kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sultan Kubang Pasu ~ Kaki judi cemar makam



ALOR SETAR: Pendedahan BH mengenai kisah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dan Puteri Lindungan Bulan, semalam membongkar cerita khurafat yang menyelubungi makam dua bekas pembesar Kedah itu.

Ini kerana lokasi kedua-dua makam yang agak terpencil itu dikaitkan dengan pemujaan khususnya untuk mendapatkan nombor ekor, satu perbuatan karut yang sepatutnya tidak berlaku.

Penduduk yang ditemui BH ketika meninjau makam Tunku Anum di Pulau Pisang, mendakwa beberapa individu tidak bertanggungjawab aktif menjalankan aktiviti 'menarik nombor' di lokasi berkenaan.

Justeru, rata-rata penduduk mendesak usaha drastik diambil untuk memulihara kawasan makam berkenaan supaya lebih terurus, sekali gus mengelak ia daripada terus menjadi tumpuan kaki nombor ekor.

Hassan Man, 71, yang menetap di Pulau Pisang sejak setengah abad lalu, mengakui perkara itu dan turut melahirkan rasa bimbang sekiranya amalan khurafat itu terus berleluasa, sehingga menjejaskan nama Tunku Anum sebagai pembesar negeri yang banyak berjasa kepada Kedah.

"Dapat tahu ada orang datang minta nombor ekor, patut ada orang jaga supaya tak ada orang ambil kesempatan...ada juga beberapa cerita misteri di sini," katanya.

Mengenai keadaan makam Tunku Anum, Hassan mengakui ia kini kelihatan sedikit terjaga, berbanding suatu ketika dahulu, kerana setiap minggu akan ada wakil dari muzium negeri datang untuk membersihkannya.

Kami dimaklumkan, dahulunya kawasan sekitar makam ini hanya dikelilingi hutan sebelum wujudnya penempatan di sini beberapa puluh tahun lalu, malah makam ini juga sudah dinaik taraf, kira-kira 10 tahun lalu.


MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih, Padang Sera. - Foto Amran Hamid

Suasana menyeramkan

Sementara itu, tinjauan ke makam Puteri Lindungan Bulan yang terletak di daerah Padang Sera pula mendapati suasananya benar-benar menyeramkan apatah lagi dengan kedudukannya yang terletak di atas bukit pada ketinggian kira-kira 15 meter (m) dengan keluasan 100m × 30m.

Walaupun terletak di atas bukit dan dipasang pagar di sekelilingnya, keadaannya kelihatan suram apatah lagi ia turut dikelilingi beberapa pokok besar.

Ketika menemui penduduk setempat di situ, rata-ratanya mengakui makam itu agak jarang dikunjungi mana-mana 'tetamu', malah mereka sendiri mendedahkan agak 'gerun' untuk melawat kawasan itu seorang diri.


PENDUDUK Kampung Lindungan Bulan,Gon Hashim. - Foto Amran Hamid

Bagaimanapun, Gon Hashim, 66, berkata kawasan makam itu akan bertukar wajah jika ada majlis dibuat di atas bukit itu membabitkan kunjungan wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) umpamanya.

"Kadang-kala adalah orang datang tengok tapi jaranglah...cuma penduduk Kampung Lindungan Bulan bersama dua lagi kampung lain, rajin membersihkan kawasan sekitar," katanya.


PENGARAH Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukr. - Foto Amran Hamid

Pegawai muzium terkejut

Sementara itu, BH turut berusaha mendapatkan pandangan Muzium Negeri Kedah berhubung kisah Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan yang dipaparkan, terutama dalam menyelamatkan dua makam terbabit.

Dalam perbincangan bersama Pengarahnya, Suhaidi Shukri, pihak muzium bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Tourism Kedah dalam memasukkan lawatan ke dua makam terbabit sebagai antara pakej pelancongan yang ditawarkan kepada pelancong khususnya daripada luar.

Mengenai cadangan menyemarakkan kisah sejarah di kalangan murid sekolah, ini reaksi Suhaidi;

"Ya..kita akan adakan beberapa perbincangan termasuk dengan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) untuk membawa pelajar sekolah menziarahi makam dalam usaha untuk memupuk cintakan sejarah...selain itu ia turut mempunyai potensi untuk diketengahkan kepada pelancong."

Ketika diberitahu mengenai maklumat daripada penduduk bahawa makam Tunku Anum misalnya dijadikan tempat pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor, Suhaidi nyata terkejut lantas berhasrat meletakkan papan tanda peringatan bagi memberi amaran kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab itu.


PENGERUSI Sejarawan Malaysia,Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof. - Foto Amran Hamid

Wajar dikenang

Sementara itu, Tokoh Sejarawan, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof, berkata sememangnya wajar untuk generasi muda khususnya

mengenali dan mengenang kembali kewujudan Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan, yang mana kehadiran dua pembesar istana ini suatu ketika dahulu menambah corak keunikan sejarah pentadbiran di Kedah.

Wan Shamsudin berkata, berikutan jasad Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan sudah tiada, kewujudan makamnya yang berperanan sebagai bukti kehadiran mereka suatu ketika dulu, harus dihargai.

"Walaupun ada usaha dilakukan pihak berwajib termasuk Muzium Negeri dalam memelihara makam itu, ia dilihat seolah-olah tidak mencukupi apatah lagi masih ramai generasi muda kini tidak tahu akan kewujudan dua tokoh berkenaan.

"Jadi, lebih banyak usaha bersifat proaktif perlu dijalankan termasuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi membawa rombongan murid sekolah sebagai contoh, bagi mengenal lebih dalam identiti pahlawan negeri dan puteri Sultan Kedah itu," katanya.

"Sejarah membabitkan dua individu ini tidak patut dilupakan dan makamnya juga perlu dijaga...muzium negeri juga boleh memainkan peranan dengan menjalinkan kerjasama lebih erat bersama JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) supaya makam ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terjaga," katanya.

Wan Shamsudin, ketika diminta mengulas perkara itu, merujuk kepada makam Mahsuri di Langkawi yang boleh dipromosikan sehingga mampu menarik kedatangan pelancong luar, yang mungkin boleh dijadikan contoh untuk dipraktikkan dalam kes Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan, yang sememangnya tidak kurang menarik salasilah cerita sejarah mereka.

"Kewujudan makam Puteri Lindungan Bulan ini adalah penting sebagai membuktikan bahawa wujudnya pusat pemerintahan Kedah di Kota Siputeh berikutan makam lapan Sultan Kedah yang memerintah di situ, tidak ditemukan kecuali hanya makam puteri berkenaan.

"Malah, di makam itu juga terdapat sepohon pokok Lok Can yang benihnya adalah dari Acheh," katanya









MAKAM Tunku Anum di Kampung Pulau Pisang. - Foto Amran Hamid


MAKAM Tunku Anum dijadikan tempat pemujaan. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama dari Kubang Pasu ke Jitra, khususnya di Tok Jalai dekat sini, pasti menyedari kewujudan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Walaupun nama Tunku Anum dianggap tidak asing bagi penduduk Kedah, hakikatnya tidak ramai menyedari identiti dan peranan individu di sebalik nama Tunku Anum yang dimeterai pada nama sekolah berusia lebih sedekad itu.

Apa yang pasti, Tunku Anum yang juga anak kepada Tunku Rahmah iaitu puteri sulung Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses pembebasan Kedah daripada penjajahan Siam selama 20 tahun pada 1839, hasil kebijaksanaannya mengambil hati pemerintah Siam di Ligor ketika itu.

Berdasarkan rekod sejarah, Tunku Anum selain membantu membebaskan Kedah, turut mencetus usaha membawa pulang Sultan Kedah ke-22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, yang diusir Siam ke Melaka, untuk menyambung semula pentadbiran di Kedah, selepas bebas daripada Siam ketika itu.


PAPAN tanda ke Makam Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid

Kini selepas beratus-ratus tahun, makam Tunku Anum selaku bekas pemerintah negeri Kubang Pasu Darul Qiyam, yang bersemadi di Pulau Pisang, Jitra dan pernah menjadi pusat pemerintahannya, seolah-olah tidak dihiraukan generasi muda, apatah lagi untuk diangkat sebagai antara destinasi pelancongan di Kedah.

Selain Tunku Anum, nasib sama turut menimpa seorang lagi bekas pembesar Kedah iaitu Puteri Lindungan Bulan, yang turut mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada sejarah kelangsungan pentadbiran di Kedah.

Ini kerana, makam Puteri Lindungan Bulan yang menjadi satu-satunya bukti wujudnya pusat pemerintahan Kedah Ke-3 di Kota Siputeh, antara tahun 1282 hingga tahun 1626 yang membabitkan pemerintahan lapan Sultan, turut sepi.


PENGERUSI Sejarawan Malaysia, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof. - Foto Amran Hamid

Ketua Penghantar Bunga Emas

Siapa sangka Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan antara dua nama besar yang pernah menyumbang kepada sejarah pentadbiran kerajaan Melayu di Kedah. Namun, selepas ratusan tahun berlalu, kedua-dua makam ini ternyata dipandang sepi dan gagal ditonjolkan sebagai antara destinasi pelancongan di negeri ini. Sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib untuk memastikan generasi muda kini mengenali sejarah membabitkan kedua-dua individu ini.

Tokoh Sejarawan, Wan Shamsudin Mohd Yusof, ketika mengupas sejarah Tunku Anum, berkata pemuda itu turut mendapat gelaran Tunku Paduka Raja Jambangan berikutan dilantik sebagai Ketua Penghantar Bunga Emas kepada Raja Siam di Kota Bangkok pada tahun 1809, iaitu ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin.

Bagaimanapun, katanya, bermula tahun 1821, Raja Siam mengarahkan armada Ligor menawan kota Kuala Kedah dan bandar Alor Setar, sekali gus berjaya mempertahankan taklukannya selama hampir 20 tahun, menyebabkan Sultan Ahmad Tajudin terpaksa menyembunyikan diri di Melaka.


PAPAN tanda maklumat Makam Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid

Kebangkitan pahlawan Kedah

Namun, pada masa sama, katanya, berlaku kebangkitan pahlawan di Kedah untuk mengambil semula negeri daripada tangan Siam dengan melancarkan dua jenis peperangan yang masing-masing berlangsung pada era 1828 hingga 1831 dan 1838 hingga 1839.

Beliau berkata, Tunku Anum bagaimanapun ketika itu tidak gemarkan peperangan kerana ia disifatkan beliau sebagai berisiko menyebabkan banyak nyawa terkorban dan membabitkan pertumpahan darah.

Justeru, Tunku Anum menjalankan strategi dengan menggunakan helah berangkat ke Ligor kononnya untuk menjaga tawanan Kedah yang ditahan di sana. Kelebihan diperoleh Tunku Anom sepanjang berada di Ligor, digunakan untuk memujuk dan mendapatkan kepercayaan Raja Ligor bagi menyerahkan kembali Kedah kepada pimpinan asal.

"Hasilnya, proses pembebasan Kedah menjadi lebih cepat, malah Sultan Ahmad Tajuddin yang berkelana di Melaka juga dipanggil balik untuk memegang tampuk pimpinan Kedah semula," katanya.

Wan Shamsudin berkata, sebagai membalas jasa Tunku Anum, Sultan mengurniakan Kubang Pasu Darul Qiyam yang mempunyai 24 mukim dengan jajahan takluknya bermula dari Tunjang ke Sadao, untuk ditadbir sebagai sebuah negeri dengan pusat pemerintahannya terletak di Pulau Pisang di Jitra.

Ketika ditanya bagaimana keadaan Kubang Pasu sepanjang pentadbiran Tunku Anom, ini jawapannya;

Kubang Pasu diserah kembali kepada Kedah

Kubang Pasu sepanjang pemerintahan Tunku Anom pada 1839 hingga 1853 ketika itu pesat membangun dan berjaya menaikkan taraf ekonomi rakyatnya dengan wujudnya kilang kain, mahkamah, penjara, pejabat tanah malah masih tersimpan bukti geran tanah yang mempunyai cop negeri Kubang Pasu.

Namun Wan Shamsudin berkata, malangnya selepas kemangkatan Tunku Anum pada 1854, Kubang Pasu yang diserahkan kepada cucunya, Tunku Ishak yang menjadi Raja dan memerintah selama 10 tahun, gagal mempertahankan negeri itu lalu diserahkan kembali kepada Sultan Kedah ke-24 ketika itu iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.


MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid

Puteri Lindungan Bulan

Berbeza dengan sejarah Puteri Lindungan Bulan, Wan Shamsudin berkata terdapat dua versi membabitkan fakta dan legenda yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk kampung dahulu kala.

Beliau berkata, dari segi mitos dan lagendanya, Sultan Kedah ketika itu iaitu Sultan Sulaiman Syah menyembunyikan puterinya yang bernama Zaleha di dalam sebuah lubang kecil, sehingga terlindung dari cahaya bulan selama tempoh sebulan, bagi mengelak Raja Acheh memperisterikan anaknya itu.

Katanya, dari situlah gelaran Puteri Lindungan Bulan diperoleh dan rentetan insiden itu, Raja Acheh amat marah terhadap Sultan Kedah kerana memperdayakannya sehingga Kedah diserang.

Namun cerita itu hanyalah disebut sebagai mitos dan gagal dibuktikan melalui fakta dan ini adalah cerita sebenarnya;

Kedah diserang Acheh ketika itu berikutan Acheh ingin meluaskan empayarnya di nusantara ini, selain berang dengan tindakan Kedah yang turut menanam lada hitam di beberapa daerah termasuk Langkawi sedangkan Acheh sudah terlebih dahulu menanam tanaman itu yang mampu dijual pada harga tinggi. Keengganan Sultan Kedah mendengar amaran dari Acheh supaya menghentikan tanaman lada hitam menyebabkan Raja Acheh berang lantas menyerang Kedah.

IKUTI BAHAGIAN KEDUA ESOK










PENGERUSI Sejarawan Malaysia, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof. - Foto Amran Hamid


MAKAM Tunku Anum di Kampung Pulau Pisang. - Foto Amran Hamid


MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih menyimpan 1001 sejarah tersendiri. - Foto Amran Hamid


MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid


MAKAM Puteri Lindungan Bulan yang menjadi bukti wujudnya pusat pemerintahan Kedah ketiga di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid
Tags: heritage, sejarah, warisan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments