan tauhid dan syariah; dan

iii) Mendepani cabaran era globalisasi

Dengan merujuk kepada tiga teras itu maka diwaadkan bahawa:

a) Peradaban bangsa Melayu hendaklah berteraskan intisari akhlak serta nilai mulia;

b) Peradaban Islam dan peradaban bangsa Melayu adalah sebatian yang sempurna;

c) Waad ini wajib difahami dan hidup subur dalam jiwa dan sanubari orang Melayu turun temurun;

d) Menjadi misi Waad ini untuk terus membina & memantapkan peradaban bangsa Melayu serta negara Malaysia demi menjamin kelangsungan warisan peradaban (civilizational legacy) bangsa Melayu; dan

e) Waad ini menjadi peringatan kepada semua orang Melayu untuk berani merentasi sempadan dan berdepan arus globalisasi, pada masa yang sama terus memimpin negara Malaysia ini ke arah kesejahteraan dan kemakmuran dengan adil dan saksama.

Begitulah komitmen yang diwaadkan oleh semua orang Melayu yang menghadiri perhimpunan itu. Dengan ikatan tiga penjuru di antara Maqasid Syariah yang disya­riatkan oleh Allah SWT, Tujuh Amanat Pemimpin Melayu dan Waad Melayu Abad Ke-21, orang Melayu mampu menjadi bangsa yang hebat, bermaruah dan diberkati Allah.

Apa sekalipun hujahnya, matlamat mutlak kepada ikatan tiga penjuru ini adalah sejauh mana bangsa Melayu bersedia mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka.

Tiada bangsa di dunia ini betapa maju sekalipun mereka, boleh menjadi hebat dan terus menerajui kemajuan negara masing-masing tanpa kesepakatan atau perpaduan sesama mereka.

Jika bangsa Jepun misalnya, menjadi begitu maju menerusi kesepakatannya berpegang kepada ‘Bushido Spirit’nya, bangsa Melayu juga mampu maju jika kesepakatan dapat dibina menerusi ikatan tiga penjuru itu; Maqasid Syariah,Tujuh Amanat Pemimpin Melayu dan Waad Melayu Abad ke-21.

Hasan Mad ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)  Utusan Malaysia Rencana 18 Mac 2015

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments