kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Warisan Rumah Serambi Pahang tonjol kreativiti Melayu

RUMAH merupakan tempat untuk manusia berlindung daripada hujan, panas dan ancaman bahaya di samping melakukan pelbagai aktiviti dan kegunaan lain. Dari segi psikologi pula, rumah memberikan rasa aman, tenang, tenteram, selesa dan harmoni kepada penghuninya.

Justeru, rumah dilihat sebagai satu keperluan yang sangat penting kepada manusia selain daripada keperluan asas yang lain seperti makan, minum dan pakaian.

Rumah juga menjadi simbol kepada status penghuninya. Maka tidak hairanlah setiap rumah mempunyai seni bina, reka bentuk dan ciri-ciri tertentu yang secara tidak langsung menggambarkan penghuninya.

Bagi rumah Melayu tradisional, terdapat tarikan dan keistimewaan pada setiap binaan dan struktur asas rumah seperti tiang, bendul, tingkap, pintu dan bumbungnya, sekali gus menjadikan kediaman itu sangat unik. Sementara gaya dan kaedah binaannya tidak dapat dipisahkan dengan elemen-elemen yang dipengaruhi oleh cara hidup, ekonomi dan alam persekitaran.


Dari segi bahan binaannya pula, kebanyakan rumah tradisional menggunakan sumber-sumber yang boleh didapati di persekitaran dan kawasan hutan seperti kayu. Selain itu, ia juga mempunyai sistem tambahan yang menjadikan rumah tersebut tahan lebih lama.

Meskipun rumah Melayu tradisional mempunyai identiti dan keunikan seni bina yang tersendiri, namun tradisi pusaka nenek moyang dan tinggalan bersejarah itu semakin berkurangan, malah mulai dilupakan.

Menyedari hakikat rumah Melayu tradisional yang semakin pupus ditelan zaman, Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia mengambil langkah memulihara rumah-rumah Melayu tradisional dalam usaha meneruskan kelestarian warisan seni bina Melayu. Terbaharu, pihak muzium itu telah memindahkan rumah Melayu tradisional Pahang yang juga dikenali sebagai Rumah Serambi Pahang untuk tujuan pemuliharaan.

Untuk itu, Wartawan S2, ROZIANAH RISMAN dan jurufoto FARIZ RUSADIO dan NUR AISYAH MAZALAN berkunjung ke lokasi penempatan asal di Kampung Kelola dan tapak baharu di UPM bagi melihat sendiri bagaimana proses pemindahan dan pembinaan semula rumah tersebut dilakukan.


KEUNIKAN seni bina rumah Melayu tradisional merupakan suatu gambaran yang memperlihatkan kreativiti dan kehalusan pertukangan atau kerja tangan masyarakat Melayu yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor meliputi alam sekitar, iklim, acuan corak budaya dan agama Islam.

Elemen-elemen yang terdapat di dalam reka bentuk seperti bahan binaan, struktur, ruang dan dekorasi menggambarkan kehidupan dan satu bentuk budaya pemilik rumah tersebut.

Justeru, seni bina Melayu bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk pengetahuan atau kemahiran seni kreatif yang mempunyai simbol dan nilai estetika tersendiri, sebaliknya ia memiliki makna dan falsafah.

Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, struktur Rumah Serambi Pahang dikaitkan dengan binaan yang mempunyai maksud dan tujuan tertentu. Rumah yang dibina dengan kayu cengal dan merbau itu memperlihatkan sifat kreatif masyarakat Melayu yang tinggi di dalam menampilkan ciri-ciri kediaman yang unik.


RUMAH Serambi Pahang tetap utuh meskipun dilanda banjir besar baru-baru ini

“Keunikan Rumah Serambi Pahang dapat dilihat menerusi teknik pembinaan kediaman yang berdasarkan tradisi seni bina Melayu iaitu dibina dengan kayu tanpa menggunakan sebarang paku pada dinding dan lantai.

“Selain mempunyai tiga ruang utama iaitu serambi hadapan, rumah ibu atau induk serta serambi dapur, keunikan rumah itu juga terletak pada bahagian ‘geta’ atau lantai yang ditinggikan untuk tujuan tertentu termasuk sebagai tempat berehat dan tidur.


PENGHADANG yang terdapat pada Rumah Serambi Pahang lebih tinggi daripada bendul yang terdapat pada rumah-rumah Melayu tradisional lain.

“Kedudukannya yang lebih tinggi daripada lantai dan strukturnya yang kuat membolehkan penghuni mendiaminya dengan selamat. Jadi, boleh dikatakan rumah tersebut mempunyai ciri-ciri keselamatan yang bertujuan mengelakkan serangan musuh dari bahagian bawah.

“Biasanya, pada zaman dahulu musuh yang cuba menganiaya pemimpin akan bertindak menjolok lembing ke arah lantai dari bawah rumah bagi mendatangkan kecederaan ke atas pemimpin berkenaan. Justeru dengan adanya ‘geta’, ia dapat menghindari kejadian tersebut daripada berlaku.

Keistimewaan Rumah Serambi Pahang juga terletak pada lebihan rasuk atau bahan binaan rumah kayu yang berfungsi sebagai pengikat rangka rumah bagi tujuan penambahan ruang.


TINGKAP labuh, antara keunikan yang terdapat di dalam Rumah Serambi Pahang.

“Melihat pada bahagian tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada masa itu sudah memikirkan perancangan untuk meluaskan rumah sekiranya terdapat penambahan ahli keluarga.

“Jadi, kerja-kerja membuat atau menambah ruang baharu kediaman menjadi lebih mudah dengan hanya memasang pasak kayu pada bahagian lebihan rasuk sedia ada.

“Selain itu, kewujudan tingkap labuh sedia ada di bahagian dinding turut memudahkan 
kerja-kerja pertukangan ketika proses penambahan keluasan kediaman dilakukan kerana jurubina tidak perlu lagi 
bersusah payah membina laluan baharu ke ruang tambahan,” katanya.

Rumah Serambi Pahang juga mempunyai penghadang (dikenali bendul bagi rumah tradisional lain) setinggi kira-kira 0.4 meter yang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.

“Penghadang tersebut menepati ciri-ciri keselamatan yang berfungsi melengahkan atau melambatkan tindakan individu yang membuat serangan bagi membolehkan tuan rumah mengambil langkah menyelamatkan diri atau bersiap siaga mempertahankan diri,”ujarnya.

Sementara itu, menurut Kurator Muzium Warisan Melayu UPM, Khairulnisa Haron, kelainan turut dapat dilihat dari segi kesederhanaan dalam hiasan rumah yang tidak terlalu sarat dengan ukiran.

Tags: rumah
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments