kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Proses pemulihan rumah tradisional miliki sejarah tersendiri


Proses pemuliharaan rumah
WARISAN seni bina rumah tradisional seperti Rumah Serambi Pahang merupakan sebahagian daripada khazanah dan tinggalan sejarah yang amat bernilai dan perlu dipertahankan bagi tatapan generasi akan datang.

Bagi meneruskan kelestarian dan menjamin keutuhan reka bentuk, nilai seni bina, budaya dan sejarah rumah tradisional, kerja-kerja pemuliharaan hendaklah dilakukan dalam usaha memastikan khazanah berharga itu dapat dikekalkan.

Pemuliharaan secara umumnya merujuk kepada proses membaik pulih sesuatu seperti rumah, bangunan, monumen, artifak atau tapak binaan bersejarah agar ia dalam keadaan baik dan dapat terus dikekalkan dalam bentuk asal sebagaimana ia mula dibina.






TIANG merupakan komponen struktural berperanan memastikan keteguhan rumah.

PEKERJA melakukan proses menegakkan tiang seri Rumah Serambi Pahang di tapak Muzium Warisan Melayu.



ANTARA piring dan cawan yang ditemukan di Rumah Serambi Pahang.


Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, untuk tujuan pemuliharaan, Rumah Serambi Pahang dipindahkan dari lokasi asal di Kampung Kelola, Jerantut ke lokasi baharu yang terletak berhampiran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di UPM. Sebelum kerja-kerja pembinaan semula dilakukan terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.

“Setelah Rumah Serambi Pahang berjaya dipindahkan ke UPM, kerja-kerja mencuci semua bahagian termasuk tiang, dinding dan lantai dilakukan bagi membersihkan kesan dan sisa kotoran pada kayu.

“Setiap bahagian kayu kemudian dibiarkan sehingga kering dan selepas itu seluruh bahan binaan itu disembur kawalan perosak bagi menghapus dan mencegah pembiakan anai-anai yang boleh merosakkan rumah. Seluruh komponen kayu dikeringkan sekali lagi sebelum proses pembinaan semula dilakukan,” katanya.

Fasa seterusnya melibatkan proses peneguhan dan pemasangan semula rumah yang dimulakan dengan peletakan batu sendi dan menegakkan dua buah tiang seri diikuti 14 buah tiang lain.

“Pembinaan rumah pada umumnya melibatkan komponen struktural dan non struktural. Struktural adalah komponen yang penting di dalam menyokong berdirinya sesebuah bangunan. Di dalam proses ini penegakan tiang, pemasangan rangka dan tulang bumbung merupakan komponen struktural.

“Setelah semua tiang sudah ditegakkan, kerja-kerja menaikkan rangka dan tulang bumbung dilakukan. Kemudian barulah lantai rumah dipasang. Sebelum itu, mana-mana komponen kayu yang sudah rosak atau reput, ia akan digantikan dengan material jenis yang sama iaitu menggunakan kayu cengal bagi memastikan keunikan rumah dapat dikekalkan.

“Proses seterusnya melibatkan kerja-kerja meletakkan bumbung. Untuk bahagian tersebut, atap zink lama akan ditukar dengan lembaran atap jenis ‘onduline’ iaitu material yang dihasilkan daripada getah dan bitumen.

“Penggunaan ‘onduline’ ini bersesuaian kerana sifatnya yang kalis api, menyerap haba dan bunyi. Setelah selesai kerja-kerja di bahagian bumbung, barulah pemasangan tingkap, pintu dan tangga dilakukan. Komponen ini dikenali sebagai non struktural iaitu komponen tambahan yang terdapat pada rumah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran bermula dari proses pemindahan sehingga pembinaan semula rumah Melayu tradisional itu.

“Terdapat pelbagai cabaran terpaksa dilalui untuk menjayakan projek pemindahan dan pembinaan semula Rumah Serambi Pahang. Ketika proses pemindahan rumah, pekerja-pekerja berhadapan dengan kesukaran untuk mengeluarkan batu sendi yang terpacak kukuh di atas tanah. Keadaan ini memaksa pekerja seramai lapan orang bekerja keras mengeluarkan batu sendi beramai-ramai.

“Cabaran seterusnya dihadapi ketika proses pembinaan semula rumah. Keadaan ini berlaku kerana semua komponen batu dan kayu sangat berat. Kayu cengal yang digunakan untuk membuat tiang adalah bahagian teras dan terkenal dengan ketahanan serta berat. Sebab itu, kita terpaksa menggunakan bantuan jentolak untuk menolak dan mengangkat bahan binaan,” katanya.


Rumah tradisional miliki sejarah tersendiri
SELAIN keunikan dan keteguhan struktur seni bina, nilai sejarah yang dimiliki Rumah Serambi Pahang merupakan faktor utama mendorong Universiti Putra Malaysia (UPM) memulihara warisan seni bina masyarakat Melayu.


DR. MOHD . FAUZ I memasukkan emas tulen dan duit syiling perak ke dalam tiang seri sebagai simbolik penyempurnaan perasmian Majlis Peletakan Batu Sendi dan Menegakkan Tiang Seri Rumah Serambi Pahang di Serdang baru baru ini.

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan, pada tahun 1920-an, Kampung Kelola dipercayai menjadi pusat pemerintahan mukim dan penghulunya Ismail Khatib Bakar membina rumah tersebut untuk dijadikan sebagai unit balai bagi tujuan urusan rasmi.

“Ketika pendudukan Jepun dan pemberontakan komunis, rumah tradisional Pahang tersebut juga digunakan sebagai balai mesyuarat dan sesi perbincangan di antara penghulu mukim itu dengan ketua-ketua lain bagi mengelakkan kekejaman dan pertumpahan darah berlaku.

“Yang istimewanya rumah tersebut juga pernah menjadi lokasi persinggahan rombongan diraja selepas pertunangan Sultan Ahmad Shah dengan permaisuri,” katanya selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Sendi dan Menegakkan Tiang Seri rumah di UPM baru-baru ini.

Menjadi pemimpin yang disegani dek kerana peranannya yang penting di dalam pentadbiran mukim suatu ketika dahulu, Ismail juga dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu seorang pahlawan yang pernah terlibat di dalam usaha menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Dalam pada itu, beliau berharap rumah Melayu tradisional Pahang yang akan didirikan semula di Muzium Warisan Melayu UPM dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua generasi pada masa akan datang termasuk penyelidik dan pelajar sebagai usaha menghargai warisan budaya masyarakat Melayu.

“Rumah Serambi Pahang adalah rumah tradisional keempat yang menjadi khazanah unik yang terdapat di muzium selepas rumah Melayu tradisional Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

“Justeru itu, ia sangat penting kepada semua generasi sama ada penyelidik atau pelajar untuk menjadikan keistimewaan dan keunikan yang dimiliki rumah-rumah tersebut sebagai sebahagian daripada penyelidikan dan pembelajaran mereka,” katanya.

Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments