kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

‘Profesor’ dan 
‘ustaz’ media sosial. Ke mana media sosial bawa kita?

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegur sikap sesetengah kelompok yang cuba menjadi ‘profesor’ berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April ini. Sikap ‘profesor’ tidak bertauliah itu bukan sahaja menyusahkan kerajaan dalam memberikan penerangan kepada rakyat malah mewujudkan kekeliruan dalam kalangan mereka.

Ada pula yang bukan sahaja menjadi ‘profesor’ tidak bertauliah malah penghasut untuk menggerakkan rakyat bangkit menentang pelaksanaan GST. Kelompok itu bukan sahaja wujud dalam kalangan ahli politik tetapi juga orang biasa yang kepala mereka sudah ‘berulat dengan otak politik’.

Oleh itu, mereka menjadikan media sosial sebagai tempat melepaskan geram. Pelbagai tuduhan dan tohmahan mereka cipta untuk menakut-nakutkan rakyat berhubung GST. Sebenarnya bukan sahaja dalam soal GST, malah dalam bidang politik pun ramai yang menjadi ‘profesor’ dan ‘penghasut’ rakyat.

Walaupun ada antara mereka tidak terlibat dalam politik namun disebabkan hati sudah dilumuri dengan perasaan benci maka mereka menjadikan media sosial sebagai medan untuk memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin kerajaan.

Penulis tidak hairan jika perbuatan itu dilakukan oleh pemimpin atau ahli parti politik pembangkang kerana memang kerja mereka cuba mempengaruhi rakyat dengan fakta-fakta tidak betul bagi membangkitkan perasaan benci kepada kerajaan, tetapi malangnya ada dalam kalangan ‘profesor’ media sosial ini terdiri daripada kelompok yang tiada kaitan dengan politik.

Melalui pelbagai bahan yang sebarkan melalui aplikasi WhatsApp atau Facebook mereka menggambarkan seolah-olah kalaulah menjadi pemimpin, mereka jauh lebih baik daripada pemimpin sedia ada.

Justeru apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan akan tetap dipandang sinis oleh ‘profesor-profesor’ tidak bertauliah ini. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila wujud pula ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ media sosial. Golongan ini pula berperanan menyebarkan sesuatu perkara berkaitan dengan agama tanpa memeriksa dahulu kebenarannya.

Walaupun di dalam Islam, kita dikehendaki memastikan dahulu sesuatu berita yang diterima itu benar atau tidak, tetapi tidak dipedulikan oleh golongan ini. Kesudahannya, acap kali kita perhatikan umat Islam menjadi ‘riuh’ dengan penyebaran sesuatu berita atau fakta yang tidak betul. Apatah lagi orang kita memang suka perkara-perkara kontroversi termasuklah soal halal haram. Akibat daripada kelemahan umat Islam dan wujudnya kelompok ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ itu maka memberikan kesempatan kepada ‘musuh Islam’ untuk menusukkan ‘jarum beracun’ mereka bagi memecah belahkan orang Islam.

Tambahan pula ada dalam kalangan orang Islam, mereka hanya bijak bercakap dan menyebarkan sesuatu perkara kebaikan tetapi mereka sendiri belum tentu melaksanakannya. Bercakap soal agama seolah-olah merekalah paling suci, paling hebat dan berpengetahuan tetapi dalam masa sama mereka juga menjadi ‘profesor’ tidak bertauliah menyebarkan perkara yang boleh memecahkan belahkan umat Islam.

Namun tidak kira apa pun pandangan kita, kewujudan ‘profesor’ dan ‘ustaz’ media sosial ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh mendatangkan kesan buruk kepada kuasa politik orang Melayu dan keutuhan perpaduan sesama Islam.

Janganlah bertindak bodoh termasuklah melepaskan perasaan benci melalui media sosial. Kita boleh tidak bersetuju atau tidak sependapat dalam sesuatu perkara atau tindakan, tetapi jangan sesekali menyematkan perasaan benci kepada mana-mana juga pihak apatah lagi jika individu atau kelompok itu sebangsa dan seagama dengan kita.

Ketika ini, sudah ada dalam kalangan orang Melayu termasuklah mereka yang kononnya mendabik dada sebagai pembela orang Melayu dan pejuang Islam mengamalkan politik kebencian. Golongan ini tidak mendatangkan keuntungan kepada survival politik orang Melayu dan umat Islam.

Sebaliknya, mereka sendiri ibarat ‘api dalam serkam’ yang akan menyebabkan orang Melayu berpecah dan perpaduan umat Islam menjadi rapuh. Oleh itu, jangan bersikap hipokrit dalam tindakan. Jika mahu melihat orang Melayu dan umat Islam bersatu serta mempunyai kekuatan di tanah air tercinta ini berhentilah menjadi ‘profesor’ dan ‘ustaz’ media sosial.

Bersihkanlah hati dan sucilah jiwa. Jadilah orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan kepentingan bangsanya dan seorang muslim yang sentiasa mempertahankan keutuhan umat Islam. Media sosial ibarat sebilah pisau terpulang kepada kita bagaimana mahu menggunakannya sama ada untuk kebaikan atau melakukan kejahatan! - Zul Bakar Utusan Malaysia Rencana 28 Mac 2015


MEDIA sosial kini menjadi tarikan utama untuk menyalurkan, menyampai dan mempengaruhi kepercayaan dan keyakinan serta persepsi terhadap pelayar alam maya ini. Namun, ada juga yang menyoal sejauh manakah ‘agenda setting’ media ini bertanggungjawab ke atas lontaran idea, isu mahupun berita yang mahu diketengahkan atau disensasikan serta menerokai penanda aras untuk menilai potensi kepercayaan dan keyakinan ke atas apa sahaja yang dimuat naik di alam maya ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg menyampaikan ucaptama dalam persidangan f8 Facebook di San Francisco , California pada 30 April, 2014. Agensi

Pengaruh media sosial amat besar dan tiada sesiapa yang mampu menyatakan bahawa dalam dunia tanpa sempadan ini, media ini tidak relevan ataupun perlu sekatan. Adakah pengendali media bertanggungjawab atau pengamal media terutama mereka yang aktif menggunakan platform media sosial menggunakannya dengan tujuan dan matlamat yang mempunyai kecenderungan untuk meningkatkan fahaman ke atas sesuatu isu atau landasan untuk menyebar, mendekati dan menanam nilai-nilai songsang yang boleh mengganggu keselamatan, kesejahteraan dan kehidupan berukun terbina sekian lama dalam kalangan sesetengah daripada kita, sebagaimana kritikan ke atas media ini.

Sejarah media sosial menunjukkan tidak bermula dengan Facebook walaupun ramai mengandaikan sedemikian. Media ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden sejak lewat 1970-an dengan penggunaan ‘usernets’ terutama untuk menghantar artikel atau berita ke ‘newsgroups’.

Selepas itu, kita melihat berbagai inovasi dan reformasi industri teknologi media sosial sehingga lahirnya perbualan di alam maya melalui IRC (Internet Relay Chat) serta instant messaging, melayari halaman untuk mencari pasangan dan forum online yang dianggap antara evolusi jaringan sosial.

Pada awal tahun 2000, pembangunan besar di dalam jaringan sosial dan media sosial menjadi semakin ketara. Lahir Friendster, Hi5, Linkedln, MySpace dan pada 2008, Facebook menjadi yang paling popular sebagai halaman jaringan sosial untuk pelajar, ahli perniagaan dan akhirnya untuk semua.

Media sosial tidak terhenti sekadar untuk perkongsian jaringan hubungan sosial kerana kemudiannya sudah menjadi tempat perkongsian gambar, video dan kandungan multimedia lain yang dianggap sebagai antara aktiviti yang sangat digemari dalam amalan pengamalnya. Ini termasuk Photobucket, Flickr, Instagram dan pada 2005,

YouTube menjadi halaman yang popular untuk berkongsi video. Revolusi media sosial tidak terhenti di sini kerana pada 2006, muncul Twitter yang diguna untuk mengemaskini berita terkini yang menjadi norma baru media sosial.

Ada pelbagai aplikasi muncul dan sama ada menjadi popular atau sebaliknya, namun media sosial kini dianggap mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kebanyakan aktiviti sehingga memadam ruang peribadi dan memperluaskan ruang awam.

Persekitaran, pendidikan dan rasa tanggungjawab memberi makna ke atas pengaruh media sosial ini. Dalam berhadapan persekitaran yang berubah, media sosial berhadapan dengan dilema keadaan di luar kawalan ruang yang bersifat peribadi kerana andaiannya adalah bebas digunapakai untuk sebarang berita. Kebebasan mutlak sukar untuk media sosial walaupun itu adalah realiti sebagaimana dalam lingkungan Malaysia melainkan wujud etika saringan sendiri tanpa menggunakan elemen keselesaan sendiri sebagai penanda aras.

Mereka yang melakukan kajian bersifat etnografi barangkali faham bagaimana untuk meneliti sesuatu nilai atau norma dari sudut pandangan kumpulan sasar yang dikaji dan bukan dari sudut pengamatan pengkaji semata-mata; sepatutnya itu juga menjadi asas amalan pengamal media sosial. Ilmu dan pembinaan tanggungjawab akan mendasari perkembangan media sosial ini.

Ini kerana pengaruh media sosial semakin hari semakin kuat dan dikhuatiri satu hari nanti kita tidak dapat mengawalnya terutama dari sudut apa yang dilontarkan dan reaksi dalam ruangan-ruangan yang tidak membina tetapi melahirkan kebimbangan ke manakah arah tuju pengaruh media sosial ini? Ada kumpulan ditugaskan untuk bertanggungjawab dalam membina dan mempengaruhi persepsi sebagaimana pendekatan ‘cybertroopers’ ataupun ‘keyboard warriors’; nama jolokan yang diberi oleh mereka yang melihat tindakan dan gerak balas kumpulan ini.

Tidak dinafikan media sosial merupakan antara mekanisme atau alat yang terbaik untuk mendalami ilmu, melayari pelbagai tuntutan persekitaran serta rutin harian kita , namun ia tidak boleh menggadai maruah, jati diri dan identiti seseorang.

Pembunuhan karakter, kritikan ke atas agama dan etnik, sifat perjuangan songsang dan lebih daripada itu kesediaan untuk meninggalkan fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal, hormat dan faham seolah-olah semakin luntur akibat desakan persekitaran yang bertujuan membentuk apa yang dinamakan oleh Benedict Anderson sebagai ‘imagined community’ tetapi kini di alam maya.

Ada yang mahu menukar identiti diri yang tidak dapat dinikmati di alam realiti sebagaimana ada yang menunjukkan keberanian luar biasa di alam maya dari alam sebenar.

Sebagai pelayar atau pengamal media sosial, kita harus boleh melakukan yang terbaik demi mempertahankan kesejahteraan dan kehidupan berukun terutama dalam konteks masyarakat rencam Malaysia. Kita harus boleh bersama dalam pelbagai isu termasuk isu bagaimana media sosial diguna untuk berkomunikasi dan akhirnya wujud pelbagai salahlaku seperti penipuan mencari pasangan, pemerdagangan, amalan songsang, pengambilan anggota ajaran radikal dan ekstremis, urus-niaga dadah dan barangan haram, pengkaderan anggota geng, kegiatan jenayah walaupun waktu yang sama, media sosial membolehkan pelbagai aktiviti sihat dalam pembentukan jaringan perniagaan dan perhubungan serta perkongsian maklumat.

Lihat apa yang berlaku kepada beberapa berita yang tidak mendapat kesahihannya terlebih dahulu seperti pembunuhan karakter ke atas Perdana Menteri dan keluarga; pemimpin parti pemerintah mahupun pembangkang dan terbaru berita kematian bekas Perdana Menteri Singapura yang didahulukan dari tarikh sebenar kematian beliau.

Terlalu banyak untuk disenaraikan terutama tatkala pilihan raya dan kini seolah-olah sudah menjadi rutin biasa di mana yang benar boleh menjadi palsu dan yang palsu boleh menjadi benar dari kreativiti pemikiran dan cara pengolahan.

Begitu juga dengan apa yang sedang dilalui oleh watak dalam video pendek keluaran BFM berhubung dengan hukum hudud serta penggunaan semula beberapa video dari ceramah lama politik untuk sama ada mengaibkan pemimpin ataupun parti politik. Jika semuanya dibuat dari garis mata politik, maka di manakah hala tuju sebenar negara bangsa ini? Apakah kita masih menguji kematangan walaupun tahu sebenarnya isu berkaitan agama dan etnik tidak akan dikompromi.

Alam maya boleh mempengaruhi kehidupan dan keputusan yang seringkali kita buat; tetapi biar alam realiti mendahului alam maya kerana pembentukan komuniti alam maya juga perlu memahami nilai sebenar alam di luar media sosial supaya kita boleh bertanggungjawab bersama ke arah pembinaan negara bangsa yang dihuni oleh masyarakat kelas satu di negara kelas pertama yakni dengan kemudahan dan infrastruktur sebagaimana negara maju termasuk peralatan canggih komunikasi dan teknologi; masyarakat kelas satu dirujuk kepada masyarakat yang ada ilmu, kemahiran dan kebolehan tetapi kesemuanya diselaputi dengan nilai karakter mulia.

Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian ialah penganalisis politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Tags: media, sosial
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments