kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tambang baharu hapuskan imej buruk teksi Malaysia?

Awang menyokong pandangan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kenaikan tambang pengangkutan awam yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kelmarin.

Kenyataan SPAD bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kenaikan kos terpaksa ditanggung pengusaha pengangkutan awam bukanlah alasan terbaik. Sepatutnya pengumuman kenaikan hanya dilakukan setelah kajian mendalam dan pandangan pelbagai pihak diambil kira.

Oleh itu adalah lebih baik jika kenaikan itu ditangguhkan dan hanya dilaksanakan apabila waktu betul-betul sesuai. SPAD seharusnya menumpukan perhatian untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam yang semua orang tahu bagaimana keadaannya.

Masih banyak lagi rungutan yang kita dengar mengenai perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah sikap pemandu teksi mengenakan tambang sesuka hati mereka. Itulah antara masalah yang perlu diberi tumpuan oleh SPAD dan bukannya mahu memenuhi kehendak pengusaha-pengusaha semata-mata.

Justeru Awang berharap bantahan yang dibuat oleh pelbagai pihak akan difahami oleh SPAD untuk mengkaji semula keputusan kenaikan tambang itu. Awang yakin kerajaan pun tidak akan duduk diam berikutan bantahan rakyat itu.

Awang – Tunggu Kabinet.

kenaikan tambang teksi, kereta sewa dan bas ekspres dibuat, memang tidak kena. Pengguna baru sahaja dikejutkan dengan beberapa ‘siri kenaikan’ kos sara hidup. Harga petrol dan diesel naik semula selepas seketika sahaja turun.

Belum pun sempat orang ramai menikmati penurunan harga barangan dan perkhidmatan selari dengan penurunan harga minyak, tiba-tiba ada satu lagi pengumuman baharu. Kadar tambang pe­ngangkutan awam termasuk komuter KTM pula diisytiharkan naik.



RAMAI tertanya-tanya adakah kenaikan tambang teksi mulai 1 April ini akan disusuli dengan pemulihan imej pengangkutan awam itu terutama di Kuala Lumpur. GAMBAR HIASAN

Pada 1 April nanti, cukai bara­ngan dan perkhidmatan (GST) juga mula dilaksanakan. Menjelang 15 Mei pula, tambang satu lagi pengangkutan awam popular iaitu bas ekspres akan naik.

Semuanya melibatkan orang ramai. Kebanyakan yang menggunakan kemudahan perkhidmatan ini adalah kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah. Alasan apa sekalipun yang digunakan untuk merasionalkan tindakan ini, langkah itu bukanlah sesuatu yang wajar dilaksanakan dalam waktu-waktu sebegini.

Tidak kiralah berapa sen, ringgit atau peratus kenaikannya, orang ramai memang tidak gemar de­ngan berita kenaikan harga barangan dan per­khidmatan pengguna. Da­am keadaan kos sara hidup meningkat bagai tidak boleh ditahan-tahan lagi, pengumuman ini menambahkan tekanan kepada setiap orang.

Walaupun amat sukar sekali untuk menerima apa yang telah diumumkan itu, mahu tidak mahu semua orang perlu akur dan me­nerima paksa apa yang telah dibuat. Apa lagi pilihan yang mereka ada?

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mempunyai alasannya sendiri. Kali terakhir semakan kadar tambang teksi dibuat pada tahun 2009.

Dari satu sudut, golongan pemandu teksi juga adalah dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Tetapi berapa ramai yang memiliki teksi sendiri tidak dapat dipastikan. Kebanyakannya menyewa teksi. Mereka terpaksa berhadapan dengan kos pe­nyenggaraan kenderaan yang tinggi yang sudah tentunya menjejaskan kutipan sehari suntuk bekerja masing-masing.

Penyelarasan kadar tambang baharu ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tersebut. Suruhanjaya itu juga menyifatkan kadar baharu itu munasabah serta tidak membebankan orang ramai.

Kalangan pengguna pula mengharapkan selepas kadar tambang baharu dikuatkuasakan, tidak ada lagi cerita-cerita negatif tentang perkhidmatan teksi di negara ini. Daripada kisah sikap pemandu teksi sehingga kepada rupa wajah teksi. Tidak ada lagi kes-kes penumpang tertipu de­ngan caj berlebihan sehingga tidak masuk akal kerana penggunaan meter tipu.

Juga tidak ada lagi berita pelancong asing ‘kena sembelih,’ pemandu teksi yang bersikap kasar dan tidak beradab, pemandu teksi samseng serta keadaan dan kualiti kenderaan yang dijadikan teksi itu sendiri.

Perlakuan dan sikap buruk segelintir pemandu teksi ini adalah barah yang memberi imej negatif kepada perkhidmatan teksi di ibu kota. Bacalah forum-forum pelancongan tentang Malaysia di media sosial.

Ketika semua­nya memberi ko­men memberangsangkan tentang Malaysia serta rakyatnya yang mesra dan berbudi bahasa, keba­nyakannya memberi komen negatif apabila menyentuh bab-bab per­khidmatan teksi. Malah para pelancong diberi peringatan dan ‘amaran keras’ agar berhati-hati sebelum menggunakan perkhidmatan teksi khusus­nya di Kuala Lumpur.

Perkara ini sudah berlarutan agak lama dan seperti tidak berkesudahan. Pelbagai tindakan penguatkuasaan sudah diambil, tetapi kes-kes seumpama itu tetap berlaku. Penyelarasan kadar tambang baharu ini diharapkan dapat membantu memulihkan kembali imej perkhidmatan teksi negara.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan agensi-agensi penguatkuasaan perlu memastikan selepas tambang baharu diperkenalkan, nama baik perkhidmatan ini dapat dibaik pulih. Kualiti per­khidmatan teksi dan kereta sewa mening­kat berban­ding sebelum ini.

Tidak ada lagi teksi atau kereta sewa yang tidak ubah seperti kereta buruk. Tidak ada lagi pemandu yang enggan menggunakan meter, enggan mengambil penumpang atau memilih penumpang. Yang penting sekali kumpulan pemandu teksi samseng yang lagaknya menakutkan pelancong asing dapat dibanteras.

Dalam pada itu SPAD dan agensi penguat kuasa lain kena meneruskan kerja-kerja penguatkuasaan bagi memastikan per­khidmatan ini tidak terus dicemari dengan sikap buruk segelintir pemandu teksi. Pandangan orang luar ke atas perkhidmatan ini yang tidak pernah baik perlu diperbetulkan.

Pengusaha dan pemandu pula teksi sudah tidak ada alasan lagi untuk merungut. Permintaan dan tuntutan agar kadar tambang teksi dikaji semula sudah dipenuhi. Sekarang masa untuk memulihkan kembali imej perkhidmatan ini yang sudah lama terpalit de­ngan macam-macam cerita tidak enak.

Tags: pengangkutan, tambang, teksi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments