kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lee Kuan Yew: DiGeruni, DiSegani

LEE Kuan Yew dilahirkan di Jalan Kampung Jawa, Singapura pada 16 September 1923. Beliau dibesarkan dalam keluarga golongan pertengahan berasal dari China yang menetap di Singapura sejak abad ke-19.

Moyangnya, Lee Bok Boon yang dilahirkan pada 1846 berhijrah dari Guangdong, China ke Singapura pada 1863. Sejak zaman kanak-kanak, Kuan Yew dibesarkan dengan budaya British terutama daripada datuknya, Lee Hoon Leong yang dilahirkan di Singapura pada 1871. Malah, datuknya memberikan tambahan nama Inggeris iaitu “Harry” kepada Kuan Yew sehingga beliau lebih dikenali sebagai “Harry Lee”.



Bapa Pengasas Singapura moden dan Perdana Menteri pertama Kota Singa itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Teluk Kurau dan Raffles Institution. Beliau kemudian melanjut dan menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pada 30 September 1950, Kuan Yew mengahwini Kwa Geong Choo dan dikurniakan dua anak lelaki, Lee Hsien Loong dan Lee Hsien Yang serta seorang anak perempuan, Dr. Lee Wei Ling. Beliau merupakan pengasas bersama Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1954 dan parti itu tidak pernah kalah dalam pilihan raya sejak kemerdekaan negara itu pada 1965. Kuan Yew memegang jawatan Setiausaha Agung PAP dari 21 November 1954 hingga 1 November 1992.




LEE Kuan Yew bersama Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush di White House

Selepas menjadi Perdana Menteri dari 1959 hingga 1990, Kuan Yew menjadi Menteri Kanan dan Menteri Mentor republik tersebut. Anaknya, Hsien Loong menjadi Perdana Menteri Singapura pada 2004.

Perdana Menteri paling lama berkuasa di dunia itu meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 23 Mac lalu ketika berusia 91 tahun.

Membawa Singapura masuk Malaysia


KUAN Yew merupakan penyokong kuat penubuhan Malaysia yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Beliau percaya penggabungan itu amat penting bagi kelangsungan Singapura yang tidak mempunyai sumber hasil bumi dan kemampuan pertahanan.

Singapura menjadi sebahagian Malaysia pada 1963 tetapi tidak bertahan lama. Singapura diminta keluar dari persekutuan pada 7 Ogos 1965 ekoran peningkatan ketegangan antara kaum Cina dan Melayu.

Ketika mengumumkan pemisahan Singapura dari Malaysia dan kemerdekaan negara itu, Kuan Yew begitu sebak kerana usahanya selama ini berakhir sedemikian rupa. “Bagi saya, ini merupakan saat yang sangat menyedihkan. Ia benar-benar memusnahkan segala yang kita perjuangkankan. Kini Singapura selamanya akan menjadi negara demokratik dan berdaulat...,” katanya ketika sidang akhbar semasa mengumumkan Singapura keluar dari Malaysia.

Ada beberapa sebab yang menjadi punca Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meminta Singapura keluar dari Malaysia. Faktor paling penting ialah berikutan peningkatan ketegangan hubungan kaum antara Melayu dan Cina.



LEE Kuan Yew bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir

Singapura tidak mahu melaksanakan dasar kedudukan istimewa Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dalam perlembagaannya, sebaliknya Kuan Yew memperkenalkan konsep ‘Malaysian Malaysia’, yang bertentangan dengan dasar tersebut.

Selain itu, Singapura dilihat mementingkan diri sendiri apabila tidak mahu membantu kewangan kerajaan Pusat bagi membiayai pembangunan Sabah dan Sarawak tetapi mahukan sistem pentadbiran, kewangan, perbankan dan perdagangan yang tidak terikat dengan dasar kerajaan Pusat.

Kedudukan Kuan Yew sebagai Ketua Menteri Singapura pada masa itu yang sering mendapat perhatian dunia luar seolah-olah beliau setaraf dengan Perdana Menteri serta tindakan pemimpin-pemimpin Singapura merendah-rendahkan kepimpinan Pusat memburukkan lagi hubungan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Mentransformasi Singapura menjadi negara maju

SELEPAS berpisah dari Malaysia dan menjadi negara berdaulat, Singapura yang berkeluasan 718.3 kilometer persegi berhadapan cabaran besar untuk berkembang maju kerana negara itu tidak mempunyai sumber hasil bumi, di samping kebimbangan terhadap keselamatan kerana tidak mempunyai kekuatan pertahanan.

Dalam dalam tempoh 20 tahun sahaja, Kuan Yew berjaya mengubah wajah Singapura daripada sebuah pangkalan perdagangan kolonial dunia ketiga kepada hab komersial yang amat maju sehingga pulau itu menjadi negara termaju di Asia Tenggara dan antara termaju di dunia. Menjelang 1980-an sahaja, pendapatan per kapita negara itu kedua tertinggi di Asia Timur selepas Jepun dan menjadi peneraju pusat kewangan Asia Tenggara.



Lee Kuan Yew

Laporan Forbes pada 2012 menamakan Singapura sebagai negara ketiga terkaya di dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dengan pendapatan hampir AS$56,700 (RM210,413). Laporan oleh Knight Frank dan Citi Private Bank pula meletakkan Singapura sebagai negara terkaya di dunia berdasarkan KDNK per kapita sebanyak AS$56,532 pada 2010 (RM209,790) pada 2010 dan menjangkakan negara itu akan mempunyai penduduk terkaya di dunia dengan pendapatan per kapita AS$137,710 (RM511,041) menjelang 2050. Pada 2013, pendapatan per kapira Singapura meningkat kepada AS$78,762 (RM288,166) iaitu yang ketiga tertinggi di dunia.

Persekitaran mesra pelabur seperti lokasi strategik, kerajaan yang bersih, cukai rendah, tenaga kerja mahir dan prasarana moden serta kestabilan politik merupakan faktor utama yang menarik pelaburan asing ke negara itu. Terdapat lebih 7,000 syarikat multinasional dari Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah serta masing-masing kira-kira 1,500 syarikat dari China dan India di Singapura.

Negara itu yang banyak bergantung kepada perdagangan entrepot, bersama Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan, merupakan antara Empat Harimau Asia yang asal iaitu negara kuasa ekonomi di benua ini.

Indeks Kebebasan Ekonomi pada 2013 meletakkan Singapura sebagai negara kedua mempunyai ekonomi paling bebas di dunia selepas Hong Kong. Kota Singa itu juga sering mendapat pengiktirafan sebagai antara paling bersih di dunia bersama dengan New Zealand dan negara-negara Scandinavia.

Singapura merupakan pengeksport ke-14 dan pengimport ke-15 terbesar di dunia. Negara itu mempunyai nisbah perdagangan kepada KDNK yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 407.9 peratus, menunjukkan kepentingan perdagangan kepada ekonomi negara yang mempunyai penduduk sekitar 5.4 juta itu.

Selain itu, Singapura merupakan antara negara yang membuat pelaburan antarabangsa per kapita tertinggi di dunia dan negara ke-11 mempunyai rizab asing terbesar di dunia.

Kerajaan separa diktator

KUAN Yew meninggalkan legasi sebagai pemimpin diktator yang baik hati. Beliau disegani kerana berjaya membawa kehidupan yang selesa kepada rakyat tetapi pada masa sama, digeruni kerana mengamalkan corak pemerintahan yang separa diktator.

Walaupun Singapura menjadi negara maju dan serba moden, ia dicapai dengan sekatan terhadap kebebasan bersuara dan terdapat banyak undang-undang ketat untuk mengawal rakyat termasuk pengharaman gula-gula getah bagi menjaga kebersihan negara itu. Ucapan mengenai bangsa dan agama juga diharamkan bagi mengekalkan keamanan dalam negara.

Sebelum 2008, perhimpunan atau demonstrasi awam merupakan satu kesalahan di Singapura melainkan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Penggunaan pembesar suara dalam perhimpunan awam juga diharamkan dan ucapan politik perlu dibuat di tempat khas.

Media di negara pulau itu juga tidak menikmati kebebasan seperti kebanyakan negara maju lain. Kuan Yew tidak mahu media menentukan agenda negara, sebaliknya hala tuju negara perlu ditentukan oleh beliau dan kerajaannya. Beliau mahu media menyokong polisi dan dasar yang dibuat untuk rakyat.

Laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RWB) pada 2013 meletakkan Singapura di tangga ke-149 dari segi kebebasan media. Kuan Yew percaya corak pemerintahan yang keras adalah perlu bagi mentadbir masyarakat Cina.

“Saya sering dituduh masuk campur dalam kehidupan peribadi rakyat. Ya, jika saya tidak, kalau saya tak buat begitu, kita tidak akan berada di sini hari ini. Dan saya kata tanpa sedikit penyesalan, bahawa kita tidak akan berada di sini, kita tidak akan capai kemajuan ekonomi kalau kami tidak masuk campur dalam setiap urusan peribadi - siapa jiran kamu, bagaimana kamu hidup, bunyi yang kamu buat, bagaimana kamu meludah, atau bahasa apa yang kamu guna. Kami tentukan apa yang betul. Biarlah apa orang fikir,” kata Kuan Yew yang disiarkan oleh sebuah akhbar pada 1987.

Kuan Yew juga diingati kerana tindakan berani beliau menutup semua institusi pendidikan berasaskan kaum termasuk sekolah dan universiti Cina yang merupakan bangsa majoriti di negara itu selepas kemerdekaan. Semua sekolah Cina, Melayu dan Tamil digantikan dengan sekolah kebangsaan Inggeris manakala Universiti Nanyang pula bergabung dengan Universiti Singapura bagi menubuhkan Universiti Nasional Singapura yang menggunakan Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Walaupun kebebasan bersuara dijamin dalam Perlembagaan Singapura, Kuan Yew menggunakan Akta Fitnah untuk melemahkan musuh-musuh politiknya. Pemimpin pembangkang yang melemparkan fitnah akan disaman sehingga mereka tidak mampu membayar saman itu.

Kuan Yew pernah beberapa kali mengambil tindakan saman fitnah terhadap pemimpin Parti Pekerja, J.B Jeyaretnam sehingga pemimpin pembangkang pertama memenangi kerusi Parlimen selepas Singapura merdeka itu diisytiharkan bankrap kerana tidak mampu membayar ganti rugi.

Beliau juga melaksanakan program penempatan semula bandar dan dasar perumahan awam dengan memperkenalkan kuota kediaman etnik supaya orang Melayu tidak tinggal setempat.

Kuota kediaman etnik turut diperkenalkan dengan bilangan penduduk Melayu tidak melebihi 20 peratus daripada jumlah penduduk di sesuatu kawasan pilihan raya dan tidak melebihi 22 peratus daripada penduduk sesuatu blok perumahan awam.

Cabaran Pasca Kuan Yew

SEJAK kewujudan Singapura moden pada 1965, kehidupan rakyat negara itu banyak dicorakkan oleh Kuan Yew yang memperjuangkan kemerdekaan Singapura dan membina sebuah negara yang sebelum tidak wujud serta menjadikan rakyat Singapura bangga dengan kemajuan yang dicapai.

Namun, dalam merencanakan kemajuan Kota Singa itu, rakyat Singapura tidak menikmati kebebasan bersuara dan politik meskipun mereka hidup dalam kesenangan. Sejak beberapa tahun lalu, generasi muda lebih lantang dan mahukan kebebasan bersuara.

Perubahan landskap politik di Singapura dapat dilihat apabila parti pembangkang memenangi enam daripada 87 kerusi Parlimen Singapura, walaupun PAP sentiasa menang besar sejak pilihan raya pertama pada 1959.

Ramai pemerhati politik percaya kematian Kuan Yew akan menyebabkan keterbukaan dalam pentadbiran kerajaan Singapura berlaku lebih cepat. Hsien Loong kini perlu membuat keputusan sama ada masih ingin meneruskan legasi bapanya yang mengamalkan pentadbiran separa kuku besi atau memberikan lebih ruang bersuara untuk rakyat bagi turut serta memberikan idea untuk membangunkan Singapura.

Tags: tokoh
Subscribe

  • Trapik Lait Ija ...

    Kite lalu depang Trafik lait … ija ija ija .. sini ija jugok Langkawi kalu jalang … ija dok ? … Ghase-ghasenye nye selughuh…

  • Mitok share ! Mitok share !

    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Mitok share kepade sumue oghang hok dengo voice ni ... gini ... Jighaen saye kepade jighaen saya kepade…

  • Apa yang anda ketawakan?

    Lebih dari sebelumnya hari ini , dengan begitu banyak tekanan pada kita semua, dan dengan begitu banyak penderitaan, kita semua memerlukan masa…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments