kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orang UMNO perlu insaf!

SEJAK 13 Mac lalu hinggalah 3 Mei nanti, hampir 21,000 cawangan UMNO di seluruh negara bermesyuarat. Mesyuarat ini akan diteruskan pula ke peringkat bahagian.

Mungkin ramai melihat mesyuarat yang sedang dan akan berlangsung tidak ada apa-apa kepentingannya memandang­kan tahun ini tidak ada pemilihan parti. Namun sama ada mereka sedar atau tidak mesyuarat tersebut khususnya di peringkat bahagian amat penting.

Pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami cabaran yang sedang mereka hadapi. Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggaknya sedang ‘diserang’ dari pelbagai penjuru. Justeru kesepakatan seluruh kepimpinan dan ahli perlu untuk mempertahankan parti.

Ini kerana UMNO adalah parti tonggak orang Melayu; pembela kepada perkembangan syiar Islam, dan; pejuang kepada kedaulat­an raja-raja. Sama ada suka atau tidak, inilah hakikat yang tidak harus dilupakan oleh mana-mana juga orang Melayu.

Atas sebab itu, mereka tidak boleh membiarkan UMNO dilemahkan atau menjadi lemah. Perjuangan UMNO bukan semata-mata demi merebut kuasa politik seperti mana Pas bersedia bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sehingga sanggup membiarkan maruah mereka diinjak-injak oleh kedua-dua parti itu.

Perjuangan UMNO adalah demi orang Melayu dan umat Islam serta kesejahteraan negara. Hanya perjuangan UMNO yang mampu mempertahankan tiang-tiang seri negara. Tiada pihak lain yang mampu berbuat demikian apatah lagi jika mereka tiada kuasa politik.

Dalam berhadapan situasi politik sekarang, mana-mana pemimpin, ahli dan penyokong UMNO tidak boleh menjadi ‘nasi tambah’ apabila tercetusnya sesuatu isu. Sebaliknya mereka perlu menjadi ‘air yang menyejukkan’.

Sudah cukup di luar sana, ada pelbagai pihak yang bersedia menjadi ‘nasi tambah’. Kelompok ini begitu gembira melihat apabila UMNO ‘diserang’ oleh parti-parti pembangkang. Mereka menyebarkan apa juga isu yang boleh memburukkan UMNO dengan rasa bangga.

Ahli-ahli UMNO tidak boleh menjadi ‘pembekal peluru’ kepada pembangkang dengan turut sama melakukan tindakan atau langkah yang melemahkan parti. Sebaliknya mereka perlu bersatu-padu dan memperkukuhkan barisan bagi memastikan UMNO terus kukuh dalam usaha melakukan persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Percayalah orang Melayu masih mampu hidup selesa kerana adanya UMNO. Kelompok orang Melayu masih boleh bersuara lantang kerana adanya UMNO. Orang Melayu boleh mengecam kebiadaban sesetengah pihak terhadap institusi raja-raja kerana adanya UMNO, orang Melayu boleh membuat tuntutan macam-macam kepada kerajaan kerana adanya UMNO dan sudah tentu orang Melayu boleh mempertahankan kesucian agama Islam kerana adanya UMNO.

Tetapi bayangkan kalau UMNO tidak lagi berkuasa? Apakah suara orang Melayu didengari? Apakah keluhan orang Melayu akan diambil peduli? Adakah wujud kelompok yang akan prihatin untuk membela nasib orang Melayu?

Oleh itu jika pemimpin, ahli dan penyokong UMNO mahu melihat orang Melayu terus bermartabat dan bermaruah di tanah air sendiri, maka perkukuhkanlah UMNO. Jadikan mesyuarat cawangan atau bahagian yang berlangsung untuk menyusun agenda bagi memperkasakan parti.

Janganlah hanya hebat berpolitiking sesama sendiri tetapi amat lemah untuk berhadapan dengan pembangkang. Amalkan sikap benar-benar berjuang untuk parti dan bukannya peribadi.

Fahamilah, terlalu banyak cabaran dan rintangan yang sedang menanti parti itu dalam usaha terus memegang tampuk pemerintahan negara. Parti-parti pembangkang tidak akan duduk diam. Mereka akan membangkitkan apa juga isu, biarpun sekadar satu tohmahan demi melemahkan UMNO.

Jika pemimpin dan ahli UMNO masih juga tidak mahu insaf, sudah pasti suatu hari kelak orang Melayu akan merempat di tanah air sendiri kerana kehilangan kuasa politik. Ketika itu orang Melayu buatlah apapun demi memperjuangkan nasib mereka tetapi sudah terlambat! - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 4 April 2015

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments