kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bekerja ada hadnya, belajar sepanjang hayat

Beberapa minggu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi menggesa kerajaan menaikkan umur persaraan kakitangan awam. Kali ini kesatuan itu meminta dilanjutkan kepada 62 tahun daripada 60 sekarang.

Dalam tempoh 15 tahun ini, sudah tiga kali usia persaraan penjawat awam dilanjutkan. Kali pertama pada 1 Oktober 2001, dinaikkan kepada 56 tahun kemudian diikuti pada 10 Mei 2008 menjadi 58 tahun dan terbaharu pada 1 Januari 2012 apabila dinaikkan lagi menjadi 60 tahun.

Sektor swasta mengikuti langkah sektor awam apabila mengumumkan usia persaraan dinaikkan kepada kepada 60 tahun mulai 1 Julai 2013.

Bagaimanapun cadangan CU­E­PACS itu ditolak oleh kerajaan. Kerajaan mempunyai alasan untuk tidak membincangkan lebih lanjut isu tersebut. Seperti penjelasan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Ali Hamsa, usia persaraan yang ada sekarang sudah memadai. Lagipun polisi bersara pada umur 60 tahun baru sahaja tiga tahun dilaksanakan. Kerajaan barang kali sedang mengkaji kesan dan dapatan daripada pelaksanaan dasar tersebut.

Ada macam-macam pandangan diberikan apabila isu ini berbangkit. CUEPACS sebagai pihak yang me­minta sudah tentunya mempunyai alasan tersendiri. Dalam keadaan purata jangka hayat rakyat Malaysia dijangka meningkat iaitu 79 tahun bagi wanita dan 77 tahun bagi lelaki, gesaan itu dilihat ada asasnya.

Dengan kemudahan perkhidmatan kesihatan yang terdapat di negara ini disifatkan antara yang terbaik di dunia ditambah dengan kesedaran menjaga kesihatan yang tinggi dalam kalangan rakyat, penduduk Malaysia dijangka terus kekal produktif sehingga mencapai usia tersebut.

Kesatuan sekerja itu memban­dingkan langkah beberapa buah negara di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat yang sudah melaksanakan penetapan usia persaraan melebihi 62 tahun. Ada sesetengah negara membenarkan kakitangan kerajaan bekerja sehingga mencapai umur 65 tahun. Sebagai sebuah negara yang bakal menuju kepada status negara maju, Malaysia sepatutnya turut mengikuti langkah ini.

Beberapa faktor lain turut diambil kira untuk menyokong gesaan ini. Salah satunya peningkatan kos sara hidup pada hari ini, persiapan menghadapi era persaraan khususnya dari segi simpanan persaraan yang tidak mencukupi, kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat serta majoriti kakitangan awam kategori sederhana dan bawahan yang masih belum dapat melangsaikan pelbagai jenis hutang sewaktu dalam tempoh perkhidmatan ter­utamanya pinjaman perumahan.

Langkah melanjutkan usia persaraan dilihat sebagai satu jalan kepada penjawat awam untuk menyelesaikan atau mengurangkan hutang perumahan atau ‘hutang-hutang’ lain jika ada.

Itu antara pandangan mereka yang menyokong. Bagi yang tidak bersetuju pula melihat langkah melanjutkan umur bersara akan menyekat produktiviti kerja. Kakitangan yang sudah melepasi usia 60 tahun dilihat ‘kurang produktif’ kerana sudah menghampiri atau melewati kemuncak karier masing-masing. Pada masa yang sama kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kos tambahan lain jika dilaksanakan.

Dari segi kenaikan pangkat pula, langkah ini dilihat menyekat peluang kakitangan atau pegawai-pegawai muda mengisi jawatan-jawatan tinggi walaupun berkelayakan.

Kekosongan jawatan sudah tentu terhad kerana masih diisi oleh pegawai-pegawai lama yang belum mencecah usia persaraan. Ini belum lagi mengambil kira senario pegawai-pegawai tinggi atau ke­tua-ketua jabatan yang disambung lagi kontrak perkhidmatan selepas mencecah usia persaraan.

Melihat kepada kekangan untuk mengembangkan bakat serta peningkatan kerjaya, keadaan ini memungkinkan sektor perkhidmat­an awam tidak lagi menjadi pilih­an siswazah yang baru keluar dari universiti. Lebih buruk lagi situasi ini boleh melebarkan lagi jurang pe­ngangguran kerana jumlah yang tamat universiti setiap tahun sangat besar.

Cadangan pelanjutan usia persaraan ini bagaimanapun boleh dilaksanakan tetapi hendaklah terpakai dan terhad kepada beberapa jawatan tertentu di sektor-sektor kritikal seperti sektor Keynesian, undang-undang, kehakiman, pendidikan tinggi serta jawatan profesional lain yang melibatkan kemahiran atau kepakaran tinggi.

Doktor-doktor pakar, saintis, hakim, ahli akademik dan teknokrat perlu diberi peluang me­nyumbang selama mana yang mereka mahu sama ada secara melanjutkan usia persaraan atau secara kontrak.

Seperti yang diketahui ramai, kumpulan profesional sedemikian sentiasa menjadi buruan syarikat-syarikat swasta yang sanggup menawarkan gaji dan faedah yang lumayan. Alangkah ruginya jika seorang doktor pakar bersara pada usia 60 tahun sedangkan ilmu dan khidmatnya masih diperlukan.

Sebenarnya bukan semua penjawat awam berminat untuk terus berkhidmat sehingga mencapai usia persaraan tidak kiralah 60, 62 atau 65 tahun. Sebahagian sudah memilih untuk bersara awal sebelum mencecah angka-angka tersebut pun kerana ‘penat.’ Mereka mahu menebus masa berkualiti dengan keluarga yang hilang selama ini.

Ada juga yang bersara awal kerana mahu meluangkan masa untuk ‘bermasyarakat’ atau berbuat sesuatu yang mereka tidak berpeluang melakukannya sewaktu dalam perkhidmatan seperti menyertai kerja-kerja amal. Tidak kurang juga bersara awal kerana mahu melanjutkan pelajaran, menambah ilmu. Mereka beranggapan hayat bekerja ada hadnya, tetapi belajar perlu sepanjang hayat. - Rozaman Ismail Utusan Malaysia Rencana Kopi Panas 4 April 2015

Tags: belajar
Subscribe

  • Mitos Malas dan Memilih Pekerjaan

    Satu ketika baru-baru ini, terpapar satu isu yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia adalah pemalas dan memilih pekerjaan. Tokoh-tokoh…

  • Jangan suka menyalahkan orang lain

    Apa yang berlaku di pembukaan sidang Parlimen baru-baru ini bukanlah perkara baru yang diharapkan. Wakil pilihan rakyat dari kedua-dua pihak…

  • Sukarnya untuk bersikap baik di dunia ini

    Adalah sukar untuk menjadi baik di dunia di mana semuanya telah banyak berubah termasuk nilai peribadi, norma tradisional, integriti dan kesaksamaan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments