kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rasuah tak kenal gender, agama

Laporan sebuah portal tempatan baru-baru ini menyebut pendirian tegas memerangi rasuah menjadi kriteria pertama yang perlu ada pada seorang perdana menteri di Malaysia pada masa akan datang.

Perkara ini diperlihatkan perdana menteri yang menjadikan komitmen melawan rasuah antara dasar kepemimpinan masing-masing. Bagaimanapun laporan itu yang memetik kajian tidak menyebut secara langsung sama ada perdana menteri itu seharusnya seorang lelaki ataupun wanita.

Kali ini fokus kepada sama ada tinggi rendah rasuah di sesebuah negara itu ada kaitan dengan gender. Aspek ini menjadi polemik yang mendapat perhatian. Saya pasti ia akan terus menjadi perbahasan politik khususnya di negara yang mengamalkan demokrasi.

Beberapa hari lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan menentang rasuah, Inisiatif Integriti Ghana (GII) mencadangkan kepada kerajaannya agar ditingkatkan bilangan wanita dalam jawatan penting bagi membanteras rasuah. Mengikut GII, kajiannya menunjukkan lelaki yang ada kedudukan kepemimpinan didapati lebih korup berbanding wanita.

Wanita boleh kurangkan rasuah

Kajian di Ghana mendapati 'sejumlah 498 responden (81.5 peratus) berasakan jika wanita diberi kedudukan tinggi serta boleh membuat keputusan, kemungkinan rasuah berkurangan.'

Selain itu, 61.2 peratus responden berpendapat seseorang itu berkemungkinan besar lebih selesa merasuah seseorang lelaki daripada seorang wanita. Kajian ini menyebabkan banyak pertubuhan wanita di Afrika terutama di Ghana menyambut baik pendapat ini.

Ada syor lebih banyak wanita terbabit dalam proses membuat keputusan pada semua peringkat kerana dapat memberi pengaruh besar ke atas proses sistematik membuat keputusan, termasuk dasar serta dapat mengurangkan kadar rasuah di sesebuah negara.

Dari segi ekonometrik ada beberapa kajian mendakwa ada kaitan antara penyertaan wanita dalam kerajaan dan tahap rasuah semakin rendah.

Kajian Bank Dunia dalam kalangan 150 negara di Eropah, Afrika dan Asia sebagai contoh, membuat kesimpulan wanita lebih dipercayai dan kurang terdedah kepada rasuah. Pendapat ini disokong seorang penyelidik David Dollar dalam kertas kerjanya bertajuk Corruption and Women in Government.

Bagaimanapun, konsep bahawa wanita sememangnya mempunyai integriti lebih besar dicabar. Anne Marie Goetz berhujah, idea hubungan intim antara wanita dengan lelaki boleh menggalakkan wanita untuk terbabit rasuah. Ada juga wanita yang tamak, gila kuasa dan kadangkala lebih buruk daripada lelaki.

Bahasa 'cair' kaum lelaki juga boleh melemahkan integriti wanita. Wanita agak senang mempercayai tipu daya lelaki terutama penjenayah kolar putih yang pandai berkata-kata. Kadangkala wanita tiada pilihan apabila terpaksa akur kepada permintaan atau dipengaruhi suami perasuah tegar.

Kurang terbabit rasuah

Kajian kendalian sarjana sains politik di Rice University bertajuk Fairer Sex or Purity Myth? Corruption, Gender, and Institutional Context mendapati di negara yang mengutamakan demokrasi, wanita kurang terbabit dalam rasuah dan kurang bertolak ansur dengan amalan ini berbanding lelaki. Dipetik Science Daily, penulis Justin Esarey berkata: "Negara yang berhadapan dengan rasuah besar dilihat kurang demokratik."

Di Malaysia, belum ada kajian khusus kaitan wanita dalam membuat keputusan dan rasuah. Saya yakin akan menjadi perkara yang diutamakan kerana penyertaan wanita dalam pasaran kerja dan pendidikan terus meningkat.

Kadar penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia dilaporkan 52.4 peratus pada 2013. Untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi bagi sesi 2013/2014, 68 peratus daripada pelajar baharu adalah wanita. Mengikut Jabatan Statistik, pengurus wanita hanya 3.2 peratus dan profesional wanita hanya 14.8 peratus.

Rasuah dapat dikurangkan jika kepemimpinan politik dipilih mempunyai integriti, memperlihatkan iltizam politik yang kuat dan tinggi.

Kehadiran seseorang perdana menteri atau presiden perlu disusuli dasar perundangan yang kuat. Negara perlu ada peraturan dan undang-undang pencegahan serta dapat sokongan rakyat. Sama ada lelaki atau wanita tidak akan membawa perubahan dalam memerangi rasuah.

Dari segi 10 negara teratas kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 iaitu Denmark, New Zealand, Finland, Sweden, Norway, Switzerland, Singapura, Belanda, Luxembourg dan Kanada, kebanyakan negara ini dipimpin oleh lelaki, tetapi muncul sebagai negara terbersih dari segi amalan rasuah.

Negara yang utamakan sistem politik yang seimbang sudah pasti akan bebas daripada jenayah rasuah. Rasuah tidak kenal kaum, agama, gender dan warna. khbar Satar ialah Presden Transparensy International Malaysia Berita Harian Kolumnis 20 Mac 2015

Tags: gender, rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments