kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memori peperangan Jitra

Memori Battle of Jitra
Buat pengunjung yang jarang singgah ke wilayah utara tanah air, pasti akan terpukau melihat keindahan pemandangan sawah padi yang terbentang luas.

Lebih mengasyikkan jika memandu menyusuri lebuh raya menuju ke Jitra pada waktu senja apabila pengunjung berpeluang melihat matahari terbenam di sebalik bukit sambil cahayanya melimpahi kawasan sawah padi.

Setiap yang cantik pasti mempunyai kisah kelamnya. Begitu juga nasihat orang tua-tua yang mengatakan ingin mendapat sesuatu yang baik pasti melalui saat susahnya dahulu.

Begitu juga pekan Jitra di Kedah mempunyai kisah peritnya suatu ketika dahulu apabila menyaksikan pertempuran antara tentera British dengan askar Jepun yang mara masuk ke Tanah Melayu melalui negara jiran, Thailand.


JITRA hanyalah sebuah pekan kecil dalam daerah Kubang Pasu, namun menyimpan sejarah hitam yang patut dikenang kerana keangkuhan kerajaan British memandang rendah kekuatan barisan tentera Jepun.

Pakar sejarah berpendapat, ramai yang tidak tahu wujudnya sebuah cerita lama tentang penjajahan Jepun yang masuk ke Malaya pada tahun 1941 bukan sahaja melalui Kelantan.

Mereka turut masuk melalui kawasan utara tanah air dan melumpuhkan barisan pertahanan sekali gus menjadi laluan mudah buat tentera Jepun menguasai Tanah Melayu.

Dinamakan Battle of Jitra atau Pertempuran Jitra kerana pekan tersebut adalah pengkalan bagi Divisyen ke-11 Tentera British (India) dan merupakan benteng pertahanan Tanah Melayu di bahagian utara.

Menariknya peristiwa pertempuran ini, ia cuma berlaku dalam masa dua hari sahaja atau lebih tepat dalam tempoh 36 jam. Masa itu cukup buat tentera Jepun melumpuhkan pertahanan British di Jitra.

Ikuti penjelajahan sejarah Jitra bersama Wartawan S2, Mohamad Athir Ismail menjejaki taktik Ketumbukan ke-25 Tentera Jepun yang berjaya membuat pasukan Divisyen ke-11 Tentera British (India) berundur dan tidak mampu bertahan.

Pengunduran itu 
semuanya berpunca daripada sikap British yang sombong 
dan memandang rendah 
pada Jepun sedangkan pada waktu itu tentera Jepun menghantar pasukan berpengalaman dalam menguasai Indo-China.


Battle of Jitra wajar dikenang
Jitra
merupakan kawasan strategik berikutan kedudukannya yang terletak di selatan Perlis dan berhampiran dengan garisan sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Justeru, secara tidak langsung Jitra menjadi laluan mudah buat tentera Jepun untuk menguasai Tanah Melayu dengan melumpuhkan barisan pertahanan di bahagian utara.

Kisah pertempuran Jitra pasti menjadi detik hitam buat penduduk yang berhadapan dengan serangan mengejut tentera Jepun. Bukanlah tentera British tidak dapat menghidu kedatangan mereka lebih awal tetapi semuanya berlaku terlalu pantas.

Meskipun begitu, hakikatnya kini sejarah Battle of Jitra semakin dilupakan akibat memberi laluan kepada pembangunan seperti pembinaan lebuh raya, jalan raya, perumahan dan sebagainya.

Penolong Kurator Kanan Muzium Negeri Kedah, Zulkhiberi Mat, berkata, sedihnya peristiwa yang berlaku di Jitra tidak diabadikan dalam bentuk-bentuk yang boleh dilihat orang awam.

“Sebagai seorang pegawai muzium menjadi tanggungjawab saya untuk memberitahu masyarakat tentang sejarah terutama tentang negeri kelahiran saya sendiri.

“Justeru, apabila bercerita tentang kisah pertempuran Jitra, saya berasa sedih kerana kisah bersejarah itu tidak dimemorikan dalam bentuk yang mudah dilihat orang awam.

“Jitra hari ini tidak lagi sama dengan dahulu. Kesan-kesan sejarahnya semakin hari semakin hilang. Mungkin kerana tiada nilai komersial yang boleh menguntungkan,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Lantaran kisah pertempuran yang semakin dilupakan, beliau memberitahu akan mengusulkan satu perwartaan warisan kepada kerajaan negeri untuk memelihara kesan-kesan peperangan di Jitra.

“Pihak muzium kini akan bekerjasama dengan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah untuk membuat satu kajian sejarah pertempuran Jitra dan hasilnya akan dikemukakan dalam mesyuarat kelak.

“Dalam usul itu juga, kami akan mencadangkan supaya dibina sebuah pusat informasi seperti Muzium Jitra serta tugu peringatan bagi mengenang jasa mereka yang terkorban dalam pertempuran selama dua hari tanpa henti tersebut.

“Banyak rumah dan kedai musnah sementara sawah padi yang menjadi sumber pendapatan penduduk pada masa itu musnah akibat asakan peperangan yang tercetus,” katanya.

Jelas beliau lagi, signifikan sejarah pertempuran Jitra ini juga memperlihatkan cara tentera Jepun menghantar perisiknya ke Jitra dan bergaul dengan penduduk tempatan.

Justeru, penting pusat maklumat tentang pertempuran Jitra ini supaya masyarakat boleh tahu bagaimana tentera Jepun dapat mengalahkan British meskipun jumlah kekuatannya lebih sedikit.


Pengajaran daripada pertempuran Jitra
Sambil menyingkap sebuah peristiwa hitam yang tercatat dalam sejarah Jitra, kawasan dalam daerah tertua dalam kesultanan Melayu Kedah itu mempunyai kisah silamnya tersendiri.

Sebagaimana dikatakan sejarah pertempuran di sana tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat tempatan, begitu juga kisah hikayatnya yang penting sebagai asal usul datangnya nama Jitra.

Menurut Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri (gambar), Jitra mempunyai sejarah penting dalam negara khususnya tentang pertempuran Jitra.


.

Suhaidi Shukri

SEBUAH kubu British terletak di jalan yang menghubungkan Hutan Kampung dan Jitra, Kedah

“Apabila menyelak helaian demi helaian buku-buku sejarah daerah Kubang Pasu dan membaca jurnal pertempuran Jitra, pekan kecil itu sebenarnya mempunyai cerita yang sangat menarik.

“Sejarahnya perlu diberitahu kepada masyarakat khususnya penduduk Jitra sendiri tentang signifikan kewujudan kawasan tersebut di daerah tertua dalam Kesultanan Melayu Kedah iaitu Kubang Pasu.

“Kubang Pasu suatu ketika dahulu merupakan sebuah negeri dan Jitra menjadi pusatnya. Dalam catatan sejarah, daerah tersebut ada menceritakan hubungan kerajaan Kedah dengan Siam yang menjadikan Kubang Pasu sebagai sebuah negeri,” katanya ketika ditemubual S2.

Berbalik kepada sejarah Jitra, Suhaidi menjelaskan nama Jitra berasal dari Siam yang membawa maksud singgah sebentar.

“Ejaan asal Jitra adalah 'Jutra' yang dicetuskan oleh seorang anak Raja Siam yang diperintahkan oleh ayahandanya untuk mendapatkan ubat di Gunung Jerai.

“Kemudian, dia telah berhenti berehat di suatu tempat sehingga tertidur di sebelah kudanya. Lalu datang seorang sami dan ternampak sekeping nota diikat pada kuda yang bertulis ‘Sampai pagi makan pagi, sampai petang makan petang.’

“Namun, sami tersebut berpendapat ungkapan sedemikian tidak baik untuk anak raja lalu menukarnya kepada ‘Sampai pagi sambut pagi, sampai petang sambut petang. Kasih ibu dan ayah.’

“Lantaran peristiwa itu, sami tersebut menamakan tempat itu dengan perkataan Jutra yang bermaksud berhenti rehat. Disebabkan perubahan masa dan dialek tempatan, sebutannya telah bertukar menjadi Jitra hingga ke hari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu terdapat beberapa pengajaran penting dalam sejarah Jitra khususnya kisah pertempuran antara tentera British dan Jepun yang berlaku pada tahun 1941.

“Dalam Divisyen ke-11 tentera British, terdapat beberapa kaum yang diambil menjadi askar. Justeru, dekat situ wujud perpaduan kaum dalam mempertahankan tanah air meskipun kebanyakan mereka bukan berasal dari Tanah Melayu tetapi sanggup mati untuk negara ini.

“Kemudian, lihat aspek positif dalam taktik serangan Jepun, bagaimana mereka boleh mengalahkan British dalam tempoh beberapa hari sahaja dengan jumlah tentera yang tidak ramai. Perancangan yang dirangka tentera Jepun begitu teliti dan berkesan.

“Selain itu, sikap sombong British dan terlalu yakin akhirnya memakan diri sendiri. Sikap ‘tidak apalah’ membuatkan tentera British terkejut dengan serangan Jepun yang disangka mendarat di sepanjang pantai Pekan, Pahang ke Mersing, Johor,” ujarnya.

Suhaidi turut menambah, sejarah pertempuran Jitra wajar dikenang kerana pengajaran dari kegagalan itu adalah penting khususnya buat generasi muda masa kini.


Peristiwa jambatan Manggol
KEGAGALAN tentera British menahan serangan dan mempertahankan kawasan sempadan Tanah Melayu dan Thailand menemui kegagalan apabila tentera Jepun mengasak mereka dari pelbagai sudut meskipun dengan jumlah kekuatan yang sedikit.


Lantaran itu, tentera British telah berundur dari Perlis menuju ke Jitra, Kedah melalui Sungai Bata di Manggol pada waktu petang dan dalam keadaaan hujan lebat.

Manggol telah menyaksikan sebuah kesilapan terbesar British akibat daripada masalah perhubungan antara pemerintah dengan unit komunikasi tentera British.

Menceritakan lebih lanjut tentang peristiwa di Manggol ini, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros berkata, faktor cuaca dan kekurangan daripada segi teknikal dalam komunikasi menyebabkan British terus berundur hingga ke Gurun.

“Peristiwa ini boleh dikatakan seperti ‘kawan sendiri dilihat sebagai musuh’. Pertempuran di Jitra berlaku sewaktu negara dilanda musim tengkujuh yang lazim berlaku setiap hujung tahun.

“Tentera Jepun datang serang kawasan utara tanah air secara terus menerus selama dua hari tanpa henti. Waktu itu pula hujan selebat-lebatnya sehingga ada mengatakan jarak pandangan mata kasar dalam dua hingga tiga langkah sahaja.

“Tentera British ada buat parit sepanjang lebih kurang 14 kilometer sebagai kawasan pertahanan, disebabkan hujan lebat..., habis kubu tersebut digenangi air sampai hendak jalan pun susah. Ya lah...awak bayangkan tanah sawah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Dr. Mohd Kasri Saidon menjelaskan peristiwa yang berlaku di Manggol menunjukkan begitu kelam-kabutnya strategi British dalam mempertahankan serangan Jepun dalam pertempuran Jitra.

“Di kawasan Manggol, British telah meninggalkan beberapa peralatan seperti kenderaan, senjata, bekalan makanan dan minyak yang boleh membantu mereka bertahan dalam serangan Jepun sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Namun tiga bulan menjadi mustahil sebab pengunduran British berlaku terlalu pantas, sementara sistem komunikasi antara pegawai-pegawai tentera tidak selaras dan sentiasa mendapat maklumat yang salah.

“Dalam proses pengunduran tersebut, tentera British telah melihat sekumpulan tentera Jepun mengekori lalu mereka meletupkan jambatan Sungai Manggol. Sebenarnya, kumpulan tentera yang dianggap musuh itu adalah kawan-kawan mereka,” katanya.

Beliau turut memberitahu, tinggalan bekalan untuk pertahanan selama tiga bulan itu menjadi sia-sia akibat masalah komunikasi dan juga hujan lebat yang menyumbang kepada taktikal peperangan salah.

“Memang teruklah keadaan pada masa itu apabila kawan sendiri pun mereka ingat musuh. Peristiwa Manggol jelas menunjukkan tentera British lebih banyak melakukan pengunduran berbanding bertahan dan menyerang. Tentera Jepun cuma ambil masa satu hari sahaja untuk ke Alor Setar selepas mereka menawan Jitra," ujarnya.


Angkuh punca British kalah
TIDAK dinafikan Jepun memiliki kekuatan dalam pertempuran dengan tentera British di Jitra. Dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 25,000 orang, selain dibantu aset ketenteraan seperti kereta kebal sederhana, kereta perisai, 500 buah pesawat pengebom dan beberapa unit infantri lain, Jepun ternyata mempunyai kelebihan.


PEKAN Changlun pernah menjadi lokasi pertahanan tentera British untuk menghalang kemaraan Jepun masuk ke Tanah Melayu.

Bagaimanapun bagi Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros , kelebihan itu bukan faktor utama kemenangan Jepun.

“Sebenarnya sikap bongkak British yang menganggap tentera Jepun lemah dan tidak setanding kekuatan mereka punca utama mereka kalah dan Jepun menang mudah dalam pertempuran itu.

“Disebabkan keangkuhan tersebut, British telah mengambil langkah mudah dengan mengatakan 'tidak mengapa tentera Jepun sedang melakukan latihan ketenteraan' apabila salah seorang peninjau mereka memaklumkan kewujudan beberapa buah kapal perang Jepun di Lautan Pasifik.

“Di samping sikap angkuh, British turut gagal dalam meneliti pergerakan tentera Jepun dengan tepat sehingga merasakan mustahil mereka akan memasuki Tanah Melayu melalui Thailand, sedangkan matlamatnya adalah menguasai Singapura,” katanya ketika ditemubual S2 baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, kerajaan British tidak menyangka tentera Jepun akan memasuki Tanah Melayu melalui Thailand memandangkan laluan ke Singapura agak sukar, selain hutan tebal dan tiada jalan raya.

Beliau turut mengulas faktor kegagalan British di Jitra berpunca daripada kesiapsiagaan pertahanan utara dan taktik serangan yang digunakan oleh Jepun.

“Pemerintah Divisyen ke-11, Mejar Jeneral David Murray-Lyon mengakui sendiri kepada ketuanya bahawa pertahanan utara memang tidak bersedia menghadapi tentera Jepun.

“Puncanya, British menjangka Jepun mendarat di sepanjang pantai antara Pekan, Pahang dan Mersing, Johor. Justeru, kubu-kubu telah siap dibina di sana.

“Tambah pula, kekuatan British di Jitra pada waktu itu hanyalah kepada tenaga manusia dan kereta perisai. Mereka tiada unit artileri seperti kereta kebal dan sebagainya untuk menangkis serangan Jepun,” ujarnya.

Azhar menambah, masalah komunikasi antara tentera dengan kem turut menyumbang kepada kekalahan British hingga tercetusnya insiden di Sungai Bata iaitu peristiwa Jambatan Manggol.


Harapan akhir kekang Jepun
MELINTASI pekan Jitra, tidak ada siapa yang menjangkakan pekan kecil di utara tanah air itu pernah menjadi wilayah harapan buat penjajah British.

Hal itu kerana, ketika Perang Dunia Kedua yang menyaksikan Jepun meluaskan pengaruhnya ke Asia Tenggara termasuk Malaysia atau Tanah Melayu ketika itu, Jitra memainkan peranan penting dalam mengekang kemaraan Jepun yang masuk melalui utara Semenanjung, selain dari Pantai Timur di Kelantan.

Meskipun menghantar tentera daripada Divisyen ke-11 India, British tewas dalam pertempuran yang dikenali sebagai Battle Of Jitra pada 11 dan 12 Disember 1941.

Peperangan tersebut sangat penting kerana ia menjadi ‘pintu masuk’ penguasaan Jepun di Tanah Melayu selepas British kalah teruk dalam pertempuran tersebut.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Dr. Mohd Kasri Saidon, terdapat beberapa kawasan terlibat dalam peperangan tersebut.

“Jika awak perasan, Jitra ini secara geografinya terlindung dengan bukit. Secara tidak langsung, ia menjadi benteng memudahkan British membuat pertahanan dengan melepaskan tembakan ke bahagian bawah arah utara.

“Tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu melalui pantai timur dan beberapa daerah di Thailand, antaranya Songkla dan Patani.

“Kemudian mereka melepasi tiga pertahanan British iaitu Changlun, Ason dan Jitra sebelum dapat mara ke Alor Setar, Gurun dan seterusnya menguasai sepenuhnya pertahanan utara Tanah Melayu,” katanya kepada S2.

Beliau yang juga Ketua Biro Kajian dan Penyelidikan, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah turut memberitahu dalam pertempuran Jitra, terdapat satu ketika British berjaya mematahkan serangan Jepun.

“Secara taktikalnya apabila berada di atas bukit, pertahanan menjadi lebih kuat dan mudah mematahkan serangan musuh. Waktu itu, British berjaya menghalang Jepun daripada mara.

“Namun, itu cuma sementara dan tempoh pertahanan terlalu singkat selepas tentera Jepun membuat serangan semula melalui udara, sekali gus memaksa tentera British meninggalkan Bukit Ason untuk berundur ke Jitra.

“Di antara dua tempat pertahanan iaitu Changlun dan Ason, telah berlaku satu pertempuran yang hebat di Nongka. Menurut penduduk kampung pada ketika itu, mereka ternampak tentera British lari ke Ason sambil meninggalkan senjata yang tidak dapat dibawa bersama,” jelasnya.

Tambah anak kelahiran Jitra itu, selepas pertempuran di Changlun dan Ason, pasukan British telah berundur ke Jitra melalui Sungai Bata kemudian sampai ke Manggol.

“Selepas menerima serangan udara tentera Jepun, pasukan British tidak lagi mampu bertahan dan terus berundur sampai ke Jitra.

“Peristiwa pertempuran Jitra hanya berlaku dalam dua hari sahaja, sedangkan mereka menerima arahan daripada pemerintah untuk menyekat kemaraan Jepun sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Saya berpendapat, arahan tersebut tidak dipenuhi kerana tentera yang berjuang boleh diumpamakan sebagai askar upahan, semangat patriotik dalam divisyen India itu belum capai satu tahap sebagai sanggup mati untuk Tanah Melayu,” katanya.

Jelas beliau lagi, pada awal pemerintahan British di Tanah Melayu, mereka tidak mempercayai orang Melayu untuk menjadi tentera.

“Disebabkan tidak percaya kepada orang tempatan, British tidak mampu berperang dengan tentera Jepun pada waktu itu. Sedangkan orang tempatan lebih tahu persekitaran di Jitra.

“Akibatnya tentera British terpaksa meredah paya yang berlumpur, sungai dan sebagainya. Sedangkan orang tempatan mungkin tahu jalan-jalan lain untuk dilalui,”ujarnya.





BAHAGIAN dalam kubu yang dibina British sentiasa digenangi air hingga sekarang.

BOM dan topi keledar yang digunakan semasa peperangan antara tentera Jepun dan British.

SEBUAH kubu British terletak di jalan yang menghubungkan Hutan Kampung dan Jitra, Kedah
Tags: heritage, sejarah, warisan
Subscribe

  • Besar mangkuk ikan

    Ada pepatah lama yang menemui kehidupan baru dalam dunia perkongsian tular meme iaitu seekor ikan hanya akan membesar mengikut bekas mangkuk atau…

  • Ikan RM1 sekilo kurang 20% tak beban

    Ikan RM1 Alor Setar: Harga pasaran ikan kembung di negeri ini mencatat penurunan sehingga RM1 sekilogram (kg) berikutan berlaku lambakan akibat…

  • Sumpahan 
patin dan kerapu

    Benarkah manusia boleh dimakan sumpah? Misalnya, keturunan Laksamana Bentan akan muntah darah kalau menjejakkan kaki ke kawasan perkuburan Sultan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments