kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mencari penawar kepada kelesuan kerja

DEWASA ini acap kali kita diselubungi dengan pelbagai rintihan oleh individu yang mengalami stress (tekanan) ketika menjalankan tugas di tempat kerja. Selanjutnya, stress yang tidak terkawal boleh membawa kepada burnout (kelesuan kerja). Natijahnya, organisasi berhadapan dengan prestasi kerja yang kurang memuaskan dan nescaya ini menjejaskan imej organisasi berkenaan.

Kita sedia maklum tekanan berlaku yang disebabkan oleh kesukaran melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Tekanan ini menimbulkan kesusahan, konflik serta kekeliruan dalam menjalankan tugas. Kesusahan, konflik serta kekeliruan yang berterusan ini, seandainya tidak diuruskan dengan baik, mengakibatkan berlakunya apa yang diistilahkan sebagai burnout.

Burnout mengakibatkan ke­tandusan daya emosi, ketandusan daya fizikal dan seterusnya sikap dan perasaan kurang pencapaian dalam kerjaya individu. Ini sete­rusnya akan menyebabkan individu rasa lebih tertekan, lantas menjadi penyumbang kepada penurunan prestasi kerja individu serta organi­sasi. Oleh yang demikian, pengurusan organisasi perlu mengenali punca-punca burnout dan berusaha mengenal pasti cara-cara mengatasinya segera.

Ketika mengalami burnout, seseorang pekerja akan merasa bosan dan tidak mampu memberi perhatian sepenuhnya terhadap kerja yang dilakukan. Kajian oleh sarjana-sarjana dalam bidang psikologi dan sosiologi jelas me­nunjukkan semakin tinggi kadar burnout, semakin rendah prestasi kerja seseorang. Kualiti dan kuantiti kerja turut berkurangan. Justeru, apakah sebenarnya faktor-faktor yang mempengaruhi burnout?

Dua faktor utama, yang saling berkait-rapat, dalam memperkatakan tentang burnout adalah persona­liti dan organisasi. Aspek personaliti dan hubung kaitnya dengan komunikasi ditumpu jurus dalam penulisan ringkas ini.

Sama ada kita sedar atau tidak, tabiat yang dipupuk dalam diri, adalah punca kepada burnout yang dialami. Seseorang yang berfikiran negatif berpotensi tinggi mengalami burnout. Individu yang bersifat perfectionist ini, inginkan segala-galanya dalam keadaan terbaik dan seratus peratus sempurna – lantas tidak dapat mengawal diri apabila memikirkan masalah yang bakal timbul. Kesempurnaan dalam semua hal ditokok dengan jangkaan yang tidak realistik menyebabkan tekanan yang berterusan serta menghasilkan burnout. Inilah yang disebut dalam istilah psikologi sebagai orang yang mempunyai Personaliti A.

Antara sifat-sifat utama mereka yang berpersonaliti A termasuklah, rendah harga diri, yakni sering merasa diri tidak berguna dan cuba mengasingkan diri daripada orang; gopoh dalam pengertian ingin me­lakukan banyak perkara dalam jangka masa yang singkat; agresif dan permusuhan iaitu melihat setiap perkara sebagai cabaran besar dan wajib dihadapi tanpa permuafakatan.

Kelompok yang tergolong dalam Personaliti B pula mempunyai sifat-sifat seperti berhenti rehat, yakni tidak bertubi-tubi melakukan sesuatu; menghargai perkara remeh bererti tidak tertekan dengan perkara-perkara utama sahaja dan; sering ketawa dan bersifat tenang. Salah satu cadangan berkesan me­ngatasi burnout adalah menerusi komunikasi berkesan.

Komunikasi berkesan adalah komunikasi yang berupaya menyelesaikan konflik atau masalah yang dihadapi di tempat kerja. Tutur kata yang merangsang pekerja secara positif. Seterusnya, komunikasi berkesan juga berperanan mengekalkan hubungan baik antara majikan dengan pekerja serta sesama rakan sepejabat.

Apabila kita menjadi pendengar yang baik, ini sebenarnya peluang dan ruang yang cukup baik kepada pekerja meluahkan pandangan, pendapat dan isi hatinya. Keprihatinan kita menjadi penawar kepada burnout yang dialami pekerja.

Teknik dan gaya komunikasi yang sesuai amat penting di sini. Dengan membentuk dan merangka strategi komunikasi yang memotivasi dan memenuhi keperluan pekerja, pekerja akan menganggap organisasi sebahagian daripada mereka, lantas menimbulkan ke­seronokan bekerja dan seterusnya mengurangkan tekanan dan burnout di tempat kerja. Apabila tahap emosi dan rasional serta keilmuan dalam bidang kita berada di tahap yang optimum, maka ketrampilan komunikasi akan zahir. Sesungguhnya, ketrampilan komunikasi berkesan adalah menerusi citra personaliti yang menarik.

Sebagai kesimpulannya, perso­naliti kita berkait rapat dengan sikap. 10 sikap yang cukup dominan dalam melahirkan anjakan fikiran positif dalam kehidupan manusia, lantas mengurangkan burnout adalah:

 Optimis

 Semangat

 Kepercayaan

 Integriti

 Keberanian

 Keyakinan

 Keazaman

 Kesabaran

 Ketenangan, dan

 Fokus

Memang benar apa yang tersirat dalam ungkapan, “Beauty merely gets attention, personality is what actually captures the heart”.

- Amerjit Singh S. Bhag Singh Utusan Malaysia Rencana 25 Mac 2015 12:49 AM
Tags: kerja, penawar, stress
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments