kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

GST: Belum dilaksana tetapi sudah dinilai; Kuasa sebenarnya 
di tangan pengguna

GST: Kuasa sebenarnya 
di tangan pengguna

OOH! Nak beli stok mekap sebelum GST.” Tulis seorang teman dalam status akaun Facebook (FB).




Surirumah yang bijak akan cuba memahami tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GS T) yang bermula esok, termasuk mengambil tahu senarai barangan yang dikecualikan cukai baharu ini sebagai langkah berbelanja secara berhemat.

Dan seperti yang dikehendakinya, status itu menerima banyak Likes bahkan ramai yang turut memberi komen seperti, “Cepat, cepat... sebelum terlambat!”

Yang lagi turut tumpang sekaki memberi ‘idea’ barangan yang patut dibeli oleh teman FB penulis tadi. “Jangan lupa minyak wangi dan tuala wanita pun... saya dah beli stok untuk setahun.” Ada lagi menokok, “Books”.

Posting atau status akaun FB sebegini memang menarik dan cepat serta mudah mengundang reaksi ramai. Maklumlah GST atau Cukai Barang dan Perkhidmatan ini adalah isu yang boleh dianggap paling panas atau trending ketika ini.

Namun sejauhmanakah kita bertanggungjawab dengan status atau komen-komen yang dimuat naik di laman sosial itu?

Meneliti komen-komen yang dibuat oleh pengguna laman sosial menunjukkan ramai dalam kalangan kita rakyat Malaysia sebenarnya kurang arif mengenai GST namun berpura-pura faham dan berlagak pandai mengenai pelaksanaan cukai baharu itu.

Sekiranya kita mengambil masa membaca penerangan dan maklumat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sama ada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kewangan mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sudah tentu kita tidak akan mengeluarkan komen-komen sedemikian. Bahkan kita akan merasa malu memberi komen yang me­nunjukkan kedangkalan kita sebagai pengguna.

Lebih malu lagi jika kita turut sama menyertai ‘kumpulan orang ramai’ yang dilaporkan sanggup berhimpit dan menyerbu pasar raya untuk berbelanja membeli barangan keperluan harian kerana bimbang para peniaga akan menaikkan harga barangan selepas pelaksanaan GST bermula esok.

Hakikatnya seperti yang telah diuar-uarkan oleh pihak berkuasa terbabit, kebanyakan barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak, ayam, daging, ikan, kopi, tepung, lada hitam, segala macam sos, mentol, susu formula untuk bayi, marjerin, segala jenis roti, sayur-sayuran dan buku – adalah barangan yang disenaraikan sebagai ‘zero ra­ted GST’ atau dengan kata mudahnya, tidak dikenakan GST.

Walaupun mekap atau kosmetik dan minyak wangi masih dikenakan GST, wanita Malaysia tidak patut bimbang kerana dengan cukai baharu itu, harga produk kecantikan dan haruman itu sepatutnya lebih rendah berbanding sebelum pelaksanaannya.

Ikut kira-kira mudah jika sebelum ini kita membeli bedak kompak atau gincu yang dikenakan Cukai Jualan (SST) 10 peratus, tentulah harganya akan lebih murah selepas 1 April ini kerana GST yang dikenakan hanya 6 peratus.

Mungkin ada yang skeptikal dan merasakan walau apa pun, kuasa menetapkan harga di tangan peniaga. Akhirnya yang untung peniaga, dan yang menanggung beban kenaikan harga ialah pengguna.

Betul. Peniaga ada kuasa untuk menaikkan harga. Namun kita sebagai pengguna juga mempunyai kuasa untuk menyemak harga dan melaporkan penyelewengan atau pencatutan jika ada kepada pihak berkuasa.

Antara mahu dengan tidak mahu sahaja!

Adakah kita mahu menjadi pengguna bijak atau pengguna yang ‘dipijak’, yang ‘merelakan’ diri ditindas oleh para peniaga yang tidak bertanggungjawab, yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Sebagai pengguna bijak, kita boleh sahaja menyemak se­narai barangan yang tidak dikenakan GST, mempersoalkannya jika ada peniaga yang masih menaikkan harga barangan berkenaan, atau jika enggan ‘bertekak’ memilih untuk tidak membeli daripada peniaga terbabit.

Sebagai pengguna yang lebih bijak, kita boleh memuat turun aplikasi MyKira GST yang disediakan secara percuma oleh Kastam ke dalam telefon bimbit dan menyemak harga setiap kali kita berbelanja. Aplikasi mudah ini membolehkan kita sebagai pengguna memasukkan maklumat barang untuk disemak harga semasa sama ada lebih tinggi daripada harga sebelum GST.

Dan lebih baik lagi, aplikasi cerdik ini membolehkan kita sebagai pengguna membuat aduan serta-merta sekiranya pekedai atau peniaga telah mengenakan caj berlebihan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya atas alasan pelaksanaan GST.

Dengan aplikasi ini, pengguna sebenarnya mempunyai cara yang mudah untuk mengetahui sama ada mereka membayar lebih untuk sesuatu barangan itu berbanding sebelum GST dilaksanakan.

Pokok pangkalnya di tangan kita. Mahu menjadi pengguna bijak atau sebaliknya.

Adakah kita mahu terus-terusan ditipu peniaga? Apakah kita tidak kisah berebut-rebut membeli barang keperluan yang sebenarnya tidak dikenakan GST? Atau pun kita mahu termasuk dalam golongan pengguna yang menikmati faedah daripada pelaksanaannya?

Tepuk dada tanya selera!


Belum dilaksana tetapi sudah dinilai

ESOK sistem cukai baharu iaitu cukai barang dan perkhid­matan (GST) akan mula dikuatkuasakan di seluruh negara. Pelaksanaan GST dilihat telah menjadi satu fenomena yang luar biasa apabila rata-rata seluruh rakyat negara ini bercakap tentang cukai ini.

Rencana ini ditulis oleh 'pelambung' be eng ... puuiihh !

Orang ramai membeli barangan keperluan di Tesco Cheras, Kuala Lumpur
kelmarin sebelum pelaksanaan GST esok.

Cukai ini menarik minat dan perhatian khalayak apabila digembar gemburkan bakal meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat.

Ringkasnya dicanang cukai ini bakal menyusahkan dan membebankan rakyat.

Rentetan itu tindakan pihak kerajaan memperkenalkan GST terus mencetuskan pelbagai reaksi, spekulasi serta tuduhan dan juga fitnah. Walaupun pelbagai kempen, taklimat, sesi penerangan dan pencerahan dibuat oleh pihak berkaitan seperti kastam dan agensi serta kementerian yang terlibat namun keluh kesah dan kebimbangan dalam kalangan rakyat masih belum reda. Hal ini terjadi kerana ada pihak yang secara berte­rusan memanipulasi fakta.

Perkara ini dilihat banyak berlaku dalam media sosial secara agresif dan berterusan. Hampir setiap hari kita boleh baca pelbagai cerita dan maklumat yang tidak sahih dan mengelirukan disebarkan dalam facebook dan juga twitter untuk mengelirukan rakyat. Ini menyebabkan rakyat terus tertanya-tanya yang mana satu fakta dan maklumat sebenar tentang GST.

Apakah betul GST baik untuk masa depan rakyat dan negara? Apakah betul GST boleh menurunkan harga barangan dan perkhidmatan?

Apakah GST hanya menguntungkan peniaga dan kerajaan tetapi me­rugikan rakyat? Apakah peniaga akan mengambil kesempatan meningkatkan harga barangan dan perkhidmat­an? Ini adalah antara persoalan yang cukup popular yang terus bermain di minda setiap seorang daripada kita. Walaupun jawapan kepada persoalan ini mudah diperoleh jika kita meneliti info sebenar GST dari pihak berwajib namun angkara pihak yang tidak bertanggungjawab suka mencurah minyak ke dalam api menyebabkan pemikiran rakyat terus bercelaru.

Apa yang sedang berlaku sekarang pihak yang tidak bersetuju dengan GST ini, yang tidak dapat melihat kebaikannya dalam konteks yang lebih luas serta kebaikan jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negara terus mengelirukan masyarakat agar rakyat marah dan benci dengan tindakan kerajaan itu.

Ternyata kebanyakan daripada kita lebih kepada mendengar cakap-cakap orang, terlalu percaya kepada maklumat dalam media sosial serta terikut-ikut dengan cerita yang dibawa dan dicanangkan oleh satu pihak saja tanpa membuka mata dan minda untuk mengkaji sejauh mana segala tuduhan terbabit ada kebenaran di sebaliknya.

Bak kata pepatah Inggeris don’t judge a book by its cover. Dalam hal seperti ini kita perlu tolak jauh permainan emosi dan perasaan yang cuba ditanamkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda politik dan kepentingan peribadi.

Hakikatnya GST baru hendak dilaksanakan di negara ini. Justeru mana mungkin kita terus jatuhkan hukuman seolah-olah cukai ini bakal membebankan rakyat. Sepatutnya berilah peluang untuk sistem cukai baharu ini dilaksanakan terlebih dahulu. Selepas itu barulah kita menilai dan merumuskan keberkesanannya sama ada meng­untungkan serta membawa kebaikan mahupun merugikan dan perlu dihentikan atau disemak semula.

Dalam hal ini penulis percaya sebagai sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat dan bertanggungjawab, kita yakin kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas daripada rakyat. Andai kelak GST ini membebankan dan ada banyak ketirisan mahupun kelemahan majukanlah pandangan dan cadangan kepada kerajaan supaya ianya dikaji semula.

Mengambil kira senario yang kita lalui sekarang apa yang penulis boleh merumuskan ialah majoriti rakyat kita sebenarnya masih tidak memahami maksud sebenar GST.

GST adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat perniagaan. Cukai ini dibayar apabila pengguna berbelanja. GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (CJP) yang sedia ada sekarang. Secara prinsipnya GST untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih efektif, efisien, telus dan mesra perniagaan.

Hakikatnya GST adalah sistem percukaian lebih baik dan lebih adil berbanding CJP. Antara faedah nya­ta GST ialah, dapat mengurangkan kos perniagaan. Rakyat kita yang terbabit dalam dunia perniagaan pasti akan memperoleh manfaat besar melalui GST ini.

Misalnya, di bawah CJP peniaga tidak dapat menuntut sepenuhnya cukai yang dibayar ke atas input perniagaan. Namun, dengan GST, peniaga akan mendapat manfaat kerana boleh mendapatkan semula cukai input ke atas bahan mentah/barang dan perkhidmatan di setiap peringkat perniagaan. Ringkasnya, situasi ini membolehkan kos perniagaan menjadi lebih rendah.

Dalam hal ini, isu yang sering dibangkitkan malah mengelirukan rakyat, apakah pengurangan kos perniagaan itu perlu dan ditanggung pula oleh pengguna? Jawapannya tidak kerana kita perlu ingat GST menghapuskan cukai bertindih di bawah CJP. Justeru, pengguna akan membayar harga lebih berpatutan untuk kebanyakan barang dan perkhidmatan di bawah GST. GST lebih telus daripada CJP kerana pengguna akan tahu sama ada barang yang dibeli atau perkhidmatan diperoleh tertakluk kepada cukai dan amaun cukai perlu dibayar.

Hakikatnya selepas mengambil kira senario semasa di peringkat serantau dan global pengenalan GST dilihat sebagai satu keperluan dan bukan lagi pilihan. Dalam hal ini penulis teringat kata-kata Pe­ngarah Eksekutif Institut Penyeli­dikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid bahawa sebenarnya Malaysia berada dalam zon kritikal sekiranya tidak melaksanakan GST kerana ia keperluan signifikan kerajaan, selain mempunyai kesan jangka panjang.

Tambah beliau, GST secara umumnya lebih meringankan bebanan rakyat berbanding cukai jualan dan perkhidmatan yang dilaksanakan di premis premium dan premis per­khidmatan selama ini.

Sehingga kini, lebih 160 negara melaksanakan GST. Antara negara maju yang sudah pun melaksanakan GST adalah United Kingdom, Jepun, Jerman, Sweden, Belanda, Denmark dan Singapura. Di ASEAN hanya Malaysia, Myanmar dan Brunei belum melaksanakannya.

Maka apa yang penting sekarang rakyat perlu memahami senario ekonomi semasa. Realitinya kita perlu terima hakikat keadaan ekonomi global sememangnya tidak menentu dan belum pulih sepenuhnya. Ini ditambah de­ngan harga minyak dunia yang tidak stabil. Ini semua menyebabkan kedudukan mata wang negara kita tidak menentu sekaligus kos sara hidup dilihat semakin me­ningkat kerana nilai wang yang dimiliki rakyat semakin merosot.

Itu belum lagi dengan tindakan zalim peniaga dan pemborong yang mengambil kesempatan.

Maka adalah tidak wajar menu­ding jari menyalahkan pihak kerajaan semata-mata. Kerajaan sebenarnya berusaha keras untuk memulihkan ekonomi negara secara berperingkat dan memerlukan masa untuk membuahkan hasil yang kita harapkan.

Tags: cukai, ekonomi
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Antara Wilayah dan Negeri Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’?…

  • Manusia dan Kemanusiaan: Jujur

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments